22.9.15

Trans Java : Part 2 - Jakarta

Day 2 - 30 Ogos 2015 (Ahad)

Masih di Jakarta.

Plan kami pagi itu sebelum meinggalkan Jakarta ialah untuk menyertai ‘Car Free Day’ di kota Jakarta dan menaiki pengangkutan awam ke Kota Tua Jakarta untuk melihat bangunan-bangunan dan kesan peninggalan Belanda di Jakarta. Namun segalanya terpaksa dilupakan selepas masing-masing  bangun tidur pukul 10 pagi. Bab berborak bolehlah bagi dekat korang (aku pun sama dengan). 

Untuk info, Car Free Day (CFD) Jakarta adalah satu aktiviti mingguan yang diadakan pada setiap hari Ahad sejak tahun 2012 di mana beberapa jalan utama di bandaraya Jakarta ditutup untuk semua kenderaan bermotor bermula dari jam 6:00 AM hingga 11:00 AM. Ia bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara akibat penggunaan kenderaan bermotor dan juga mempromosi gaya hidup sihat dikalangan warga kota. 

Jika anda berkesempatan berada di Jakarta pada hari Ahad, bolehlah menyertai masyarakat setempat dengan aktiviti berjalan kaki, jogging dan berbasikal di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai menunjukkan sokongan kepada kempen CFD ini. Aku ada terfikir, kenapa di KL kita tak ada event seumpama ini? Oh lupa, kita kan ada BERSIH setahun sekali.

Soto Betawi

Bila semua dah bangun dan terasa perut kosong, apa lagi mari kita makan dulu! Kami bersarapan di Soto Betawi H. Husen pagi itu. Kedainya agak kecil tapi penuh sepenuh-penuhnya. Kami terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum berjaya mendapatkan tempat duduk. Kalau di Malaysia dah lama kami cabut cari mapley. Di sini, sotonya dimakan dengan nasi putih. Kuah sotonya pula seakan-akan daging masak lemak cili api. Atau dalam bahasa mudahnya lontong daging yang dimakan dengan nasi. Ah, susah nak explain, tengok gambar  sajalah senang.

Soto Betawi H. Husen

Penuh dengan manusia. Ada yang tengah tunggu nak dapatkan tempat duduk, ada yang tengah tunggu tapau bawa balik.

Pagi-pagi dah makan nasi. Kena pula dengan Teh Botol, memang terangkat!

Sim Card simPATI
  
Agenda kami seterusnya ialah membeli sim card untuk kegunaan selama seminggu di sana. Kami membeli sim card simPATI atas saranan host kami. Ternyata tidak mengecewakan dan coverage pun bagus. Sampaikan di atas puncak Bromo pun masih boleh dapat line 3G, hebat! Kami membeli sim card dengan harga Rp. 10,000 (bersamaan kira-kira RM3) berserta dengan pulsa (top-up) sebanyak Rp. 100,000 (+/- RM30). 

Kami mengaktifkan plan data 2GB untuk 30 hari dengan harga Rp. 85,000 (+/- RM25). Harganya murah sikit berbanding dengan harga plan data di Malaysia. Tapi sebenarnya di Indonesia ni, harga data plan rupanya tak serupa mengikut daerah yang berbeza. Ketika kami sampai di Surabaya, kami dimaklumkan kalau kami aktifkan data plan di Surabaya harganya lebih murah dan boleh dapat kouta yang lebih banyak. Siapa suruh tak buat research, kan dah rugi.

Dipendekkan cerita, lepas tu kami singgah membeli t-shirt kenang-kenangan Jakarta sebelum pulang dan bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Surabaya. Oh ya, harga baju yang kami beli tu ialah Rp. 150,000 untuk 6 helai baju. Maknanya harga sehelai baju jatuh Rp. 25,000 - lebih kurang RM8. Murah lah kot? Dah siap berkemas apa yang patut, kami bergerak ke destinasi seterusnya - ke Halim Airport untuk menaiki flight ke Surabaya. 

