30.12.09

2009 - Tahun yang penuh serius.

Tahun 2009 dirasakan terlalu panjang berjalan, sampaikan aku terasa macam benda yang berlaku tahun ni macam berlaku tahun lepas. Padahal semuanya berlaku dalam tahun 2009, tahun yang amat panjang dan sarat dengan isu dan perkara yang padat.

Namun tahun ini jugak aku amat kurang menulis disebabkan kemalasan yang amat sangat disertakan dengan semangat tahi-tahi ayam semulajadi manusia. Memasuki tahun 2009 jugak penulisan aku menjadi semakin serius dengan bahasa dan ayat yang besimpul-simpul serta meleret-leret seperti sekarang. Sekali gus membelakangi nama blog Jangan Serius Sangat yang diperjuangkan selama ni.

OK bolehlah kita mulakan rangkuman tahun 2009 dari perspektif Jangan Serius Sangat menjelang tahun 2010 yang bakal tiba tak lama lagi.

2009 memberikan kita pelbagai kenangan dan peristiwa suka duka sampai aku tak tau nak start dari mana dulu ni.huhu. Baiklah, aku cuba sedaya upaya.

Selepas saja mengucapkan selamat tahun baru 2009 pada awal Januari lalu perkara pertama yang ditulis adalah mengenai bola sepak Malaysia. Mari kita mulakan dengan Harimau Malaya 2009.

Pasukan harapan segenap warga Malaysia yang juga menggunakan jolokan Harimau Malaya memulakan tahun 2009 dengan menghampakan, seperti biasa. Di bawah kendalian B. Sathianathan langkah longlai skuad bola sepak negara disambut dengan penuh cemuhan dan krikitan hebat semua pihak.

Akhirnya dengan mengeluarkan ungkapan "M League is not football" sebagai alasan kepada kemerosotan bola sepak negara, B. Sathianathan seperti dijangka dipecat daripada jawatannya dan digantikan oleh seorang lagi jurulatih tempatan, K. Rjagobal yang rambutnya sampai ke dahi seolah-olah memakai rambut palsu (tak penting).

Setelah K. Rajagobal mengambil alih, tak banyak yang aku tau dan ingat sepanjang skuad di bawah kendalian beliau.
Sehingga la pada pertengahan Julai, berpuluh ribu yang hadir di Stadium Bukit Jalil kononnya nak tengok kehebatan Manchester United dikejutkan dengan persembahan memberangsangkan skuad Harimau Malaya yang hampir-hampir memalukan Man. Utd. yang berkesudahan dengan gol Micheal Owen menyelamatkan Man. Utd dengan kemenangan tipis 3-2.
Dan akhirnya skuad Harimau Malaya yang dibarisi pemain bawah 23 kebangsaan berjaya menutup mulut pengkritik dengan membawa pulang pingat emas Sukan Sea dari bumi Laos dan mengakhiri kemarau 20 tahun negara dalam Sukan Sea. Satu kejayaan yang amat manis buat semua rakyat Malaysia, sudah sekian lama kita tak merasai kejayaan sebegini. Walaupun mungkin hanya seketika, kita harus meraikannnya.

Dengan itu skuad bola sepak kebangsaan akhirnya berjaya menamatkan kalendar 2009 dengan penuh gemilang walaupun bermula dengan hambar. Pingat emas di Laos dikatakan sebagai titik tolak peningkatan bola sepak tanah air. Aku berharap begitu lah, sangat berharap. Kalau cakap pasal bola ni, sampai bila pun tak abis.

Baik, terlalu panjang pasal bola. Kita berpindah ke agenda seterusnya.

* * * * *


Najib Razak dilantik ke jawatan tertinggi negara menggantikan Abdullah Ahmad Badawi pada April dan terus memperkenalkan gagasan 1Malaysia yang terus terusan dipromosikan ke seluruh negara hingga kini.





Dalam tahun yang sama juga, cuma lebih awal sedikit, Barack Obama diangkat sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat yang dijangka membawa banyak perubahan dalam dasar pemerintahan Amerika. Namun semuanya tampak sama saja hingga ke hari ini. Beliau dikhabarkan akan memperkenalkan gagasan 1Amerika tidak lama lagi.




