17.2.10


'Filem M'sia gagal terap unsur Islam'


Feb 14

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.

Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

"Saya merasa di Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.

"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman," katanya berfalsafah.

- Bernama

* * *

Walaupun saya tidak mengenali Saudara Habiburrahman sebelum ini, namun saya yakin bahawa beliau adalah seorang yang amat hebat melaui karya-karya beliau yang sememangnya terkenal di pelusuk nusantara.

Buah pendapat beliau adalah sesuatu yang amat bertepatan pada hemat saya, sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana penerapan unsur Islam dalam drama bersiri 'Nur Kasih' telah menambat jutaan penonton terpacak di hadapan televisyen setiap kali tayangannya.

Tapi apa yang lebih penting sekarang adalah cara garapan jalan cerita itu sendiri. Untuk menyatakan filem di Malaysia tidak berani menonjolkan unsur-unsur Islam dalam jalan ceritanya adalah tidak tepat sama sekali.

Sudah tentulah Saudara Habiburrahman ini tidak berpeluang menonton kesemua filem tempatan kita, barulah beliau mengungkapkan perkara sebegitu. Jika ditanya sekalipun beliau mungkin hanya pernah menonton filem-filem seperti Cicakman, Geng: Pengembaraan Bermula, atau mungkin Jangan Pandang Belakang. Mungkin, saya tidak pasti.

Namun harus diingat filem-filem tempatan seperti Maut, Akhirat, malah filem-filem karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebenarnya telah banyak menonjolkan unsur-unsur Islam itu sendiri. Ironinya, filem-filem seumpama ini amatlah kurang mendapat sambutan di pawagam.

Pokoknya, tunjang jalan cerita itu sendiri yang akan berjaya menambat hati para penonton untuk ke pawagam. Manakala unsur-unsur Islam sebagai pendokong kepada jalan cerita utamanya dan digarap dengan baik supaya mesej itu dapat disampaikan secara langsung mahu pun tidak langsung.

Sebagai contoh filem Ayat-ayat Cinta itu sendiri mempunyai jalan cerita mengenai percintaan yang amat kuat dan menarik yang berjaya menarik hati penonton berserta dengan unsur-unsur seni Islam diadunkan dengan cukup sempurna menjadikannya sebuah filem yang amat-amat menyentuh hati.

Namun pada pendapat saya, filem-filem seumpama ini, jika dihasilkan oleh produksi tempatan sekali pun masih tidak dapat menambat minat dan hati para penonton di Malaysia. Kerana tidak keterlaluan jika dikatakan pemikiran masyarakat kita terutamanya golongan muda (yang menjadi penyumbang utama kepada industri perfileman negara) adalah agak tercondong ke arah kebaratan dan tidak boleh menerima filem-filem seumpama ini melainkan dihasilkan oleh orang luar.

Jadi, kalau kail pun panjang sejengkal, ini kan pula lautan dalam hendak diduga.

Sekian.

RHAZ.

13.2.10

Pop Tak Masuk Radio

1. Radio
2. Lagu Cinta Untukmu
3. Semua Tak Boleh
4. Goyang
5. Cari Ganti
6. Bayangkan
7. Gila Bayang
8. Whoa Oh Sayang
9. Hey Kawan-kawan
10. Mencari Malaysia



p/s: Teenage Disc Fantastic pun tak abis dengar lagi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...