22.2.16

Trans Java : Part 3 - Surabaya

Day 2 - 30 Ogos 2015 (Ahad)

Surabaya merupakan tempat persinggahan kami sebelum ke destinasi utama kami iaitu Gunung Bromo - kawasan tarikan pelancong utama di daerah Jawa Timur. Beberapa kali juga aku terpaksa menukar plan nak ke Bromo ni. Satu, disebabkan perjalanannya yang memakan masa yang panjang; kira-kira 4 jam dari Surabaya. Kedua, disebabkan kos perjalanan yang agak mahal, lagi-lagi kalau anda memilih untuk menyewa kereta dari Surabaya. 

Tambahan lagi entrance fee ke Bromo untuk pelancong asing agak tak masuk akal - Rp. 217,500 (+/- RM70) untuk hari biasa dan Rp. 317,500 (+/- RM100) untuk hujung minggu dan hari cuti. Sedangkan entrance fee yang dikenakan untuk warga tempatan hanya kira-kira RM10 saja. Masuk akal ke tidak?

Juanda Airport, Surabaya

Kami mendarat di Juanda Airport Surabaya kira-kira pukul 5:00 PM, 30 minit awal dari masa yang tercatat di atas tiket. Memandangkan penerbangan yang kami ambil adalah penerbangan domestik, kami tak perlu melalui apa-apa pemeriksaan untuk keluar dari airport. Jalan punya jalan, tau-tau dah sampai pintu keluar airport. 

Mr. Wong sudah sedia menunggu kami di airport ketika kami tiba di airport. Kami mengambil pakej ke Bromo dengan beliau. Dari mana aku kenal Mr. Wong? Dari pembacaan aku mengenai pengalaman blogger lain yang pernah ke Surabaya dan Bromo. Rata-rata mereka mengesyorkan untuk menggunakan perkhidmatan Mr. Wong. Ternyata tidak mengecewakan dan berbaloi. Mr. Wong ni warganegara Malaysia yang berkahwin dengan orang Surabaya dan dah lama menetap di sana. Berasal dari Sarawak tapi lama duduk berkerja di Penang sebelum berhijrah ke Surabaya. Jadi kalau sembang dengan dia memang sembang dalam loghat utara lah.

Keluar je dari airport, aku terus disapa oleh Mr. Wong. Entah macam mana dia boleh kenal aku, padahal kami hanya berkomunikasi melalui e-mail je sebelum ni. Nampak sangat muka orang Malaysia kot. Kami terus menaiki kereta Mr. Wong ke bandar Surabaya yang terletak kira-kira 30km dari airport, perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit. 

Kami hanya akan bertolak ke Bromo pada pukul 11:00 PM dengan supir yang telah diaturkan oleh Mr. Wong. Sementara menunggu pukul 11, Mr. Wong menawarkan untuk bawa kami pusing-pusing Surabaya dulu, kami OK saja.

House of Sampoerna

Hari sudahpun mula gelap ketika kami bergerak meninggalkan airport. Destinasi pertama yang kami tuju ialah House of Sampoerna (HOS).  HOS boleh dikatakan sebagai museum bagi syarikat rokok terbesar di Indonesia, Sampoerna. Antara yang ditunjukkan di sini ialah sejarah dan perjalanan perniagaan syarikat Sampoerna. Bermula dari berniaga menggunakan basikal sehinggalah menjadi antara syarikat yang paling gah di Indonesia. HOS dibuka setiap hari sehingga pukul 9 malam kalau tak silap, dan tiada bayaran masuk dikenakan.

HOS merupakan satu tempat yang menarik untuk dikunjungi walaupun anda bukan seorang perokok. Ia menunjukkan bagaimana seorang yang hanya bermula dengan menjaja di jalanan boleh berubah menjadi pemilik syarikat antara yang paling berjaya di Indonesia. Di tingkat atasnya pula anda berpeluang melihat sendiri proses pembuatan rokok oleh perkerja-perkerja mereka yang menggunakan tangan. Malangnya kami datang pada waktu malam, semua perkerjanya udah pulang kok.

