19.3.11

Hantu Kak Limah Balik Rumah II



Tajuk entry ni bukanlah bermaksud aku nak tulis pasal sekuel cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) tapi bermaksud ini adalah entry kedua yang aku tulis mengenai filem HKLBR ni selepas yang pertama dulu. Aku difahamkan sekuel untuk cerita HKLBR bertajuk "Husin, Mon dan Jin Pakai Toncet" yang mana pergambarannya telahpun dimulakan dan turut dibintangi my all-time-favourite actor and director; Afdlin Shauki.

Kenapa aku terpanggil untuk menulis kali kedua mengenai filem ini?

Aku tahu ramai yang tak suka dan tak setuju bila aku memberi pandangan peribadi aku tentang filem HKLBR yang aku cakap ada banyak kelemahan dalam entry yang lepas. Begitu juga bila aku cakap cerita Ngangkung tak best, dan cerita HKLBR lagi best daripda Ngangkung. Ramai yang tak setuju. Namun itu hanyalah sudut pandangan seorang marhaines yang tak ada apa-apa ilmu perfileman mahupun ilmu penyiaran, jadi tak perlulah dipandang serius sangat.

Apa yang menarik untuk aku tulis pasal filem HKLBR untuk kali ni ialah betapa besar pengaruh dan begitu dalam impak yang ditinggalkan oleh filem ini kepada masyarakat kita. Aku rasa dah lama tak ada satu filem seumpama ini yang mana skrip dan babak-babaknya menjadi sebutan malah diulang-ulang oleh orang. Atau boleh dikatakan sebagai 'Fenomena Kak Limah'. Aku mula tertarik dengan 'Fenomena Kak Limah' ni masa aku menghadiri satu majlis pernikahan di Johor Bahru kira-kira sebulan yang lalu. Masa sesi ambil gambar rombongan pengantin lelaki, mereka menggayakan gaya tangan Usop dalam filem HKLBR. Bukan sorang dua, semua ahli rombongan buat gaya yang sama siap dengan slogan popular, "Kita bakor je.." sekali.

Aku agak terkejut dan juga kagum dalam masa yang sama. Satu rombongan pengantin yang terdiri dari kanak-kanak sehingga ke golongan veteran, semua tahu gaya tangan Usop yang tak masuk akal tu. Lantas terdetik dalam hati aku, satu benda yang kita anggap kecil dalam sesebuah filem sebenarnya boleh meninggalkan satu kesan yang boleh buat orang ingat selepas menonton filem tu. Tapi sebenarnya gaya tangan Usop tu dah pun diperkenalkan sejak dari zaman Zombi Kampung Pisang lagi, tapi dalam HKLBR barulah gaya itu menjadi satu gaya yang amat popular pada masa kini.

Seingat aku, filem Melayu terakhir yang banyak menjadi sebutan dialog serta babaknya adalah dalam filem-filem Senario iaitu lebih 10 tahun dulu. Lepas dari tu, aku tak rasa ada filem yang memberi kesan mendalam kepada penonton sebab dah masuk zaman filem Prof Razak Mohaideen yang aku sifatkan sebagai zaman malap filem tempatan. Kalau kita ingat lagi, ada beberapa dialog-dialog yang selalu diulang-ulang dulu dari filem-filem Senario.

Darah, darah. Aku cedera parah!!!


Macam pernah kulihat, tapi dimana ya?


Paen...paen... keluar!


Kesemuanya adalah petikan dari filem Senario Lagi pada tahun 2000. Yang lain aku tak berapa ingat.hehe

Tapi 'Fenomena Kak Limah' ni lain macam sikit, bukan saja dialog dan babak, malahan lagu-lagunya jugak menjadi satu fenomena. Padahal lagu-lagu yang terdapat dalam filem ni semua lagu-lagu lama, tapi menjadi kegilaan lepas dimuatkan dalam filem ni. Contohnya lagu Cinta Kristal dendangan Rahim Maarof dan dinyanyikan semula oleh Awie dalam filem HKLBR. Aku pun tak tahu lagu tu Rahim Maarof yang nyanyi sebenarnya, aku ingat betul-betul lah lagu Awie. Tapi lepas je filem HKLBR, lagu tu meletup-letup malah kalau dibuat survey di pusat-pusat karaoke, lagu Cinta Kristal menjadi antara lagu pilihan paling tinggi ketika ini.

