5.3.12

PREVIEW: Adnan Sempit 2 - Sekuel Yang Berjaya?

Preview filem pertama tahun ini. (Dan mungkin juga yang terakhir)

Adnan Sempit 2

Akhirnya aku terpanggil untuk me-review filem setelah sekian lama berehat; atas dasar rasa sayang kepada industi perfileman tempatan.

Menoleh sedikit ke belakang, filem tempatan terakhir yang aku tonton di pawagam ialah filem Songlap pada hujung tahun lepas. Aku memang berniat nak menulis sesuatu pasal filem tu, malangnya tak berkesempatan. Bagi aku, Songlap adalah sebuah filem yang berjaya. Berjaya bukan dari segi kutipannya, mahupun popularitinya, ataupun kesan-kesan khasnya. Semuanya tidak. Tapi secara peribadi, aku merasakan filem itu berjaya dari segi yang paling asas yang selalu filem tempatan kita jarang ambil endah, iaitu penceritaan yang sampai kepada penonton dengan mesej-mesej tertentu. Maknanya pembikin filem tu tahu apa yang dia cuba sampaikan dalam karya beliau, dan mesej tersebut sampai kepada penonton tak kiralah dengan apa tafsiran sekalipun.

Sungguh, banyak filem yang aku tengok kadang-kadang tak ada hala tuju, menawarkan hiburan semata-mata. Ada juga filem yang mesejnya sangat jelas, tengok 5 minit pertama dah tahu apa mesej yang cuba nak disampaikan. Namun penyampaiannya tak cukup dalam, macam kail ikan umpannya tak sampai dalam air. Ikan boleh nampak dari dalam air, tapi tak boleh nak makan. Lebih kurang macam tu lah perumpamaan yang tak berapa nak menjadi ni. Dalam filem Songlap, segalanya tampak menjadi, nampak realistik, nampak logik (tak semua), dan yang penting satu jalan penceritaan yang baru dan berani. Tidak menggunakan modal-modal rempit, hantu, gangster, dan juga tak menggunakan teknologi CGI yang canggih-canggih. Namun harus diakui jalan ceritanya agak perlahan dan boleh membuatkan orang tertidur lagi-lagi kalau midnight movie.

OK, kita kembali kepada Adnan Sempit 2 yang baru aku tontoni beberapa hari yang lepas. Sacara jujurnya aku bukanlah peminat besar Adnan Sempit yang pertama dulu. Secara jujurnya juga pada mulanya aku tak berniat pun nak pergi menonton filem sekuel ni sebab lebih menantikan filem Bunohan yang nampak lebih berbaloi untuk ditonton. Namun disebabkan terpengaruh dengan review-review positif dari pelbagai pihak, aku mengambil keputusan turun pawagam untuk menonton filem ini.

Sekuel

Ada review yang mengatakan Adnan Sempit 2 merupakan satu sekuel yang berjaya. Maaf aku nak katakan, salah. Tiada apa yang berjaya dalam sekuel ini dengan mengambil kira ia adalah sebuah sekuel kepada sebuah filem box-office. Kalau ia bukan sebuah filem sekuel, aku boleh katakan sebaliknya. Apa sebenarnya makna dan tujuan sebuah filem sekuel? Adakah untuk menyambung cerita? Atau mengambil peluang atas kejayaan filem sebelumnya? Atau memenuhi pemintaan penonton? Atau menambahkan koleksi filem? Atau menambah baik kekurangan dalam filem sebelumnya dalam satu bentuk sambungan jalan cerita yang lebih menarik? Dan itulah yang aku cari sebenarnya dalam sekuel filem Adnan Sempit ini. Dan apabila aku gagal mendapatkannya, aku akan jujur mengatakan; maaf, ini sebuah sekuel yang gagal.

Kenapa aku kategorikan begitu? Pertama, plot-plot yang masih sama di gunakan. Nadia merajuk dengan Adnan, Adnan merajuk dengan Nadia, Wawa merajuk dengan Bobby, Bobby merajuk dengan Wawa (ini tak ada). Tidak ada perkembangan plot yang ketara diketengahkan. Kedua, langsung tiada perkembangan dalam watak-wataknya. Begitulah Adnan, begitulah Nadia, begitulah Wawa, begitulah Bobby, begitulah semuanya. Mengekalkan identiti, betul dapat mengekalkan mood cerita. Tapi bagi aku, sesuatu yang baru adalah lebih penting dan menyerlah dalam sesebuah filem.

Perkembangan Plot

OK, kembali kepada perkara yang asas. Idea asalnya sebenarnya tidaklah mengecewakan. Di mana Adnan perlu menyesuaikan gaya hidup sebagai seorang ahli korporat moden manakala Nadia perlu menyesuaikan diri sebagai seorang suri rumah. Pada mulanya, ideanya nampak menarik. Namun sepanjang perjalanan ceritanya, idea asal itu tampak pudar. Tidak digarap dengan sempurna. Hanya ditunjukkan Adnan belajar main golf, belajar memandu dan belajar Bahasa Inggeris di gerai burger Bobby. Nadia pula hanya ditunjukkan belajar memasak dan mengurut dalam dua babak yang singkat.

Manakala babak-babak yang lainnya banyak tidak berkaitan dan membantu perkembangan idea asal cerita. Apakah motifnya babak Bobby berlumba dengan awek rempit dan Adnan mengejarnya sehingga pagi? Tapi babak tu agak kelakar dan boleh dibuat gelak juga lah.