Bakmi GM

Flight kami ke Surabaya dijadualkan berlepas pada jam 3:55 PM, jadi kami masih ada masa untuk makan! Kali ini kami dibawa ke restoran Bakmi GM untuk lunch dan sebagai menu penutup kepada trip makan kami di Jakarta. Bakmi GM ni ialah restoran francais yang terkenal dan terdapat beberapa cawangan di seluruh Jawa Barat. Kami makan Bakmi Special GM Bakso dengan harga kira-kira Rp. 30,000 semangkuk (RM10). Rasanya sedap, tapi aku bukanlah peminat mee sangat jadi tak boleh komen lebih.


Restoran Bakmi GM
Inilah rupa Bakmi Special GM Bakso yang kami order

Halim Perdanakusuma Airport

Selepas dah kenyang Alhamdulillah, kami langsung ke Halim Airport dan tiba kira-kira jam 2:00 PM. Halim Perdanakusuma Airport atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan dengan nama Halim Airport atau Bandara Halim ini merupakan airport kedua Jakarta yang pada asalnya merupakan airport untuk kegunaan tentera. Ia mula dibuka untuk penerbangan komersial pada tahun 2014 untuk mengurangkan kesesakan di Soekarno-Hatta International Airport (SHIA), walaupun ketika kami tiba di SHIA tak nampak sesak pun sebenarnya. 

Kalau nak diikutkan, Halim Airport ni lebih dekat dengan pusat bandar Jakarta kalau nak dibandingkan dengan SHIA. Jaraknya kira-kira 15km saja dari pusat bandar ke Halim Airport berbanding 30km ke SHIA. Selain daripada jarak yang lebih dekat, kami memilih untuk naik dari Halim Airport kerana harga tiket flight yang lebih murah melalui penerbangan Citilink. Info lanjut tentang pembelian tiket ada aku ceritakan dalam entri Prologue - Catatan Sebuah Perjalanan.


Halim Perdanakusuma Airport

Kawasan terminal Halim Airport sebelum memasuki balai perlepasan. Kecil saja, macam Terminal 1 Seremban pun ada aku tengok.


Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih dan selamat tinggal kepada host yang banyak membantu dan dan melayan kami sepanjang berada di Jakarta, kami pun masuk ke balai pelepasan. Tanpa mereka, kami mungkin menghadapi kesukaran untuk bergerak di kota Jakarta dan perlu berbelanja lebih untuk teksi dan lain-lain pengangkutan. Semoga Allah membalas jasa baik kalian. 

Kami menaiki pesawat kira-kira jam 4:00 PM dan bersedia untuk terbang ke Surabaya. Surabaya, mu tunggu aku datang!


Pesawat Citilink sedia untuk berlepas ke Surabaya!
Dengan itu berakhirlah persinggahan singkat kami di Jakarta. Walaupun sekejap, banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh ditimba dari perjalanan kami 2 hari 1 malam di kota Jakarta ini. Kalau nak cerita semua kat sini memang tak habis. Aku kongsikan tips dan info-info yang dirasakan berguna untuk korang yang nak bercuti di Jakarta.

Tips percutian ke Jakarta:

1. Kalau nak datang Jakarta, cuba elakkan datang pada hari berkerja kalau tak nak terperangkap dalam macet (traffic jam) yang kronik. Kami bernasib baik kerana berada di Jakarta pada hari Sabtu & Ahad, macetnya kurang. Jadi boleh sampai ke destinasi yang ditujui dalam masa yang agak singkat.

2. Kalau nak beli simcard di sini, bolehlah cari simcard simPATI kerana coverage yang bagus. Untuk data plan pula, cuba research harga di daerah lain kalau anda hanya menjadikan Jakarta sebagai tempat persinggahan. Mungkin boleh dapat harga yang lebih murah dan lumayan di tempat lain.