Pintu masuk ke House of Sampoerna (HOS)
Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat rokok pada awal penglibatan Sampoerna dalam bidang pembuatan rokok.
Tingkat atas HOS
Selain daripada aktiviti perniagaan, Sampoerna juga giat dalam menyertai misi kemanusiaan di Indonesia.
Work station untuk pekerja-pekerja membuat rokok. Kalau datang waktu siang bolehlah tengok orang tengah buat rokok, tapi tak boleh ambil gambar kalau waktu siang.
Sampaikan dalam tandas pun hiasan tema rokok!
Masjid Agung & Makam Sunan Ampel

Dari HOS, kami meminta Mr. Wong membawa kami ke Masjid Agung Sunan Ampel. Selain daripada masjid, di sini juga terletaknya makam Sunan Ampel, iaitu salah seorang daripada 9 orang Wali Songo yang terkenal sebagai penyebar ajaran Islam di tanah jawa pada abad ke-14. 

Sebelum kami turun dari kereta, Mr. Wong berpesan supaya kami tidak mengambil gambar di kawasan makam kerana orang tempatan agak sensitif tentang makam tersebut katanya. Kami diturunkan di tepi jalan di pintu masuk ke bazar yang perlu kami lewati untuk ke masjid dan makam Sunan Ampel.

Ramai juga warga tempatan ketika kami tiba kerana baru lepas waktu Isyak. Waktu Isyak di sini lebih awal berbanding Malaysia, sekitar jam 7.30 malam. Laluan bazar agak sesak dengan orang yang ramai dan laluan yang sempit. Antara barangan yang dijual di sini seperti telekung, jubah, kopiah, buku-buku agama, t-shirt dan juga ada yang menjual makanan serta buah-buahan. Namun kami memang tidak merancang untuk membeli apa-apa di sini walaupun banyak juga yang menarik untuk dibeli sebenarnya. 
 
Antara gambar yang sempat dirakam ketika berada di bazar dalam perjalanan ke Masjid Agung Sunan Ampel, dah sampai kawasan masjid dan makam kami tak ambil apa-apa gambar seperti dinasihatkan.
Terdapat banyak telekung, jubah, tudung dan kopiah yang cantik-cantik juga dijual di bazar ini.

Kami terus berjalan melepasi bazar sehingga tiba dikawasan masjid. Kelihatan masjidnya masih mengekalkan binaan lama dan tidaklah terlalu besar. Kami tak masuk ke dalam, hanya tinjau dari luar saja. Terdapat beberapa orang warga tempatan yang baru selesai solat Isyak dan berjalan menuju ke kawasan makam. Kami pun langsung ke kawasan makam.

Satu pengalaman baru dan agak menarik ketika kami berada di makam Sunan Ampel ini. Begitu ramai sekali warga tempatan duduk memenuhi kawasan makam, mungkin ada juga yang datang dari luar Surabaya. Di antara mereka ada yang membaca Yasin dan ayat-ayat suci Al-Quran, ada yang berzikir dan beratib, ada yang berdoa, malahan ada juga kelompok yang seakan-akan menyanyi dengan suara mendayu-dayu dan merintih. 

Sebelum aku ke sini, aku pernah terbaca yang mengatakan sesetengah amalan mereka di makam ini boleh jatuh syirik kerana ada yang percaya ibadat dan doa mereka akan lebih diterima dan dimakbulkan jika dilakukan di sini. Wallahualam, itu semua antara mereka dengan Allah. Yang penting memang ada satu perasaan yang agak ganjil ketika kami berada di sini. Memang sukar untuk diterangkan, anda harus datang ke sini sendiri untuk melihat dan merasai pengalaman yang jarang-jarang dapat dialami ini.

