21.8.09

Kurangkan Mencarut

Ketika saya pulang dari makan tengahari tadi saya terdengar berita di radio dalam kereta kancil merah milik seorang rakan. Berita itu menyarankan agar pemilik-pemilik gerai di bazar Ramadhan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjegah penularan wabak H1N1 ketika mereka berniaga nanti. Contohnya dengan memakai topeng dan juga sarung tangan.

Tiba-tiba saya terbayangkan situasi di bazar Ramadhan, sungguh klasik. Dan saya mulai merasai kedatangan Ramadhan; buat pertama kalinya walaupun semua orang di sekeliling telah lama memperkatakannya bahkan saya menyaksikan sendiri pengumuman tarikh puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam tadi. Alangkah jahilnya saya, merasai Ramadhan kerana bazarnya, bukan kerana keindahan dan kemuliaannya.

Teringat waktu mula-mula saya belajar puasa dulu. Seawal umur 5 tahun saya dah mula belajar puasa, terikut dengan abang-abang. Hari pertama saya puasa terasa sangat menyeksakan, siang terasa amat panjang. Ketika itu saya masih belum bersekolah lagi, hanya duduk di rumah menunggu abang-abang pulang untuk memberitahu mereka yang saya berpuasa hari itu kerana mereka sering mengejek saya tak puasa. Namun jangankan kata nak menyokong usaha murni adik mereka ni, air botol mirinda oren sejuk pula diletakkan di hadapan saya ketika tengahari yang panas terik itu. Namun saya tetap cekal, masih boleh bertahan.

Ketika itu bukanlah pada permulaan Ramadhan, sudah hampir ke penghujung dan sudah menghampiri Syawal. Saya sekeluarga tinggal di rumah nenek di kampung bersama makcik-makcik yang masih belum berkeluarga pada ketika itu. Pada sebelah petang mereka mulalah sibuk di dapur dengan juadah berbuka mahupun biskut-biskut raya mengikut resepi dalam majalah. Dan pada waktu itu jugalah tahap ketahanan sudah sampai ke tahap membahayakan. Kalau dalam cerita Ultraman lampu merah di dada sudah berkelip-kelip.

Langkah saya mula longlai dan berjalan ulang alik dari ruang tamu ke dapur. Di bibir tak henti-henti mengucapkan perkataan 'lapar' dan 'tak larat'. Ibu saya cakap sabarlah sekejap lagi, dah tak lama nak berbuka. Dan abang-abang seperti biasa menghasut supaya berbuka puasa, menunjukkan kuih yang kelihatan sedap dan akhirnya kena marah dan mereka berlari bermain di luar.

Pada satu ketika saya sudah sampai ke tahap maksima, ayah saya berkata kepada saya, kalau tak larat sangat berbuka saja lah, budak kecil tak apa berbuka awal. Saya masih ingat dengan jelas saya mengambil sekeping kuih raya berwarna kuning dan teragak-agak untuk memakannya. Abang-abang sudah berada di sisi, bersedia untuk meraikan kejayaan mereka. Saya bertanya kepada ayah saya, tak apa ke? Ayah saya mengangguk dan saya menjilat kuih itu, terasa begitu manis sekali.

Pada saat itu abang-abang saya yang telah lama berpakat terus mengejek saya tak puasa, seperti biasa yang mereka lakukan sebelum ini. Saya terus meletakkan kembali kuih itu dan mengatakan bahawa saya tak makan lagi. Mereka terus mengejek-ngejek saya dan mengatakan puasa dah batal waulaupun hanya dengan menjilat. Saya betul-betul tidak tahan dengan ejekan mereka masa itu dan berlari ke ruang tamu dan menangis. Ayah saya datang memujuk saya namun saya tak perduli dan akhirnya saya tertidur.

Saya terbangun ketika orang lain sudah selesai berbuka puasa pada malam itu. Ayah saya yang mengejutkan saya ketika itu mengajak saya makan. Beliau mengucapkan tahniah kerana berjaya berpuasa penuh sehari. Saya berasa sungguh gembira dan makan dengan penuh selera pada malam itu. Dan itulah saja sehari yang saya berpuasa dalam bulan Ramadhan tahun itu.

Apabila tiba Hari Raya, setiap kali ditanya saya akan menjawab saya berjaya berpuasa sehari dan akan mendapat pujian kerana boleh berpuasa semuda itu. Setiap kali itu juga akan dibantah oleh abang-abang saya yang mengatakan puasa saya batal. Itulah kisah semasa zaman kanak-kanak dulu, penuh dengan ragam. Pada tahun berikutnya saya berjaya menghabiskan puasa sebulan tanpa tertinggal sehari pun.

Seronok rasanya mengimbau kenangan yang dah lama ditinggalkan. Banyak lagi sebenarnya pengalaman-pengalaman berpuasa ketika kanak-kanak. Pada waktu kita belum lagi diwajibkan berpuasa dulu, bersungguh-sungguh nak puasa. Bila dah jadi wajib, lain pula ceritanya.

Jadi, dalam bulan Ramadhan ini saya berharap dapatlah kurang-kurangkan mencarut, dan tingkatkan amalan. Apakah yang cuba saya sampaikan ni pun tak tahulah motifnya.

Selamat menyambut Ramadhan al Mubarak

2 comments:

-Syazana Zan- said...

hihihi,,
entry comeyl~

RHAZ said...

terima kasih kerana sudi baca.
sorry la kawan.
saya mempunyai masalah untuk menyampai kan cerita dalam bentuk tulisan.
jadinya meleret-leret dengan bahasa yang tunggang terbalik dan diulang-ulang.
ceritanya tidaklah serumit yang ditulis sebenarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...