Satu lagi lagu yang tiba-tiba menjadi sebutan ramai ialah lagu Soley Soley nyanyian band Middle of The Road pada tahun 1971. Entah mana-mana datang lagu ni, masa zaman lagu ni pun rasanya Mamat Khalid tengah zaman sekolah rendah lagi.Babak lagu ni dalam filem HKLBR hanya selama dalam seminit je, tapi impaknya sangat besar. Kalau dilihat video klip asal lagu ni di Youtube, jumlah view-nya mencecah sejuta lebih manakala video nyanyian Abi Huhairah feat. Usop yang dipetik dari filem ini pula mencecah 200 ribu lebih view. Sila klik link di bawah untuk melihat video-video yang dimaksudkan.



MIDDLE OF THE ROAD - SOLEY SOLEY 1971


Abi Hurairah & Usop - Soley Soley OST Hantu Kak Limah Balik Rumah

Aku teringat bila aku cakap pasal babak-babak yang tak membantu dan tak memberi apa-apa makna kepada jalan cerita. Aku anggap babak-babak tersebut kalau tak ada pun tak apa. Tapi ternyata aku tersalah anggap sebab kalau tak ada babak-babak yang aku maksudkan tu, tak berserilah filem Mamat Khalid ni. Maknanya, aku tak pasti secara sengaja atau tidak, Mamat Khalid telah berjaya membuatkan babak-babak yang tak bermakna pada mata aku tu sebagai babak-babak yang diingati oleh penonton. Sebagai contohnya babak Usop menyanyi lagu "Happy Birthday To Me" sebelum kaki kena lanyak pembajak tu. Nyata babak tu pun membuatkan penonton tertarik dan dimuat naik ke Youtube dengan view lebih 40 ribu kali. Klik link di bawah.



Happy Birthday To Me [Usop] (Hantu Kak Limah Balik Rumah)


Setelah aku analisa lagi dengan lebih mendalam (takde lah dalam mana pun), dari segi kutipan filem setakat ini, filem HKLBK berada di tangga ke-3 iaitu sebanyak RM 7.90 juta di belakang Ngangkung (RM 8.18 juta) dan Khurafat (RM8.08 juta)- kemungkinan akan disaingi hebat oleh filem terbaru KRU, Hikayat Merong Mahawangsa. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa filem HKLBR ni hanya ditayangkan di 39 buah pawagam jauh lebih sedikit berbanding dengan Ngangkung (59) dah Khurafat (66). Apa sebab musababnya aku tak tahulah hal-hal orang filem ni, dengan skim wajib tayang benda apa entah. Tapi cuba kita bayangkan jika filem HKLBR ni ditayangkan di 66 buah pawagam seperti filem Khurafat ataupun sekurang-kurangnya di 59 buah pawagam seperti Ngangkung. Adakah filem ini mampu memungut kutipan lebih tinggi dan memecah rekod kutipan dengan mengambil kira betapa kuatnya impak filem ini di kalangan masyarakat kita sekarang.

Mengikut perkiraan aku yang tak menggunakan calculator ni, kebanyakan orang mula bercakap tentang filem ni bila mula ditayangkan di Astro First dan juga mula boleh di-download di internet. Maknanya dari segi kutipan di pawagam, filem ini belum mencapai jumlah kutipan tertingginya kerana masih ramai yang menontonnya melaui Astro First mahupun download, tidak di pawagam. Dan mereka ini pun menonton filem ni atas bawaan mulut orang-orang yang dah menontonnya di pawagam tapi tak berkesempatan menontonnya di pawagam. Lalu mereka men-download filem ini atau menonton melaui Astro First saja. (Apa belit-belit ayat skema aku ni) Kalau nak disimpulkan, jika filem ini ditayangkan di lebih banyak pawagam dan lebih lama masa tanyangannya, tidak mustahil filem ini boleh mencapai satu kutipan yang lebih tinggi.

