27.9.16

Trans Java : Part 4 - Bromo

Day 3 - 31 Ogos 2015 (Ahad)

Cemoro Lawang

Toyota Innova yang kami naiki tiba di Cemoro Lawang kira-kira jam 3 pagi. Cemoro Lawang ialah tempat persinggahan sebelum naik ke Gunung Bromo. Terdapat banyak hotel dan homestay di sini untuk kemudahan pengunjung bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Bromo pada dini hari.

Dari sini kami akan bertukar menaiki jeep ke Penanjakan 1, iaitu lookout point untuk menyaksikan sunrise view yang dikhabarkan antara yang paling cantik di Indonesia. 

Dalam perjalanan ke sini, beberapa kali kereta kami cuba ditahan oleh ejen-ejen yang menunggu di sepanjang jalan ke Cemoro Lawang cuba menawarkan perkhidmatan jeep mereka. Ada juga yang bertindak agak agresif dengan berdiri di tengah jalan untuk memberhentikan kenderaan yang lalu. Namun pak supir kami buat tak tahu saja dan kadang-kadang sempat juga dia mengangkat tangan sambil melaung “sudah booking” tanpa sedikit pun memperlahankan kenderaannya. 

Untuk pakej jeep, kami menggunakan khidmat Pak Eddy yang telah diaturkan oleh Mr. Wong dari Surabaya. Kami akan dibawa ke Penanjakan 1 untuk menyaksikan sunrise, seterusnya ke Kawah Bromo, Padang Savana, dan yang terakhir ke Pasir Berbisik sebelum pulang semula ke Cemoro Lawang. Semua bayaran pakej jeep dan tiket masuk Bromo sudah termasuk dalam pakej Mr. Wong. Jumlah perbelanjaan akan dikongsikan dalam entry terakhir di Surabaya.

Kesejukan mula terasa menusuk hingga ke tulang benulang saat kami melangkah keluar dari kereta. Tanpa dipinta, peniaga jalanan menghampiri kami dengan membawa scarf, glove, snow cap dan mask pada waktu dan tempat yang sangat diperlukan. Pada masa tu kami dah tak fikir tentang harga mahal ke murah, langsung saja borong apa yang diperlukan untuk mengurangkan rasa sejuk yang menggigit. 

Kalau tak silap, glove dan mask berharga IDR10,000 manakalia scarf dan snow cap pula berharga IDR40,000. Lebih kurang begitulah harganya, serius aku memang tak sempat nak fikir sangat pasal harga masa tu.

Penanjakan 1 (Lookout Point)

Kira-kira jam 3.30 AM, jeep kami mula bertolak ke Penanjakan 1. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30-40 minit. Keadaan sekeliling gelap gelita memang tak nampak apa. Perjalanan kami bermula dengan jalan bertar, kemudian masuk ke off-road track melalui jalan yang berpasir dan berbukit. Akhirnya kami masuk semula ke jalan bertar sebelum sampai di pintu gerbang Penanjakan 1.


Kami bernasib baik kerana jeep kami parking agak hampir dengan pintu gerbang, jadi kami tak perlu berjalan jauh ke lookout point. Khabarnya kalau pada hujung minggu, memang kena menapak jauh sebab pengunjung terlalu ramai dan jeep terpaksa parking jauh. 

*Tips - Sebolehnya bertolak awal dari Cemoro Lawang ke Penanjakan supaya dapat parking dekat dengan pintu gerbang lagi-lagi kalau hujung minggu. Kalau sampai lambat, parking dah penuh, terpaksalah mendaki bukit jauh sikit nak sampai ke lookout point. Ada yang aku baca sampai setengah jam jalan kaki pun ada. Dengan kedaan sejuk nak beku macam tu, memang mencabar.


Di kawasan pintu gerbang ni ada disediakan tandas dan surau. Juga terdapat beberapa warung menjual makanan dan minuman, malah souvenir juga ada dijual di sini. Terdapat banyak peniaga yang berlegar-legar di kawasan ini untuk menawarkan jaket sewa. 

Kerana masih terasa kesejukkan walaupun dah menyarung berlapis-lapis baju, kami memilih untuk menyewa jaket dengan seorang makcik dengan harga yang agak murah sekitar Rp.20,000.

Tapi sebenarnya kalau dah pakai jaket atau sweater sendiri, tak perlu pun nak sewa jaket lagi. Mula-mula memanglah rasa sejuk tak ingat, tapi semakin lama sejuknya semakin berkurang menjelang matahari terbit.