Selepas menyedekahkan Al-Fatihah dan melihat sekitar kawasan makam, kami mengambil keputusan untuk keluar dari situ. Sejujurnya bulu roma aku dah mula tegak ketika berada dalam kawasan makam tu, lagi-lagi kami datang pada waktu malam. Oh ya, untuk masuk ke kawasan makam kita dikehendaki membuka kasut/selipar yang dipakai. Manakala pintu masuk dan keluarnya pula berbeza, jadi disyorkan untuk menjinjing kasut anda ke dalam supaya mudah nak keluar nanti tak perlu ke pintu masuk untuk ambil kasut

Selepas keluar dari kawasan makam, kami perlu melalui jalan yang sama untuk ke jalan besar iaitu melewati masjid dan bazar. Konon-konon nak cuba makanan tempatan, kami singgah di sebuah gerai di bazar yang menjual Roti Maryam. Kami fikir Roti Maryam ni mesti makanan tradisional Surabaya ni. Kami pun belilah dua keping untuk dimakan dalam perjalanan. Bila dah siap rotinya, sekali roti canai daa. Tipah tertipu kali ni.

Food Festival, Pakuwon City

Setelah mendapatkan Mr. Wong yang menunggu di seberang jalan, agenda kami seterusnya ialah makan malam. Mr. Wong membawa kami ke satu tempat makan yang diberi nama Food Festival di Pakuwon City, Surabaya. Di kawasan ini terdapat banyak banyak kedai makan macam foodcourt. Tempatnya juga meriah dan ramai orang, semua tempat pun ramai orang di Indonesia ni. 

Dipendekkan cerita, Mr. Wong mencadangkan sebuah kedai untuk makan malam kami. Selepas makan, Mr. Wong belanja pula kami pancake durian. Untuk bagi panas badan masa di Bromo nanti katanya, walaupun tak membantu pun rasanya. Hehe. Tapi pancake durian tu memang sedap, mesti cuba di Surabaya.

Menu makan malam kami. Sorry aku lupa apa nama kedai ni.
Pancake durian yang enak banget. Malangnya gagal untuk melawan kesejukkan di Bromo.
Selesai mengisi perut, Mr. Wong terus menghantar kami untuk berjumpa pak supir yang akan membawa kami ke Gunung Bromo malam itu, Pak Ji namanya. Pak Ji ni orangnya kurang bercakap sikit, bila ditanya barulah dia bercakap. Berbeza dengan Mr. Wong yang banyak bercerita dan memberi maklumat. Kami berjumpa dengan Pak Ji di Indomaret (kedai serbaneka 24 jam) kerana kami ingin membeli tiket kereta api ke Yogyakarta untuk hari Selasa, takut-takut tiket habis tersadai pula kami di Surabaya nanti.

Cara membeli tiket kereta api di Indomaret ialah dengan memasukkan segala butiran perjalanan dan penumpang di mesin jualan tiket yang terdapat di dalam Indomaret. Setelah semuanya selesai, slip pembelian akan dikeluarkan oleh mesin berkenaan dan kita perlu membuat pembayaran di kaunter Indomaret. Maknanya bukan masukkan duit ke dalam mesin, jangan salah faham. Selepas kita membuat pembayaran, cashier Indomaret akan memberi resit tertera dengan nombor siri. Resit inilah yang harus kita simpan untuk ditukar dengan tiket sebenar di stesyen kereta api kelak. Bab yang itu akan diceritakan kemudian.

Setelah selesai membeli tiket dan lain-lain barang keperluan di Indomaret, kami mengucapkan selamat tinggal kepada Mr. Wong kerana kemungkinan kami tidak akan berjumpa lagi walaupun kami akan kembali semula ke Surabaya pada keesokan harinya. Walaupun berjumpa hanya untuk beberapa jam, tapi sikap peramah beliau membuatkan kita rasa macam dah kenal lama. Semoga ketemu lagi di lain masa.

Kami meneruskan perjalanan ke Gunung Bromo dengan Toyota Innova yang dipandu oleh Pak Ji. Sempatlah kami berbual serba sedikit dengan Pak Ji sebelum kami bertiga lena diulit mimpi.

Dalam kepala aku sudah mula memikirkan keindahan Gunung Bromo seperti yang selalu dilihat dalam internet. Dan semakin jauh perjalanan, kesejukan semakin mencengkam…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...