Namun, aku tetap mempunyai satu teori kebarangkalian yang lain lagi, macam biasa. Ada juga kemungkinan dan kebarangkalian yang tak boleh dinafikan, ada juga orang yang sengaja mengulang-ulang sedutan atau petikan dari sesuatu filem itu dengan niat untuk memperlekehkan filem berkenaan. Walaupun mungkin tak ramai tapi tetap ada. OK aku bagi contoh lagi, dah macam karangan SPM pulak dah. Aku pernah terdengar orang yang membuat lawak mengenai filem ini, apa lawaknya aku kurang pasti. Tapi mereka mengajuk sesuatu dari filem ini. Sedang mereka bergelak ketawa salah seorang bertanya,

"Kau tengok tak cerita tu? Aku tengok tapi tak faham. Entah apa-apa cerita tu, kau faham tak?"

Kawan yang sorang lagi, walaupun dia faham cerita tu, dalam ketawa dia pun sama menjawab

"Aku pun tak faham cerita tu".

Dari situ aku dapat merasa ada orang yang sengaja seolah-olah mengejek filem ni, bukannya diorang sebut-sebut sebab suka. Jadi kita kena ambil kira semua tu dalam analisa yang lebih mendalam kali ni untuk memanjangkan entry.hehe



OK, aku amat gemar sebenarnya untuk bercakap tentang watak Usop bekas penari kebudayaan dalam filem HKLBR ni. Hal ini kerana watak Usop adalah watak yang paling popular menenggelamkan watak utamanya, Husin. Malah kebanyakan dialog-dialog yang diingati ialah dialog-dialog Usop yang amat bersahaja dan sudah tentulah ungkapan "Kita bakor je.." akan menjadi trademark Usop sampai bila-bila. Usop atau nama sebenarnya sape ntah, malas nak Google, telah berjaya membawa wataknya dengan begitu baik dan berkesan sekali. Tak keterlaluan kalau aku kata Usop telah berjaya menyelamatkan filem Mamat Khalid kali ni dengan gaya badan dan lenggok perkataannya yang begitu menghiburkan penonton. Selain itu, kehadiran pertama Johan juga sedikit sebanyak membantu kemeriahan filem ini (aku rasa aku dah tulis pasal ni)

Sebagai kesimpulannya, walaupun aku tak suka buat kesimpulan, dapat dirumuskan bahawasanya Mamat Khalid telahpun mencapai satu kejayaan besar melaui filem beliau yang ini. Bukan semata-mata atas kutipannya yang tinggi, malah cara masyarakat menerima dan menghargai karya beliau ini adalah sesuatu yang di luar kebiasaan. Namun bagi aku, Kala Malam Bulan Mengambang tetap manjadi naskah Mamat Khalid yang paling aku gemari sehingga kini.

Syabas Abang Mamat, jangan lupa buat filem yang seronok-seronok lagi. Seronok untuk ditonton, seronok untuk didengar, seronok untuk dicakap, dan seronok untuk diulas.

Sekian.

p/s: Kalau ada orang yang mengutuk habis-habisan filem ni sampai tulis dalam blog lepas tu macam tak puas hati sangat, padahal tengok download je, bukan tengok wayang pun. Anggaplah orang itu mempunyai sifat lawak yang amat tinggi dan mampu berlawak hingga ke tahap antarabangsa, dan dia ada duit sendiri berjuta-juta untuk membuat filem sendiri. Jadi tak hairanlah dia mengkritik dengan begitu hebat, kerana dia jauh lebih hebat. Terima kasih.

15.3.11

Same Old

Kadang-kadang bila aku bangun tidur, aku rasa macam aku ni bukan diri aku. Aku rasa macam aku di awang-awangan. Aku lupa apa yang aku kena buat, aku lupa kerja aku yang berlambak-lambak tak siap lagi, aku lupa, aku lupa!!!

Petang ni bila aku bangun dari tidur siang yang nikmat, aku terus capai phone dan baca sms. Aku tersenyum, aku balas sms tu, aku tersenyum lagi. Guruh berdentum-dentum di luar masa tu, angin sejuk merobos masuk melaui jendela. Aku bangun ke tandas atas desakan dari pihak dalam. Aku keluar tandas terus aku capai phone aku balik, aku tersenyum lagi. Aku balas sms dan tersenyum lagi.