Penghujung Yang Dah Dijangka

Seperti biasa, inilah norma filem tempatan. Tak perlu tunggu sampai habis dah tahu apa penyudahnya. Mungkin orang kita tidak sukakan kejutan, sentiasa mahukan apa yang berlaku adalah seperti yang dijangka.

Kesimpulan

Namun, segalanya adalah subjektif. Aku dilihat sebagai prejudis kepada filem tempatan. Seolah-olah akulah yang paling bagus. Kata orang, kalau pandai sangat buat lah filem sendiri. Tiada niat untuk merendah-rendahkan karya orang. Cuma sebagai satu perkongsian pendapat.

Sekian.

1.1.12

2012

Tahun Dua Ribu Dua Belas.

Satu lagi tahun baru Masehi.

Tukar kalendar lagi.

Apa lagi yang nak ditukar?

Sila tukar tahun ini.




Al-Fatihah





Takziah buat seorang sahabat dan ahli keluarga.

Di atas kepulangan ayahanda tersayang ke Rahmatullah.

Tapi aku kenal dia orang yang tabah.

Pasti dapat melalui meskipun sukar.

Kuatkan hati kawan, teruskan perjuangan.

Al-Fatihah.

11.5.11

PANAS

Aku tak pernah menyangka bulan Mei akan sepanas ini tak mengira siang atau malam, timur atau barat, kampung atau bandar. Semuanya sama, diselubungi bahang yang menusuk sehingga ke kalbu. Duduk bawah kipas dalam bilik pun boleh berpeluh, peluh mula mengalir di leher, apatah lagi di ketiak.

Kepanasan luar biasa ni mungkin juga ada kaitan dengan benda-benda yang terjadi dalam negara kita sejak akhir-akhir ni. Benda-benda yang tak boleh diterima akal, menyusahkan, mengarut, dan sangat tak membawa apa-apa faedah. Kenapalah ada manusia yang dikurniakan dengan pemikiran-pemikiran yang macam ini. Aku pun tak faham, dan memikirkannya hanya akan menambah kepanasan dalaman mahupun luaran.

Aku sangat berharap kepanasan melampau ni tak berpanjangan lama sangat. Sesungguhnya kepanasan ini menyeksa zahir dah batinku. Aku jadi terpinga-pinga dalam keresahan mencari sesuatu yang boleh menyejukkan. Tapi aku pasrah, tiada kuasa yang boleh menandingi kuasa-Nya. Lalu aku sedar aku perlu berpijak di bumi nyata.

Ah, apa yang cuba aku carutkan ni?

Panas, kadang-kadang membawa kepada ketidak-warasan manusia.

9.4.11

Perasaanku

Aku tersedar yang aku dah lama tak menulis tentang diri aku sendiri, aku rasa aku dah mengabaikan diri sendiri dan meng-anak tiri-kan diri sendiri dalam blog picisan ini. Pada malam yang menjengah pagi menunggu subuh ini, jari jemariku terasa sengal-sengal nak menzahirkan sesuatu dalam bentuk bait-bait perkataan bagi menluahkan rasa yang terbuku dalam hati yang bercampur gaul menjadi sesuatu yang kurang enak umpama resepi masakan yang tak menjadi.

Bak kata seseorang yang aku kenal, ada beberapa benda yang setiap orang pasti akan lalui dan rasa dalam hidup ni. Bezanya ialah tahap keseriusan benda yang dilalui itu. Ada sesetengah orang yang dapat perasan benda-benda ni, dan mereka ada satu kelebihan sebab boleh mengeploitasi orang lain atas benda yang dilalui itu, sebab mereka sudahpun melauinya dan melepasinya terlebih dahulu. Kebanyakan kaunselor yang hebat dan berjaya tergolong dari golong orang yang macam ini.

Tapi bila kita melalui satu perasaan yang sukar, kita jarang berfikir tentang orang lain yang pernah melalui sesuatu yang lebih sukar. Kita lebih suka berfikir betapa beratnya perasaan dan masalah yang kita hadapi tu seolah-olah hanya kita saja yang rasa dan seperti dunia ni tak adil pada kita. ('Kita' banyak merujuk kepada penulis sendiri). Bila aku berhadapan sesuatu yang sukar, aku jarang berfikiran waras.

Aku akan mula mengaitkan semua benda walaupun yang tak berkaitan dan membuat benda tu menjadi lebih rumit dan kusut. Kemudian aku akan bertindak atau membuat keputusan seolah-olah semua orang faham keadaan yang aku lalui dan tahu signifikan tindakan atau keputusan yang aku buat tu. Ha, signifikan pun dah keluar.hehe

Aku berhenti menaip seketika, kepala ku terasa bergoyang-goyang. Memandang kipas yang berputar di siling menambah pening kepala ku. Aku sudah tidak boleh berfikir dengan waras aku rasa. Aku hanya perlu tidur dan berharap bila aku bangun esok semuanya akan jadi baik-baik saja. Aku selalu berfikir macam tu walaupun aku tahu itu bukanlah satu kepastian yang boleh diharapkan.

Aku sangat berharap segalanya boleh selesai dengan secepat mungkin, aku perlu stay focus. Pejuangan belum selesai. Aku ada menulis dulu pasal perumpamaan angin yang meniup rambut sampai aku sendiri pun kurang faham apa yang aku tulis. Aku dah merasai angin seperti ni berkali-kali namun aku macam masih tak dapat menghadapinya dengan sebaiknya. I'm not a good learner.

Aku hanya perlu dua benda pada masa ini.

Pertama, tidur yang berkualiti.

Kedua, take it easy, jangan serius sangat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...