* * * * * *

Sedikit perkembangan hiburan.


Band Meet Uncle Hussain yang menggegarkan idustri seni tanah air dengan menjuarai Juara Lagu TV3 dan Hits 1 RTM pada permulaan tahun mengalami pelbagai krisis sebelum mengumumkan dengan rasmi pengunduran vokalis utama mereka, Norazlan Roslee (kalau tak silap) atau Lan yang memilih untuk bergerak dengan band barunya, Azlan and The Typewriter.


Dan masa Rock The World 9 tempoh hari, disebabkan aku tak pergi (pergi tapi tak masuk) maka aku tak dapat tahu Meet Uncle Hussain menggunakan siapa sebagai vokalis mereka, tapi dapat dikenal pasti sebagai Black Mentor dan seorang lagi yang tak dikenali. Sesiapa yang tahu tolong hubungi saya ya.

* * * * *


Influenza A H1N1 yang lebih mudah disebut selesema babi juga tambah memeriahkan tahun 2009.

Wabak yg merebak dengan cepat di seluruh dunia ini menyebabkan suasana panik di beberapa buah negara termasuk Malaysia sendiri. Beberapa institusi pengajian terpaksa ditutup bagi mengelakkan menyebaran virus babi ini.

Namun apa yang menarik, dalam ramai yang sedar atau tidak, virus ni mulai redha ketika memasuki bulan Ramadhan dan hampir tiada jangkitan baru dalam bulan Ramadhan hingga ke Syawal. Besarnya kuasa tuhan.

* * * * *



Bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu runtuh dalam masa setahun setelah siap dibina, manakala dalam pada yang sama, Jaya Supermarket di Petaling Jaya yang dalam proses perobohan, roboh secara tidak dijadualkan dan mengorbankan nyawa.

Kedua-dua kes roboh ini menjadi topik hangat di dalam dan juga di luar negara hingga ke Korea. Kita tunggu apa pulak nak roboh lepas ni.


* * * * *


Beliau boleh digelar sebagai lagenda filem Melayu. Filemnya amat unik dan tak mungkin dapat dibikin oleh orang lain dalam dunia ini filem menyerupai filem beliau.

Bakatnya hanya dapat kita nikmati hanya sebentar. Mungkin banyak lagi yang ingin beliau luahkan dalam karya beliau, namun hanya sampai sini dibenarkan yang esa.

Kita doakan kebahagiaannya di sana.
Al-fatihah untuk Allahyarhamah Yasmin Ahmad.



* * * * *


Nama Kartika Sari Dewi juga adalah di antara nama-nama yang paling popular menjadi sebutan dan tulisan di dalam blog tahun ini di samping nama-nama lain seperti Manohara Odelia Pinot, Altantuya Shaariibuu, Elizabeth Wong, dan semestinya Rosmah Mansor.

Kartika Sari Dewi yang juga seorang bekas model sambilan dan ibu kepada beberapa orang anak berjaya meletakkan nama dan wajahnya di muka depan akhbar-akhbar tempatan dalam masa lebih kurang satu minggu.

Mengenai kesnya, kite semua pun dah sedia maklum dan tidak perlu diulas lanjut.

(Gambar tidak diperlukan bagi bahagian ini.)


* * * * *

Masuk politik sikit. Tahun 2009 juga digelarkan tahun pilihanraya kecil. Banyak pilihanraya kecil kita tengok tahun ni. Siapa yang menang? Semua kita dah tau.

Cumanya ada orang cakap pilihanraya kecil ni membazir, tak payah buat pun tak apa. Tapi kalau tak buat siapa nak jadi wakil rakyat? Siapa nak bela nasib rakyat? (kalau bela la)

Jadi kena buat jugak la pilihanraya kecil. Sekurang-kurangnya kita tau ke mana pergi wang rakyat daripada hilang ke tempat-tempat yang kita tak tau.

Ok, sikit saja.

* * * * *

Rasanya itu saja lah yang telah dirangkumkan dalam blog ini sepanjang tahun 2009 (alasan penat menulis dan berfikir).

Diharapkan tahun 2010 datang dengan penuh hikmah dan keberkatan.

Aku memang dah tak ada modal nak mencarut apa lagi ni.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...