Angin dari luar betul-betul sejuk, hujan dah mula turun rintik-rintik dan semakin lebat kemudiannya. Namun aku tak pula rasa bernafsu nak sambung tidur. Tiba-tiba aku teringatkan kerja aku yang banyak kena siapkan, aku tak senyum lagi, aku risau.

Aku kaget lain macam, aku turun ke ruang tamu. Bila aku macam ni aku suka mengadu dekat orang lain, berkongsi kerisauan. Nyaris ada orang yang nak mendengar kerisauan tak berasas aku ni. Tapi aku masih tak boleh kembali senyum, aku masih risau. Aku menggaru-garu kepala yang tak gatal, aku berlakon menangis sorang-sorang, aku buat-buat tidur sambil berdengkur kuat-kuat. Tapi semuanya masih tak dapat menenangkan aku.

Akhirnya berbekalkan semangat yang ditiupkan ke kalbu, aku sedar aku perlu buat sesuatu untuk menyiapkan kerja yang berlambak-lambak tu. Kerja tak akan siap kalau aku asik memikirkan tentang kerja yang banyak tanpa menyiapkannya. Dan akhirnya aku tetap kena siapkan juga walaupun aku masih tak buat apa-apa sebab aku dah tersangkut di sini menulis benda apa yang bukan-bukan ni.

OK, aku kena menggerakkan kerja dulu ni. Ayuh!

Kalau pekena goreng pisang panas di kala petang dingin ni pun best jugak. Alamak tak boleh, aku kena buat kerja! Alamak dah nak magrib pulak dah! Takpe lepas isyak lah aku start buat.

Same old story again.

14.3.11

Penyesalanku

Apa khabar semua? Lama tak jumpa.

Bila aku mula nak menghentam orang lain (dalam blog), aku akan jadi penuh bersemangat dan excited nak menghentam orang tu. Terutamanya berkaitan dengan isu-isu yang aku amat suka titik beratkan. Aku akan mula menulis seolah-olah aku sajalah yang betul, akulah yang pandai, akulah segalanya.

Tapi sejak akhir-akhir ni aku mula sedar, aku terlalu mengikut emosi, melepaskan geram. Sesuatu yang kurang bijak aku rasa. Bila aku baca orang lain tulis macam tu aku rasa itu adalah sesuatu yang kurang bijak atau tak bertanggungjawab sebab seolah-olah hanya pandai menyalahkan tanpa memberi sesuatu pandangan yang boleh menambahbaikkan sesuatu tu.

Kalau setakat menyalahkan, semua orang boleh buat. Tapi bila ditanya apa yang betul? Masing-masing tak tahu.

Jadi aku rasa tak adil kalau aku asyik menghentam apa yang orang buat atau tulis sedangkan aku tak ada apa-apa usaha atau buah fikiran untuk membetulkan apa yang aku cakap salah tu.

OK, akhirnya aku berjaya menghalang diri aku daripada melepaskan geram dekat sini. Aku pun dah lupa apa yang aku nak tulis sebenarnya. Cuma janganlah asyik mencari kesalahan di atas semua situasi dan keadaan dan menunjukkan kononnya anda tu peka sangat dengan persekitaran. Janganlah serius sangat.

25.12.10

Sedikit rasa buat Sang Harimau

Photo: Harian Metro

Kita perlu akui.

Benar, pasukan kita tak sehebat mana.
Benar, pemain kita tak sebagus mana.
Benar, permainan kita tak sebaik mana.
Benar, pencapaian kita tak sejauh mana.

Tapi kita mesti percaya.

Dengan semangat juang yang kita tunjukkan.
Dengan kerja keras yang kita tampilkan.
Dengan kesungguhan yang kita jelmakan.
Dengan kepintaran yang kita persembahkan.

Ditambah dengan sokongan tak berbelah bagi dari jutaan rakyat Malaysia.
Nescaya tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.

