27.8.09

Iklan

Hari ini dah 27 Ogos.

3 hari menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-52.

Aku masih menunggu iklan merdeka Petronas yang baru.

Mana tak keluar-keluar lagi nih, asik ulang iklan lama je.

Siapa pula pengarah kali ni?

Afdlin Shauki lagi ke macam tahun lepas?

Aku mengharapkan buah tangan terakhir dari Yasmin Ahmad.

Semoga bersemadi dengan aman. Al-fatihah.

Kartika Sari Dewi, Arak, dan Sebat

Saya bukanlah seorang penyokong PAS.

Saya juga bukanlah juga seorang anti-PAS.

Namun saya ada mengenali penyokong PAS.

Dan saya juga ada mengenali orang yang anti-PAS.

Akan tetapi saya tidak mengenali Kartika Sari Dewi Shukarno.

Setelah beberapa hari berita mengenai hamba Allah ini tersebar di dada-dada akhbar (saya kurang pasti apakah tujuan mereka), saya begitu tertarik dengan satu kenyataan media oleh Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang. Bagi saya apa yang dinyatakan beliau amat jelas dan dapat menghuraikan segala keserabutan dan kekeliruan mengenai kes Kartika ini. Alangkah baiknya jika ramai yang dapat membaca apa yang dinyatakan oleh beliau ini dengan terlebih dahulu mengenepikan fahaman politik sebentar.

Silalah baca kenyataan media beliau seperti yang di bawah jika anda rajin dan kesah.
Sekali lagi, saya bukanlah seorang penyokong PAS.

***

Isu hukuman sebat kepada pesalah minum arak telah menarik perhatian pelbagai pihak untuk memberikan pandangan dan komen masing-masing.

Hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (pindaan 1987) sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Apabila asasnya adalah nas, maka ia adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya – kerana ia berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya.

Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ia memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan.

Oleh yang demikian, kita meminta supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran salah mengikut syariat Islam.

Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.

Haramnya arak adalah tidak mengira tempat – sama ada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi!

***

Saya amat tertarik dengan 3 perenggan terakhir itu dan amat bersetuju. Semoga Kartika Sari Dewi Shukarno membaca artikel ini dan tidaklah lagi obses untuk disebat. Amin.

26.8.09

Pematang Pasir

KEPUTUSAN PENUH

Barisan Nasional (UMNO) - 5,067 ( 5,571 )

Pakatan Rakyat (PAS) - 9,618 ( 11,004 )

Majoriti - 4,551 ( 5,433 )

Peratusan mengundi- 73.1% ( 82.6% )

*dalam kurungan adalah keputusan PRU Mac 2008

ANALISIS KASAR

Semua sudah sedia maklum bahawa PAS memenangi kerusi DUN Permatang Pasir dalam pilihanraya kecil ini.

Akan tetapi PAS telah kehilangan 1,386 undi berbanding pilihanraya sebelumnya.

Jadi, bolehlah dikatakan UMNO berjaya dalam pilihanraya ini seperti yang berlaku di DUN Manek Urai sebelum ini?

Namun tak semudah itu apabila UMNO turut kehilangan 504 undi.

Jadi, tiadalah pemenang dalam pilihanraya kali ini, hanya pengalah.

Persoalannya, kemana hilangnya undi-undi PAS dan UMNO ini? Sedangkan calon bebas tak bertanding kali ini.

Mungkin ada yang dah pergi, meninggalkan dunia selamanya (innalillah) .
Namun mungkin sedikit saja.

Atau mungkin ada tak dapat cuti balik kampung, berkerja nun jauh di bandar lain.

Namun mungkin sebilangan saja.

Atau mungkin ada yang penat berpuasa, tak berdaya ke pusat-pusat mengundi.
Namun mungkin segelintir saja.

Atau mungkin ada yang sibuk, tak berkesempatan turun mengundi.
Namun mungkin tak ramai yang sibuk.

Atau mungkin ada yang sudah bosan?
Dan mungkin merekalah yang ramai.

Lalu hilanglah undi seperti daun-daun kering berterbangan ditiup angin.

Seperti pahala bersahur yang semakin menipis menjelang waktu berbuka.

22.8.09

This is True


Sebelum tidur, jangan lupa niat puasa dulu.

Juga niat perkara-perkara yang baik.

Insyaallah dapat pahala.

Amin.

21.8.09

Kurangkan Mencarut

Ketika saya pulang dari makan tengahari tadi saya terdengar berita di radio dalam kereta kancil merah milik seorang rakan. Berita itu menyarankan agar pemilik-pemilik gerai di bazar Ramadhan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjegah penularan wabak H1N1 ketika mereka berniaga nanti. Contohnya dengan memakai topeng dan juga sarung tangan.

Tiba-tiba saya terbayangkan situasi di bazar Ramadhan, sungguh klasik. Dan saya mulai merasai kedatangan Ramadhan; buat pertama kalinya walaupun semua orang di sekeliling telah lama memperkatakannya bahkan saya menyaksikan sendiri pengumuman tarikh puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam tadi. Alangkah jahilnya saya, merasai Ramadhan kerana bazarnya, bukan kerana keindahan dan kemuliaannya.

