Tajuk entry ni bukanlah bermaksud aku nak tulis pasal sekuel cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) tapi bermaksud ini adalah entry kedua yang aku tulis mengenai filem HKLBR ni selepas yang pertama dulu. Aku difahamkan sekuel untuk cerita HKLBR bertajuk "Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet" yang mana pergambarannya telahpun dimulakan dan turut dibintangi my all-time-favourite actor and director; Afdlin Shauki.
Kenapa aku terpanggil untuk menulis kali kedua mengenai filem ini?
Aku tahu ramai yang tak suka dan tak setuju bila aku memberi pandangan peribadi aku tentang filem HKLBR yang aku cakap ada banyak kelemahan dalam entry yang lepas. Begitu juga bila aku cakap cerita Ngangkung tak best, dan cerita HKLBR lagi best daripda Ngangkung. Ramai yang tak setuju. Namun itu hanyalah sudut pandangan seorang marhaines yang tak ada apa-apa ilmu perfileman mahupun ilmu penyiaran, jadi tak perlulah dipandang serius sangat.
Apa yang menarik untuk aku tulis pasal filem HKLBR untuk kali ni ialah betapa besar pengaruh dan begitu dalam impak yang ditinggalkan oleh filem ini kepada masyarakat kita. Aku rasa dah lama tak ada satu filem seumpama ini yang mana skrip dan babak-babaknya menjadi sebutan malah diulang-ulang oleh orang. Atau boleh dikatakan sebagai 'Fenomena Kak Limah'. Aku mula tertarik dengan 'Fenomena Kak Limah' ni masa aku menghadiri satu majlis pernikahan di Johor Bahru kira-kira sebulan yang lalu. Masa sesi ambil gambar rombongan pengantin lelaki, mereka menggayakan gaya tangan Usop dalam filem HKLBR. Bukan sorang dua, semua ahli rombongan buat gaya yang sama siap dengan slogan popular, "Kita bakor je.." sekali.
Aku agak terkejut dan juga kagum dalam masa yang sama. Satu rombongan pengantin yang terdiri dari kanak-kanak sehingga ke golongan veteran, semua tahu gaya tangan Usop yang tak masuk akal tu. Lantas terdetik dalam hati aku, satu benda yang kita anggap kecil dalam sesebuah filem sebenarnya boleh meninggalkan satu kesan yang boleh buat orang ingat selepas menonton filem tu. Tapi sebenarnya gaya tangan Usop tu dah pun diperkenalkan sejak dari zaman Zombi Kampung Pisang lagi, tapi dalam HKLBR barulah gaya itu menjadi satu gaya yang amat popular pada masa kini.
Seingat aku, filem Melayu terakhir yang banyak menjadi sebutan dialog serta babaknya adalah dalam filem-filem Senario iaitu lebih 10 tahun dulu. Lepas dari tu, aku tak rasa ada filem yang memberi kesan mendalam kepada penonton sebab dah masuk zaman filem Prof Razak Mohaideen yang aku sifatkan sebagai zaman malap filem tempatan. Kalau kita ingat lagi, ada beberapa dialog-dialog yang selalu diulang-ulang dulu dari filem-filem Senario.
Darah, darah. Aku cedera parah!!!
Macam pernah kulihat, tapi dimana ya?
Paen...paen... keluar!
Kesemuanya adalah petikan dari filem Senario Lagi pada tahun 2000. Yang lain aku tak berapa ingat.hehe
Tapi 'Fenomena Kak Limah' ni lain macam sikit, bukan saja dialog dan babak, malahan lagu-lagunya jugak menjadi satu fenomena. Padahal lagu-lagu yang terdapat dalam filem ni semua lagu-lagu lama, tapi menjadi kegilaan lepas dimuatkan dalam filem ni. Contohnya lagu Cinta Kristal dendangan Rahim Maarof dan dinyanyikan semula oleh Awie dalam filem HKLBR. Aku pun tak tahu lagu tu Rahim Maarof yang nyanyi sebenarnya, aku ingat betul-betul lah lagu Awie. Tapi lepas je filem HKLBR, lagu tu meletup-letup malah kalau dibuat survey di pusat-pusat karaoke, lagu Cinta Kristal menjadi antara lagu pilihan paling tinggi ketika ini.