Piala bukanlah apa yang kita idamkan.
Gelaran bukanlah apa yang kita kejarkan.
Ranking bukanlah apa yang kita hiraukan.
Rating bukanlah apa yang kita risaukan.

Cuma impian kita ialah untuk bergembira mengecapi sedikit kegemilangan.
Dengan mengharapkan kegemilangan yang sedikit itu akan menjadi lebih besar suatu hari nanti.
Ya, kita sentiasa mengimpikannnya.

p/s: Aku cuba sehabis baik, nyata aku tak berdaya.

23.12.10

Ada Apa Dengan Ngangkung?


Sejak akhir-akhir ni keje aku duk tengok web site FINAS tu je, dah leh letak kat bookmark dah web site tu gamaknya.hehe

Setelah membelek-belek web site tersebut, ini adalah antara perkara yang menarik perhatian aku:

Adeh apa kecik benar print screen ni, harap-harap boleh nampak lah ye.

OK, kalau tengok nombor 24 tu, Ngangkung berjaya mengutip RM7.77 juta dan bertanda bintang maknanya tayangannya masih belum tamat, maknanya kutipan Ngangkung masih boleh bertambah. Wow, that's really amazing! 7.77 juta beb!

Take a look at this pulak:

Di ranking pertama ialah Adnan Sempit dengan kutipan RM 7.66 juta, sedangkan Jangan Pandang Belakang yang dikatakan sebelum ni memegang rekod kutipan filem tempatan tertinggi hanyalah di tempat ke-6, dengan Sembilu pun kalah kot.hehe

OK, apa yang nak ditekankan di sini, kutipan filem Ngangkung dah pun memecah rekod mengatasi Adnan Sempit dan menjadi filem tempatan dengan kutipan paling tinggi setakat ini. Untuk rekod, Ngangkung adalah filem sulung arahan Ismail Bob Hasim yang belum pernah mengarah mana-mana filem sebelum ini. Wah, menarik bukan? OK, tak dinafikan mungkin jumlah kutipan dalam web site Finas tu pun bukanlah yang muktamad, mungkin hanya kutipan kasar dan akan dikemas kini kemudian. Kita tengok je lah nanti.

OK, ada apa dengan Ngangkung ni?


Ngangkung, Ngangkung, Ngangkung. Aku ada terbaca beberapa review menarik pasal filem Ngangkung dalam blog-blog bila aku google Ngangkung untuk tau best ke tak, sebab filem pengarah baru, aku masih ragu-ragu. Aku amat tertarik hati bila semua review yang aku baca memuji filem ni seratus peratus, rata-rata mengatakan filem ni bagus dan kelakar (favorite aku). Malah ada satu blog aku baca menulis begini, "Aku tak akan review filem tu kalau tak bagus". Macam tu pun ada ye? Jadi, pada ketika itu hati aku membuak-buak untuk meonton filem ini.

Tapi niat aku agak terbantut bila mendengar komen negatif dari seorang kawan aku. Tak best, baik tak payah tengok. Bila kawan aku ni kata tak best, aku tau dia berkata benar. Aku cakap balik dekat dia, tapi ramai orang pegi tengok kan? Kawan aku tu jawab, orang ramai tengok sebab ada Sam, orang ingat lawak macam Adnan Sempit, tapi tak pun. Sam tak lawak pun dalam tu. Bila aku dengar komen ringkas dari kawan aku tu, aku lupakan sebentar niat nak tengok Ngangkung tu. Sebab tu bila Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) keluar wayang, aku tak teragak-agak pergi tengok cerita tu dulu.

OK, nak dijadikan cerita, hari minggu lepas salah seorang kawan aku yang sama-sama tengok cerita HKLBR dengan aku hari tu ajak tengok wayang lagi, disebabkan kebosanan. Lalu kami mengambil keputusan untuk tengok Ngangkung pada hari itu sebab tak ada cerita lain yang menarik hati dan komen yang amat negatif tentang filem Tron dari kawan-kawan. Hall kecik untuk filem Ngangkung masih penuh walaupun dah masuk minggu ke-3 tayangan, aku duduk barisan ke-3 dari depan.