3. Di antara pengangkutan awam yang terdapat di Jakarta ialah teksi, bas, komuter, bajaj (sebutan bajai) dan ojek. Bajaj ni lebih kurang macam tuk-tuk di Thailand, ojek ni pula ialah motor yang akan membawa anda ke mana saja dengan bayaran tertentu. Di Indonesia sekarang tengah top dengan apps Gojek di mana anda boleh memesan ojek menggunakan apps dengan bayaran hanya Rp. 5,000 ke semua destinasi tak kira jauh atau dekat. Teksi yang paling popular dan boleh dipercayai ialah Bluebird Taxi yang memang banyak dan mudah didapati di Jakarta. Uber juga merupakan salah satu apps yang popular di Jakarta sebab harga tambang yang lebih murah berbanding teksi. Jadi tepuk poket, tanya bajet.

4. Selain daripada Masjid Istiqlal dan MONAS yang sempat kami kunjungi, antara tempat menarik untuk dilawati di Jakarta ialah Kota Tua Jakarta yang terkenal dengan kesan peninggalan sejarah, Tanah Abang - syurga membeli belah di Jakarta, Taman Impian Jaya Ancol - taman tema di tepi pantai, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) - taman yang menunjukkan ciri-ciri budaya dari seluruh daerah di dalam Indonesia, dan lain-lain (aku dah tak tahu).

5. Disebabkan Jakarta merupakan pusat bandar bagi Indonesia, segala jenis makanan dari seluruh pelusuk Indonesia terdapat di sini. Jadi cubalah sebanyak mungkin jenis makanan di Jakarta seperti kami. Sepanjang 2 hari 1 malam di Jakarta, kami hanya sempat melawati 2 tempat menarik di Jakarta, tapi kami berhenti makan lebih dari 5 kali! Itulah sebabnya kami menggelarkan trip kali ini sebagai ‘Trip Makan Jakarta’.

Sampai di sini dulu entri tentang perjalanan di Jakarta, aku akan sambung dengan perjalanan kami di Surabaya dalam entri yang akan datang.

Transjava Link:

Part 2 - Jakarta
Part 3 - Surabaya

13.9.15

Trans Java : Part 1 - Jakarta


Day 1 - 29 Ogos 2015 (Sabtu)

Malindo Air

Secara jujur, pengalaman terbang dengan Malindo Air pesawat Boeing 737 dari KLIA2 ke Soekarno-Hatta International Airport (SHIA), Jakarta tenghari itu boleh dikatakan antara penerbangan yang tidak berapa menyenangkan. Dengan pesawat yang bergegar sepanjang perjalanan dan pendaratan yang mencemaskan, kami sepakat untuk menge'ban' Malindo untuk trip selepas ini. Hehe

Tapi apa yang bagus tentang Malindo ni, selain dihidangkan dengan snack percuma berupa biskut dan air mineral, mereka juga menyediakan in-flight entertainment system yang mana kita boleh layan movie dan lagu dalam penerbangan. Yang lagi best, kita boleh charge handphone dengan port USB yang disediakan. Cool!


In-flight entertainment system berserta port USB di dalam pesawat Malindo Air untuk kemudahan  dan keselesaan penumpang.


Penerbangan dari KLIA2 ke SHIA memakan masa kira-kira 2 jam. Kami berlepas pada jam 11:30 AM waktu Malaysia dan selamat mendarat pada jam 12:30 PM Waktu Indonesia Barat (WIB) – disebabkan WIB adalah 1 jam lewat dari waktu Malaysia.

Soekarno-Hatta International Airport (SHIA), Jakarta

Kami melangkah masuk melepasi imigresen Indonesia dengan agak mudah. Tidak ada pemeriksaan imigresen yang melampau mahupun borang-borang rumit yang perlu diisi. Dengan hanya perlu cop passport dan isi borang deklarasi tidak membawa bahan larangan, kami sudah pun berjaya melangkah keluar dari airport dalam masa kurang 10 minit. Walaupun pada hari Sabtu, keadaan SHIA yang kelihatan lengang agak menghairankan kami. Jauh berbeza jika nak dibandingkan dengan KLIA2 yang sentiasa dipenuhi lautan manusia. 