Menurut makcik yang kami sewa jaket tu, waktu matahari terbit di situ lebih kurang jam 5.00 pagi. Di sebabkan kami sampai awal, jadi masih ada masa untuk mengalas perut di warung berdekatan. Selepas pekena milo panas dan Pop Mie, barulah kami meneruskan perjalanan ke lookout point.

Warung-warung yang terdapat di Penanjakan 1 sebelum naik ke lookout point. Di sebelah kanan gambar sebelah van tu boleh nampak peniaga yang menawarkan jaket sewa, harga lebih kurang 20 ribu rupiah. Boleh nego lagi kalau ambil banyak.
Keadaan di dalam warung yang dipenuhi pengunjung yang singgah sementara menunggu sunrise
Dalam kedinginan melampau memang nikmat dapat pekena Pop Mie
Peta Bromo yang terdapat dalam warung yang kami singgah. Ada gambar tempat-tempat menarik yang terdapat di Bromo.
Perjalanan ke lookout point dari kawasan parking jeep tadi tidak lah jauh sangat rupanya. Dalam 10 minit jalan kaki mendaki lereng yang tak berapa curam dan beberapa anak tangga, kami dah pun sampai di atas. Walaupun kami datang pada hari Isnin dan dikatakan kurang sikit pengunjung pada hari biasa kalau nak banding dengan hujung minggu, kawasan lookout point tu tetap penuh. Kebanyakkannya adalah pelancong luar tapi ada juga warga tempatan. 

Kami menyelit di celahan orang ramai mencari spot yang dirasakan sesuai untuk menikmati sunrise view walaupun kami tiada idea dari mana arah matahari terbit sebenarnya.


Setelah menunggu dalam gelap gelita dan menggigil kesejukan selama kira-kira setengah jam, barulah kelihatan cahaya mentari di ufuk langit mula memancarkan sinarnya yang kemerah-merahan. Segala jenis alat perakam sama ada kamera, handphone, mahupun gopro dihalakan untuk merakamkan detik yang cukup indah ini.


Hilang sekejap semua rasa sejuk, mengantuk, dan penat setelah melihat pemandangan yang “magnificent” ini - memetik perbualan sekumpulan pelancong barat di belakang kami. Terasa memang berbaloi dengan kos yang mahal dan perjalanan yang jauh untuk menikmati pemandangan seumpama ini. 

Kami mengambil gambar dari pelbagai sudut dan tidak lupa juga bergambar dengan Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan negara. Merdeka! (Kan 31 Ogos. Hehe)

Saat matahari terbit, pemandangan yang "magnificent
Tengoklah berapa ramai manusia dekat situ. Sebenarnya masa ni kami salah port pegi tunggu belah lain, bila dah nampak cahaya baru berkejar ke arah ni. So dapat lah view belakang kepala orang je.
Gunung yang paling belakang dan tinggi tu Gunung Semeru, yang paling depan ni pula Gunung Batok manakala Bromo yang keluar banyak asap belakang Gunung Batok tu. Lepas turun dari Penanjakan ni barulah kami naik ke Gunung Bromo.
Gambar close-up gunung-gunung yang dapat dilihat dari lookout point Penanjakan 1
Antara pemandangan yang memukau semua mata yang memandang
Pemandangan yang akan membuatkan anda hilang segala rasa sejuk, penat dan mengantuk
Kabus semakin menipis setelah matahari meninggi
Setelah pagi mulai cerah dan matahari sudah semakin meninggi, kami meninggalkan kawasan lookout point untuk kembali ke jeep dan meneruskan perjalanan. Belum sempat pun kami turun dari kawasan lookout point, makcik sewa jaket tadi sudah pun naik dan mengutip jaket yang kami sewa. Jadi jangan risau nak pulang jaket sewa tu dekat mana.


Kami sempat singgah di kedai yang menjual souvenir di warung-warung dekat jalan masuk ke Penanjakan untuk membeli t-shirt kenang-kenangan Bromo. Harga dekat sini lebih murah sikit nak bandingkan dengan yang dijual di Cemoro Lawang. Harga aku lupa lagi.


Pak Eddy sudah sedia menanti di jeep ketika kami sampai. Sebelum turun jeep pagi tadi dia dah berpesan siap-siap supaya cari dia di tempat yang sama dia parking. Memandangkan jaraknya tak berapa jauh dari pintu gerbang, jadi tak susah kami mencari jeep Pak Eddy walaupun malam tadi tak berapa nampak sebab gelap.


Untuk mengelakkan daripada tak jumpa atau tersalah jeep, ada baiknya anda ingat saja nombor jeep sebab setiap jeep ada nombor yang terpampang besar-besar supaya mudah dikenal pasti.