Secara jujurnya, aku tak meletakkan harapan yang tinggi ketika menonton filem ni. Tapi malangnya aku terpaksa mengakui bahawa harapan yang tak tinggi aku letakkan tu pun masih tak dapat dipenuhi oleh filem yang memegang rekod kutipan paling tinggi ini. Sedangkan kawan aku yang cakap cerita HKLBR tu terbaik pun boleh tertidur sebelah aku. Inikan aku yang menggangap HKLBR masih boleh diperbaiki, macam mana aku nak describe pandangan aku pasal filem ni pun tak tau lah. Tapi bukanlah kekecewaan aku tu sampai tahap aku kecewa masa tengok cerita Jin Notti mahupun cerita Maut. Ceritanya still boleh layan, tapi aku kecewa sebab ceritanya tu macam tak sepadan dengan jumlah kutipan yang amat tinggi.

Aku kadang-kadang hairan macam mana ada orang boleh cakap cerita ni terbaik, best gile, wajib tengok dan sebagainya. Sekali lagi aku bukan nak memperlekehkan filem tempatan terutamanya filem Melayu, tapi kita harus berpijak di bumi nyata dan mengakui kenyataan. Aku bertambah pelik bila ada orang kata Ngangkung is much better than HKLBR. Aku tau, setiap orang ada citarasa sendiri. Sudah tentu ramai yang bersetuju yang Ngangkung lebih baik daripada HKLBR berdasarkan hasil kutipan yang agak jauh berbeza.

Tapi bagi aku, tidak sama sekali. Kalau ditengok betul-betul, kedua-dua filem ni ada beberapa persamaan dalam jalan ceritanya. Pertamanya, kedua-duanya adalah filem yang ber-genre seram komedi. Kalau nak dilihat dari segi seramnya, aku akui Bob lebih banyak menyuntik elemen-elemen seram dibandingkan dengan Mamat Khalid. Tapi bagi aku, untuk sebuah filem seram komedi, the comedy always come first. Sebab tujuan utamanya adalah untuk bagi orang ketawa dan bukannya orang takut. Ngangkung menyajikan banyak unsur-unsur seram dan elemen kejutan untuk buat orang terkejut. Kesian aku tengok budak-budak kecik sebelah aku asik terkejut tengok cerita lawak. Tapi lawaknya taklah sehebat HKLBR dan aku rasa aku tergelak dua tiga kali je sepanjang tayangan filem tu. Disebabkan aku peminat komedi, bagi aku HKLBR menang dari segi ni.hehe

Persamaan keduanya pula ialah kedua-dua filem menyelitkan pengajaran dalam jalan ceritanya. Tapi yang berbeza ialah pengajaran dalam Ngangkung adalah jelas melalui jalan ceritanya, pasal orang main nombor ekor. Tapi cara HKLBR pula berlainan, pengajarannya berbeza mengikut babak-babak yang tertentu. Dalam jalan cerita keseluruhannya, tiada pengajaran pun sebenarnya sebab cerita orang gila yang lari balik rumah dari mental hospital. Tapi pengajarannya diterapkan dalam lawak-lawak sinis dan nasihat-nasihat sepanjang filem itu sendiri. Sekali lagi aku menyebelahi HKLBR dalam perkara ni.

Satu lagi persamaan dalam kedua-dua filem ni yang mana amat aku tak berkenan ialah jalan cerita yang berakhir dengan kesedihan. Tak salah kalau nak menyelitkan unsur sedih dalam filem komedi, tapi aku rasa unsur sedih dia tu macam terlalu berat untuk sebuah filem komedi. Bayangkanlah betapa sedihnya bila dapat tau awek Awie yang selama ni dia bayangkan hidup rupanya dah meninggal dan sepanjang cerita tu dia hanya berkhayal. Dalam Ngangkung lagilah sedih bila seorang bapa sanggup memukul anak perempuan yang amat disayanginya kerana obses dengan nombor ekor. Unsur-unsur sedih macam ni boleh menyentuh perasaan dan membuatkan orang menangis dalam wayang. Tapi tak kan lah orang nak menangis dalam tayangan sebuah filem seram komedi? Pelik bunyinya tu kan?