Teringat waktu mula-mula saya belajar puasa dulu. Seawal umur 5 tahun saya dah mula belajar puasa, terikut dengan abang-abang. Hari pertama saya puasa terasa sangat menyeksakan, siang terasa amat panjang. Ketika itu saya masih belum bersekolah lagi, hanya duduk di rumah menunggu abang-abang pulang untuk memberitahu mereka yang saya berpuasa hari itu kerana mereka sering mengejek saya tak puasa. Namun jangankan kata nak menyokong usaha murni adik mereka ni, air botol mirinda oren sejuk pula diletakkan di hadapan saya ketika tengahari yang panas terik itu. Namun saya tetap cekal, masih boleh bertahan.

Ketika itu bukanlah pada permulaan Ramadhan, sudah hampir ke penghujung dan sudah menghampiri Syawal. Saya sekeluarga tinggal di rumah nenek di kampung bersama makcik-makcik yang masih belum berkeluarga pada ketika itu. Pada sebelah petang mereka mulalah sibuk di dapur dengan juadah berbuka mahupun biskut-biskut raya mengikut resepi dalam majalah. Dan pada waktu itu jugalah tahap ketahanan sudah sampai ke tahap membahayakan. Kalau dalam cerita Ultraman lampu merah di dada sudah berkelip-kelip.

Langkah saya mula longlai dan berjalan ulang alik dari ruang tamu ke dapur. Di bibir tak henti-henti mengucapkan perkataan 'lapar' dan 'tak larat'. Ibu saya cakap sabarlah sekejap lagi, dah tak lama nak berbuka. Dan abang-abang seperti biasa menghasut supaya berbuka puasa, menunjukkan kuih yang kelihatan sedap dan akhirnya kena marah dan mereka berlari bermain di luar.

Pada satu ketika saya sudah sampai ke tahap maksima, ayah saya berkata kepada saya, kalau tak larat sangat berbuka saja lah, budak kecil tak apa berbuka awal. Saya masih ingat dengan jelas saya mengambil sekeping kuih raya berwarna kuning dan teragak-agak untuk memakannya. Abang-abang sudah berada di sisi, bersedia untuk meraikan kejayaan mereka. Saya bertanya kepada ayah saya, tak apa ke? Ayah saya mengangguk dan saya menjilat kuih itu, terasa begitu manis sekali.

Pada saat itu abang-abang saya yang telah lama berpakat terus mengejek saya tak puasa, seperti biasa yang mereka lakukan sebelum ini. Saya terus meletakkan kembali kuih itu dan mengatakan bahawa saya tak makan lagi. Mereka terus mengejek-ngejek saya dan mengatakan puasa dah batal waulaupun hanya dengan menjilat. Saya betul-betul tidak tahan dengan ejekan mereka masa itu dan berlari ke ruang tamu dan menangis. Ayah saya datang memujuk saya namun saya tak perduli dan akhirnya saya tertidur.

Saya terbangun ketika orang lain sudah selesai berbuka puasa pada malam itu. Ayah saya yang mengejutkan saya ketika itu mengajak saya makan. Beliau mengucapkan tahniah kerana berjaya berpuasa penuh sehari. Saya berasa sungguh gembira dan makan dengan penuh selera pada malam itu. Dan itulah saja sehari yang saya berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun itu.

Apabila tiba Hari Raya, setiap kali ditanya saya akan menjawab saya berjaya berpuasa sehari dan akan mendapat pujian kerana boleh berpuasa semuda itu. Setiap kali itu juga akan dibantah oleh abang-abang saya yang mengatakan puasa saya batal. Itulah kisah semasa zaman kanak-kanak dulu, penuh dengan ragam. Pada tahun berikutnya saya berjaya menghabiskan puasa sebulan tanpa tertinggal sehari pun.

Seronok rasanya mengimbau kenangan yang dah lama ditinggalkan. Banyak lagi sebenarnya pengalaman-pengalaman berpuasa ketika kanak-kanak. Pada waktu kita belum lagi diwajibkan berpuasa dulu, bersungguh-sungguh nak puasa. Bila dah jadi wajib, lain pula ceritanya.

Jadi, dalam bulan Ramadhan ini saya berharap dapatlah kurang-kurangkan mencarut, dan tingkatkan amalan. Apakah yang cuba saya sampaikan ni pun tak tahulah motifnya.

Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak

Selamat Berpuasa

Ramadhan bertandang lagi.

Sungguh cepat rasanya setahun berlalu.

Tak terlarat kaki mengejar.

Tak terjangkau kepantasan masa.

Tercungap-cungap nafas mengiring waktu.

Sedar-sedar dah tiba di pintu Ramadhan.

Sudahkah bersedia?

Bukakan pintu itu.

Let me in.

haha sungguh pandai aku mengatur bahasa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...