Kawah Bromo

Dari Penanjakan 1 kami langsung saja ke Kawah Bromo untuk melihat dengan lebih dekat kawah gunung berapi yang masih aktif. Jeep akan menurunkan semua penumpang agak jauh dari kawah gunung berapi (bukan agak, memang jauh sebenarnya). Selebihnya terpaksalah berjalan kaki ataupun boleh juga menyewa kuda. Kadar sewaan kuda bermula dari Rp.100,000 dan semakin berkurangan apabila jarak semakin hampir.

Pemandu jeep sengaja memberhentikan jeep jauh dari kawasan kawah Bromo, supaya pengusaha kuda sewa pun dapat cari makan. Berkongsi rejeki kata orang.

Di sini lah kami diturunkan oleh Pak Eddy dan kena berjalan kaki ke kawah Bromo yang nun jauh di sana
Jeep yang turun dari Penanjakan tadi semua datang ke sini. Dapat dilihat juga pengusaha kuda sewa sedang mencari pelanggan. Bila dah ada penyewa, dia akan turun dan tarik kuda tu. Takda maknanya nak naik berdua.
Ini lah Gunung Batok yang dapat dilihat dari Penanjakan tadi. Kalau nak diikutkan gunung ni lagi tinggi dari Bromo, tapi kawah dia tak sebesar Bromo. Jadi tak sesuai kalau nak naik ramai-ramai atas tu.
Kami memilih untuk berjalan kaki saja pergi dan balik supaya lebih mencabar (sebenarnya sebab tak nak keluar duit). Perjalanan naik dan turun Kawah Bromo ini sememangnya betul-betul mencabar minda dan fizikal. Hampir-hampir juga lah give up dan nak sewa kuda je.

Selain daripada jaraknya yang jauh dan mendaki bukit, debu-debu yang berterbangan disebabkan oleh kuda yang lalu lalang menjadikan pendakian ini lebih mencabar. Ditambah pula dengan tidur dan rehat yang tidak mencukupi, memang cukup menguji ketahanan diri. Namun tetap juga kami gagahi hingga ke akhirnya.  
Setelah berjalan jauh di padang pasir tadi, sampai lah di kaki Gunung Bromo. Tibalah masa untuk mendaki pula!
Boleh nampak kecerunan yang menggerunkan dan debu-debu beterbangan ke merata tempat. Janganlah lupa bawa face mask dekat sini kalau tak memang sengsara.
Jauh lagi perjalanan mendaki ni. Beberapa kali juga lah kami singgah pit stop. Mengah!
Kata orang, bila dah di atas jangan lupa melihat ke bawah
Sebelum sampai di kawah Bromo, bahagian yang terakhir yang terpaksa ditempuhi ialah memanjat anak tangga hingga ke puncak. Ini yang bertambah lemah ni. Beberapa kali berhenti jugalah baru sampai di atas. Tangganya pula agak sempit dan sesak dengan orang yang naik dan turun. Jadi kenalah lebih berhati-hati untuk keselamatan, kanak-kanak amat tidak digalakkan untuk dibawa ke sini.

Tangga menuju puncak Bromo
Kuda-kuda sewa akan berhenti sampai di bawah tangga saja. Takkan naik tangga pun nak pakai kuda, lemaklah.

Selepas mendaki tangga yang seperti tiada penghujungnya itu, barulah kami dapat melihat keadaan kawah Bromo yang masih aktif dan mengeluarkan asap berkepul-kepul. Ia juga merupakan satu lagi pengalaman yang menakjubkan dapat melihat sesuatu yang jarang-jarang dapat kita lihat. 

Keadaan di dalam kawah Bromo yang berasap
Pemandangan dari puncak Gunung Bromo
Pemandangan dari puncak Gunung Bromo
Bunga yang dijual di Bromo. Tak pasti apa kegunaannya.
Pengunjung memenuhi lereng kawah. Hati-hati nak berselfie pun, dengar cerita ada orang pernah jatuh dekat sini.

Kawasan di atas tu tidak lah sebesar mana, orangnya pulak ya ampun ramai sekali. Jadi dekat atas tu pun tak boleh lama-lama. Cukuplah sekadar menyaksikan keadaan di dalam kawah gunung berapi sambil menghilangkan rasa penat lelah mendaki tadi. Lepas dah dapat mengumpulkan tenaga kembali, kami pun turun menuju ke jeep semula.


Pengunjung mula turun dari Bromo. Jauh lagi perjalanan, jeep pun tak nampak.
Ada satu lorong untuk naik, satu lorong untuk turun. Tapi space dia kecik sangat, kalau orang depan berhenti yang belakang semua sangkut sekali.
Perjalanan turun tidaklah sesukar masa mendaki, namun persekitaran yang berdebu masih lagi menjadi halangan utama kami.Tips yang sempat diberikan oleh Mr. Wong sebelum kami berangkat ke Bromo tempoh hari - waktu mendaki pijak di tempat yang keras, waktu turun pula pijak dekat kawasan yang lembut, maksudnya atas pasir lah tu. Ternyata tips ni membantu juga serba sedikit.