Satu lagi lagu yang tiba-tiba menjadi sebutan ramai ialah lagu Soley Soley nyanyian band Middle of The Road pada tahun 1971. Entah mana-mana datang lagu ni, masa zaman lagu ni pun rasanya Mamat Khalid tengah zaman sekolah rendah lagi.Babak lagu ni dalam filem HKLBR hanya selama dalam seminit je, tapi impaknya sangat besar. Kalau dilihat video klip asal lagu ni di Youtube, jumlah view-nya mencecah sejuta lebih manakala video nyanyian Abi Huhairah feat. Usop yang dipetik dari filem ini pula mencecah 200 ribu lebih view. Sila klik link di bawah untuk melihat video-video yang dimaksudkan.
MIDDLE OF THE ROAD - SOLEY SOLEY 1971
Abi Hurairah & Usop - Soley Soley OST Hantu Kak Limah Balik Rumah
Aku teringat bila aku cakap pasal babak-babak yang tak membantu dan tak memberi apa-apa makna kepada jalan cerita. Aku anggap babak-babak tersebut kalau tak ada pun tak apa. Tapi ternyata aku tersalah anggap sebab kalau tak ada babak-babak yang aku maksudkan tu, tak berserilah filem Mamat Khalid ni. Maknanya, aku tak pasti secara sengaja atau tidak, Mamat Khalid telah berjaya membuatkan babak-babak yang tak bermakna pada mata aku tu sebagai babak-babak yang diingati oleh penonton. Sebagai contohnya babak Usop menyanyi lagu "Happy Birthday To Me" sebelum kaki kena lanyak pembajak tu. Nyata babak tu pun membuatkan penonton tertarik dan dimuat naik ke Youtube dengan view lebih 40 ribu kali. Klik link di bawah.
Happy Birthday To Me [Usop] (Hantu Kak Limah Balik Rumah)
Setelah aku analisa lagi dengan lebih mendalam (takde lah dalam mana pun), dari segi kutipan filem setakat ini, filem HKLBK berada di tangga ke-3 iaitu sebanyak RM 7.90 juta di belakang Ngangkung (RM 8.18 juta) dan Khurafat (RM8.08 juta)- kemungkinan akan disaingi hebat oleh filem terbaru KRU, Hikayat Merong Mahawangsa. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa filem HKLBR ni hanya ditayangkan di 39 buah pawagam jauh lebih sedikit berbanding dengan Ngangkung (59) dah Khurafat (66). Apa sebab musababnya aku tak tahulah hal-hal orang filem ni, dengan skim wajib tayang benda apa entah. Tapi cuba kita bayangkan jika filem HKLBR ni ditayangkan di 66 buah pawagam seperti filem Khurafat ataupun sekurang-kurangnya di 59 buah pawagam seperti Ngangkung. Adakah filem ini mampu memungut kutipan lebih tinggi dan memecah rekod kutipan dengan mengambil kira betapa kuatnya impak filem ini di kalangan masyarakat kita sekarang.
Mengikut perkiraan aku yang tak menggunakan calculator ni, kebanyakan orang mula bercakap tentang filem ni bila mula ditayangkan di Astro First dan juga mula boleh di-download di internet. Maknanya dari segi kutipan di pawagam, filem ini belum mencapai jumlah kutipan tertingginya kerana masih ramai yang menontonnya melaui Astro First mahupun download, tidak di pawagam. Dan mereka ini pun menonton filem ni atas bawaan mulut orang-orang yang dah menontonnya di pawagam tapi tak berkesempatan menontonnya di pawagam. Lalu mereka men-download filem ini atau menonton melaui Astro First saja. (Apa belit-belit ayat skema aku ni) Kalau nak disimpulkan, jika filem ini ditayangkan di lebih banyak pawagam dan lebih lama masa tanyangannya, tidak mustahil filem ini boleh mencapai satu kutipan yang lebih tinggi.
