Dah lama benar aku tak ke panggung wayang sebenarnya. Seingat aku last aku pergi pun aku tengok cerita... Ah, aku tak ingat! Nampak sangat dah lama tak tengok wayang.hehe Tapi setelah merujuk ke laman web FINAS, aku dapati filem tempatan yang terakhir aku pergi tengok dekat wayang ialah Jangan Pandang Belakang Congkak 2 pada bulan Oktober yang lepas. Erm, agak lama jugak lah tu.
Dan semalam akhirnya aku mengakhiri kemarau menonton filem tempatan dengan menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR), satu lagi filem hasil buah fikiran dan garapan sutradara Mamat Khalid, pengarah yang tak asing lagi dalam industri seni tanah air kita ni.
Siapa yang tak kenal dengan Mamat Khalid? Nama beliau dah cukup gah dalam industri perfilemanan negara, walaupun hasil kutipan filem-filem beliau tak lah begitu memberangsangkan sehebat Ahmad Idham mahupun Syamsul Yusof. Mamat Khalid dah pun mempunyai golongan peminat-peminat filemnya sendiri, walaupun perlu diakui tak berapa ramai (boleh kita lihat dengan hasil kutipan filem Estet yang amat rendah berbanding kos produksinya sendiri). Ada juga terdapat golongan yang tidak dapat menerima lawak-lawak yang diterapkan oleh Mamat Khalid dalam filemnya yang mana bagi mereka lawak Mamat Khalid terlalu 'kebodohan' dan 'lawak kampung'.
Bagi aku, aku tak ada masalah dengan karya Mamat Khalid, malah aku antara peminat filem-filem beliau walaupun tak semua filem dia aku pergi tengok dekat wayang. Sebab tu lah aku pergi tengok filem ni, ditambah lagi dengan komen-komen positif dari kawan-kawan yang dah tengok cerita ni. Satu lagi, harus diakui faktor Johan Raja Lawak adalah salah satu faktor yang kuat membuat orang ramai rasa terpanggil untuk pergi menonton filem ni. Lagi-lagi ini merupakan kali pertama Johan beraksi di layar perak. Aku cukup minat dengan Johan, lagi-lagi dengan membawa watak yang cukup berkesan dalam drama bersiri Caparella dan lawak bersahaja ketika menyampaikan anugerah dalam Shout! Award tempoh hari. Aku yakin tak lama lagi Johan akan diberi kepercayaan untuk memegang watak utama pulak dalam filem.
OK, kembali kepada Hantu Kak Limah, kami tiba di Cathay Cineplex, The Curve lebih kurang pukul 8.45 p.m. dan tertera di skrin, tayangan HKLBR seterusnya pada pukul 9.45 p.m. iaitu dalam masa sejam. Namun apabila sampai di kaunter tiket, tayangan pukul 9.45 p.m. tu full house, hanya ada kosong tempat duduk paling depan. Aku agak terkejut sebenarnya, mana tak nya pada masa yang sama filem-filem boxoffice dari Hollywood turut ditayangkan seperti Narnia, The Social Network, Due Date, Rapunzel, dan ada beberapa lagi yang lain. Terdetik dalam hati aku; untung besar Mamat Khalid kali ni, walupun dah rugi besar dalam Estet. Disebabkan kami dah nekad nak tengok HKLBR, kami sanggup beli tiket untuk tayangan seterusnya pukul 11.45 p.m. yang mana hampir penuh juga!
Setelah merayau-rayau dan pergi makan untuk menghabiskan masa dua jam lebih kami pun melangkah masuk ke wayang. Masuk je dalam wayang, aku tengok hall penuh, ramai betul yang nak tengok cerita tu malam tu, terutamanya seisi keluarga yang turut membawa anak-anak sekali. Dan disebabkan cerita komedi, semua kelihatan dah bersedia untuk bergelak ketawa ketika itu (macam mana lah aku boleh nampak dalam gelap tu kan). Bahkan masa mula-mula tertera tajuk Hantu Mak Limah Balik Rumah dan ada suara latar yang menyebutkan tajuk tu pun, dah ada yang ketawa; aku tak, aku senyum je.hehe Sebelum pergi lebih jauh, ada satu cerita yang menarik berlaku masa preview filem-filem akan datang ditayangkan. Selepas preview filem Khurafat arahan Syamsul Yusof yang akan ditayangkan Januari tahun depan, terdapat suara yang mengatakan "KALAU TAK TENGOK PUN TAKPE". Aku hanya tersenyum, no comment, walaupun aku memang setuju sangat.hehe
OK, bagi filem HKLBR ni, bagi aku Mamat Khalid berjaya. Berjaya membuat orang ketawa dan berjaya menerapkan elemen-elemen nasihat dan isu-isu semasa dalam bentuk sinis dan ada jugak yang straight forward. Setiap filem Mamat Khalid pun macam tu, dah macam trademark beliau dalam mana-mana filem. Tapi bagi aku, itu sajalah yang beliau berjaya dalam filem tu, tak ada yang lebih. Aku sentiasa mengharapkan yang lebih sebab aku tahu Mamat Khalid boleh buat lebih dari tu.