Orang tengok filem komedi untuk ketawa, kalau tersentuh sedikit sebanyak tu boleh la diterima. Aku pun tengok cerita Setem gelak bagai nak rak tapi tersentuh jugak tengok kasih sayang kakak-adik yang dilakonkan Vanidah Imran dan Que Haidar dalam filem tu. Itu barulah dinamakan side kick dalam komedi, tak boleh lah satu kesedihan berat diadunkan dalam komedi. Jadi pelik lah pulak rasanya. Aku tengok kedua-dua filem ni bila dah nak sampai ending dah masuk part sedih, aku macam terpikir, eh sedihnya cerita ni, nak buat apa ni? Nak gelak tak boleh, menyesal aku ketawakan diorang tadi. Sampai tahap macam tu sekali (sudah tentulah satu hyperbola semata-mata).

Aku geram punya pasal sampai aku lupa dah nak tulis apa tadi. OK, kesimpulannya HKLBR menang 3-1 sebab yang third tu dua-dua bolos. Tapi dari segi kutipan amatlah malang apabila HKLBR kalah teruk kira-kira dengan beza 3 juta (belum rasmi). Di sini aku dapat nampak satu perkara, pengarah bukanlah satu faktor yang besar untuk mendapat kutipan yang tinggi. Faktor yang paling penting ialah pelakon itu sendiri. Betul kata kawan aku, disebabkan Sam berlakon dalam Ngangkung, pandangan orang ramai mengenai filem tu mesti lawak gile sebab ada Sam. Sedangkan Sam memegang watak yang amat serius dalam filem tu. Tapi Shaheizy Sam, walau serius mana pun watak yang dibawanya, dia tetap seorang Sam yang lawak. Dia seorang pelakon yang amat bagus bagi aku. Nanti kalau rajin aku tulis pasal dia pulak.hehe

Lagi satu, daripada gambar rajah yang atas sekali kita dapat lihat kenapa Ngangkung mendapat lebih banyak kutipan dari HKLBR iaitu dari segi bilangan pawagam. Ngangkung ditayangkan di 59 buah pawagam sedangkan HKLBR hanya ditayangkan di 39 buah pawagam. Apa faktor dan sebab musababnya tak lah pula aku ketahui. Kalaulah filem HKLBR ditayangkan di 59 buah pawagam juga, dapatkah kutipannya mencecah angka 7 juta juga? Satu persoalan yang tak akan terjawab. Namun angka 4 juta juga merupakan satu angka yang dah cukup besar bagi filem Mamat Khalid sebenarnya.

Sebelum mengundur diri, sebenarnya aku ada satu lagi teori mengenai kenapa kedua-dua filem ini meletup di pawagam terutamanya filem Ngangkung. Tak dinafikanlah salah satu faktor utama ialah musim cuti sekolah dan kedua-dua filem sesuai ditonton seisi keluarga kan. Aku rasa kalau filem Upin Ipin ditayangkan pada masa macam ni, tak mustahil boleh menjangkau angka 10 juta! Satu lagi teori yang aku terfikir adalah lebih menarik dah tak berapa logik. Kalau ditengok dalam list tayangan filem tempatan mengikut urutan masa ditayangkan, filem Ngangkung adalah filem pertama yang ditayangkan selepas filem penuh kontroversi dan menjengkelkan ramai orang iaitu filem 2 Alam.

OK, ini hanya teori aku. Disebabkan ramai sangat orang yang meluat dan benci kepada filem 2 Alam yang dikatakan boleh mengutip 40 juta tu, mereka meluahkan perasaan tu dengan pergi menonton filem tempatan lain yang keluar selepas itu untuk menunjukkan filem lain jauh lebih laku dari filem 2 Alam yang menyakitkan hati itu. Dan ketika itu hanya ada filem Ngangkung yang dilakonkan oleh Shahiezy Sam pulak tu, jadi apa lagi? Untung besarlah filem Ngangkung.

Itulah teori yang baru aku terfikir yang membuatkan aku nak tulis entry ni, tapi jadi meleret-leret pula akhirnya.

Apa-apa pun, majulah industri filem untuk negara!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...