Namun, aku tetap mempunyai satu teori kebarangkalian yang lain lagi, macam biasa. Ada juga kemungkinan dan kebarangkalian yang tak boleh dinafikan, ada juga orang yang sengaja mengulang-ulang sedutan atau petikan dari sesuatu filem itu dengan niat untuk memperlekehkan filem berkenaan. Walaupun mungkin tak ramai tapi tetap ada. OK aku bagi contoh lagi, dah macam karangan SPM pulak dah. Aku pernah terdengar orang yang membuat lawak mengenai filem ini, apa lawaknya aku kurang pasti. Tapi mereka mengajuk sesuatu dari filem ini. Sedang mereka bergelak ketawa salah seorang bertanya,
"Kau tengok tak cerita tu? Aku tengok tapi tak faham. Entah apa-apa cerita tu, kau faham tak?"
Kawan yang sorang lagi, walaupun dia faham cerita tu, dalam ketawa dia pun sama menjawab
"Aku pun tak faham cerita tu".
Dari situ aku dapat merasa ada orang yang sengaja seolah-olah mengejek filem ni, bukannya diorang sebut-sebut sebab suka. Jadi kita kena ambil kira semua tu dalam analisa yang lebih mendalam kali ni untuk memanjangkan entry.hehe
OK, aku amat gemar sebenarnya untuk bercakap tentang watak Usop bekas penari kebudayaan dalam filem HKLBR ni. Hal ini kerana watak Usop adalah watak yang paling popular menenggelamkan watak utamanya, Husin. Malah kebanyakan dialog-dialog yang diingati ialah dialog-dialog Usop yang amat bersahaja dan sudah tentulah ungkapan "Kita bakor je.." akan menjadi trademark Usop sampai bila-bila. Usop atau nama sebenarnya sape ntah, malas nak Google, telah berjaya membawa wataknya dengan begitu baik dan berkesan sekali. Tak keterlaluan kalau aku kata Usop telah berjaya menyelamatkan filem Mamat Khalid kali ni dengan gaya badan dan lenggok perkataannya yang begitu menghiburkan penonton. Selain itu, kehadiran pertama Johan juga sedikit sebanyak membantu kemeriahan filem ini (aku rasa aku dah tulis pasal ni)
Sebagai kesimpulannya, walaupun aku tak suka buat kesimpulan, dapat dirumuskan bahawasanya Mamat Khalid telahpun mencapai satu kejayaan besar melaui filem beliau yang ini. Bukan semata-mata atas kutipannya yang tinggi, malah cara masyarakat menerima dan menghargai karya beliau ini adalah sesuatu yang di luar kebiasaan. Namun bagi aku, Kala Malam Bulan Mengambang tetap manjadi naskah Mamat Khalid yang paling aku gemari sehingga kini.
Syabas Abang Mamat, jangan lupa buat filem yang seronok-seronok lagi. Seronok untuk ditonton, seronok untuk didengar, seronok untuk dicakap, dan seronok untuk diulas.
Sekian.
p/s: Kalau ada orang yang mengutuk habis-habisan filem ni sampai tulis dalam blog lepas tu macam tak puas hati sangat, padahal tengok download je, bukan tengok wayang pun. Anggaplah orang itu mempunyai sifat lawak yang amat tinggi dan mampu berlawak hingga ke tahap antarabangsa, dan dia ada duit sendiri berjuta-juta untuk membuat filem sendiri. Jadi tak hairanlah dia mengkritik dengan begitu hebat, kerana dia jauh lebih hebat. Terima kasih.