Aku masih rasa ada beberapa scene yang tak perlu serta tak membantu jalan cerita dan tak membawa makna kepada keseluruhan jalan cerita. Kalau ada pun, aku tak faham apakah maknanya. Sorry, aku memang susah sikit nak faham cerita. Perkara ni (scene yang tak diperlukan) adalah satu benda yang kalau boleh aku nak sangat sesebuah filem tu elakkan tak kiralah filem luar atau tempatan (terutamanya filem tempatanlah). Sebabnya babak-babak macam ni kelihatan macam babak-babak yang nak memanjangkan filem supaya durasinya menjangkau standard duration iaitu lebih kurang 90 minit.
OK, aku bagi contoh. Babak Awie menanyi lagu Cinta Kristal tu macam terlalu lama, siap dengan goreng gitar oleh 'hantu band' lagi. Mungkin babak-babak macam ni digunakan oleh Mamat Khalid untuk menambah seri dalam filem beliau, tapi serius aku agak bosan masa scene tu dan tertanya-tanya dalam hati bilalah lagu ni nak abis? (Sebab aku bukan peminat Awie pun) Mungkin juga Mamat Khalid menambah babak-babak yang tak berkaitan untuk menambah unsur komedi dalam cerita beliau. Contohnya babak flash-back Usop untuk menerangkan apa yang terjadi kepada kakinya. Namun apa yang aku perasan, masa babak tu tak ada atau amat sikit orang yang ketawa, sebab kurang kelakar. Apa salahnya kalau Usop tu cakap je dia accident ke, jatuh longkang ke, atau sebagainya. Itulah maksud aku scene yang tak diperlukan, kalau tak ada scene tu pun tak apa. Lagi pun, scene tu tak membuatkan orang ketawa pun. Jadi, apa gunanya letak scene tu? Nak tambah duration?
Maaflah kalau aku ni macam hanya mencari cacat cela filem ni saja, tapi ini hanyalah pandangan peribadi aku sebagai seorang pencinta filem tempatan yang langsung tak ada ilmu perfileman mahupun apa-apa ilmu seni yang lain. Aku hanya tulis mengikut apa yang aku fikir saja, malah fikiran aku mungkin berubah bila-bila masa. Mungkin kalau aku tengok cerita ni sekali lagi, baru aku faham kesinambungan babak-babak yang aku rasa tak diperlukan tu, siapa tahu.
Secara keseluruhannya, aku puas hati menonton filem ni sebab menghiburkan. Kalau tak masakan aku terbahak-bahak dalam panggung malam tu. Kalau orang kata tu, berbaloilah RM10 beli tiket untuk tengok cerita ni. Tapi kan (ada tapi lagi ni), aku macam agak terkilan jugaklah sebab lawak cerita ni macam sekerat jalan je. Lepas tu lawaknya dah berkurang dan last-last tu langsung tak ada lawak dah (sebab masuk part sedih). Masa permulaan cerita, lawak-lawak orang kampung lari nampak hantu, Johan pakai skirt tudung saji, dan bomoh Jawa histeria kena tampar dengan hantu betul-betul menggeletek penonton termasuk aku sendiri yang tak berhenti-henti ketawa. Bila cerita makin lanjut, aku mengharapkan lawak-lawak macam tu terus disajikan supaya aku boleh ketawa sampai habis cerita. Tapi aku tak dapat apa yang aku harapkan. Lebih kurang macam anti-klimaks lah ceritanya.
Kalau ada orang tanya aku macam mana cerita HKLBR tu? Aku hanya akan jawab 'KELAKAR'. Dan sudah tentu aku akan syorkan orang lain untuk pergi tengok cerita ni. Kalau korang tengok korang akan ketawa tak ingat, itu aku jamin. Kalau korang harapkan sesuatu yang di luar jangkaan, aku tak boleh jamin. Ikutlah citarasa masing-masing.
Apa-apa pun, aku bagi tiga bintang setengah daripada lima bintang untuk filem Mamat Khalid kali ni. Sebab aku rasa Mamat Khalid pernah buat dan boleh buat yang lagi bagus dari ni. Lawak dalam filem ni ialah lawak yang amat simple tapi membuatkan orang tak berhenti ketawa kerana cara lawak tu ditonjolkan oleh Mamat Khalid yang kita tak pernah lihat sebelum ni.
Tahniah Mamat Khalid, aku kategorikan filem ni sebagai filem yang berjaya.
No comments:
Post a Comment