Dengan nafas yang tercungap-cungap, akhirnya kami tiba juga di kawasan jeep parking tadi.


“Capek ya?” tanya Pak Eddy sambil tersenyum melihat kami yang kepenatan.


“Capek banget mas,” kami memanggilnya dengan panggilan mas kerana orangnya tidak lah terlalu tua, dalam lingkungan 30-an mungkin.

Kami masuk ke dalam jeep dan Pak Eddy memecut ke destinasi seterusnya.

Padang Savana / Bukit Teletubbies

Destinasi seterusnya ialah Padang Savana atau juga dikenali sebagai Bukit Teletubbies. Ia dipanggil Bukit Teletubbies kerana kawasan bukitnya yang menghijau persis bukit di dalam siri rancangan kanak-kanak popular itu. 

Namun memandangkan ketika itu merupakan musim panas di Bromo, kehijauannya tidak kelihatan sangat. Rumput dan tumbuhan di sekitarnya tampak kuning kekeringan. Tapi ia tetap menjadi kawasan yang menarik untuk bergambar dan menikmati pemandangan.

Bukit Teletubbies yang dimaksudkan
Boleh nampak rumput kering dan kekuningan. Tapi pemandangan tetap cantik.
Dekat rumput ni pun patutnya ada bunga-bunga tapi semua dah layu
Bayangkan kalau semua rumput warna hijau
Kalau nak tengok kawasan ni cantik menghijau, kena datang waktu musim hujan. Tapi kalau datang waktu musim hujan, kemungkinan besar tak dapat nak tengok view sunrise yang cantik sebab matahari dilindung oleh awan. Jadi kena lah pilih mana satu keutamaan anda. 


Batu Singa


Seterusnya dalam perjalanan ke Pasir Berbisik, kami singgah di Batu Singa. Tiada apa yang menarik sebenarnya tentang batu ini melainkan ia menyerupai bentuk seekor singa yang sedang berehat. 

Alang-alang dah sampai, kami pun turun mengambil beberapa keping gambar sebelum menyambung perjalanan ke Pasir Berbisik.


Nampak tak singa dia?
Haa yang ni mesti nampak
Pasir Berbisik


Pasir Berbisik pula merupakan satu padang pasir yang lapang dan luas mata memandang. Mengikut kisahnya, apabila angin bertiup di kawasan padang pasir ini, ia akan menghasilkan bunyi seakan-akan orang yang sedang berbisik. Entahkan ya entahkan tidak kurang dapat dipastikan kerana kami memang tak dengar apa-apa bunyi berbisik pun di situ. 

Pemandangan di Pasir Berbisik
Bunyi jeep berbisik ada lah kami dengar
Kalau anda travel dengan bajet yang ketat atau mengejar masa, boleh dikatakan bukanlah satu kerugian besar jika anda memilih untuk tidak pergi ke tempat-tempat ini (Padang Savana, Batu Singa & Pasir Berbisik). Kerana untuk singgah di kawasan yang dimaksudkan, anda akan dikenakan caj tambahan berbanding trip yang hanya pergi ke Penanjakan dan Kawah Bromo.


Dengan itu berakhirlah Bromo trip kami dan kami dibawa pulang ke Cemoro Lawang semula kira-kira jam 9 pagi. Jauh berjalan, perut pun dah berkeroncong.

Destinasi seterusnya ialah Air Terjun Madakaripura. Pak Ji mencadangkan supaya kami mengisi perut dahulu sebelum bertolak. Katanya perjalanan ke sana lumayan jauh dan tidak ada tempat makan di kawasan sekitarnya. Kami bersetuju dengan cadangan Pak Ji dan makan di warung kepunyaan Pak Eddy sebelum bertolak ke Air Terjun Madakaripura.

Nak tahu apa yang ada di Air Terjun Madakaripura? Tunggu entri seterusnya...  

Gambar yang sempat dirakam ketika perjalanan pulang dari Cemoro Lawang. Masa datang malam tadi gelap tak nampak apa.
Jalan turun dan naik adalah sama dan jalannya agak kecil
Memandangkan kawasan ni beriklim sejuk, jadi aktiviti utama penduduk tempatan adalah becucuk tanam. Jumpa lagi Bromo!









Part 2 - Jakarta
Part 3 - Surabaya
Part 4 - Bromo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...