Keadaan lengang di SHIA, kelihatan seorang backpacker sejati sedang mencari arah tujuan.
 
Perkhidmatan 'penitipan' barang juga disediakan di SHIA, kami tidak menggunakan perkhidmatan ini.

Toilet di sini dipanggil 'Kamar Kecil'


Ada Apa Di Jakarta?

Sebelum berlepas ke Jakarta, aku sudah pun membuat beberapa research tentang info-info yang perlu diketahui ketika berada di Jakarta. Contohnya, harga bas dan teksi dari airport ke pusat bandar, kawasan penginapan backpackers, tempat menarik untuk dilawati, malahan route commuter di Jakarta juga telah di-download untuk rujukan. Namun, kami bernasib baik kerana ada kenalan di Jakarta yang sudi untuk menjadi hos sepanjang kami berada di sana. Kami sangat terhutang budi atas layanan yang sangat-sangat baik. Mereka menyediakan hampir kesemua keperluan kami ketika di Jakarta termasuklah pengangkutan dan penginapan. Jadi, tak banyak info tentang kos yang boleh dikongsikan sepanjang kami di Jakarta. Di Jakarta, boleh dikatakan trip kami lebih bertemakan makanan. Hehe

Waroeng Mbah Jingkrak Setiabudi

Lokasi pertama yang kami tuju setelah tiba di Jakarta ialah rumah makan! Untuk makanan pertama kami di tanah Jawa, kami dibawa ke sebuah restoran masakan Sunda yang diberi nama Waroeng Mbah Jingkrak Setiabudi. Jangan ditanya dekat mana tempat makan ni, memang aku kurang tahu. Selain daripada makanannya yang enak, hiasan dalaman restoran ini amat menarik perhatian aku, memang lain dari yang lain dan jarang dijumpai. Di restoran ini makanan dihidangkan seperti ala buffet, tapi kita hanya perlu pilih lauk apa yg kita nak dan mereka akan hantar ke meja lauk apa yang kita pilih berserta dengan nasinya sekali. Kalau berkesempatan singgah di restoran ini, silalah cuba lauk ‘Ayam Rambut Setan’ andai ingin mencuba tahap ketahanan pedas anda. Jangan lupa order extra air minuman sekali!

Pintu masuk ke Waroeng Mbah Jingkrak Setiabudi

Pelbagai lauk yang dihidangkan secara buffet. Tak perlu ambil, hanya perlu pilih dan akan dihidangkan ke meja

Rekaan dalaman restoran ala-ala dine in garden

Lagi hiasan dalaman restoran yang menarik dan klasik

Beware of Sharks!

Appetizer yang cukup membuka selera

Inilah Mbah Jingkrak yang dimaksudkan. Mbah = Nenek, Jingkrak = Loncat

Masjid Istiqlal

Destinasi kami seterusnya ialah ke Masjid Istiqlal (memang ada dalam itinerary asal aku). Kami berpeluang untuk menunaikan solat di dalam masjid terbesar di Asia Tenggara ini. Masjid ini boleh memuatkan kira-kira 120,000 orang Jemaah dalam satu-satu masa. (Untuk perbandingan, masjid terbesar di Malaysia ialah Masjid Shah Alam dengan kapasiti 24,000 jemaah). Apa yang menarik, betul-betul berhadapan dengan masjid ini terdirinya sebuah gereja Kristian. Kami difahamkan ia adalah untuk menunjukkan kesefahaman dan toleransi antara agama di Indonesia yang mana mereka boleh berkongsi rumah ibadat dalam satu kawasan yang sama.
Nota: Di pintu masuk masjid, terdapat adik-adik dan makcik-makcik yang akan cuba menjual plastik untuk menyimpan kasut. Sebenarnya anda tidak memerlukan langsung plastik itu, hanya perlu buka kasut anda dan terus bawak ke kaunter penyimpanan barang di dalam masjid. Bayaran untuk penyimpanan barang adalah infak yang dimasukkan ke tabung masjid. Namun jika anda rasa nak menderma kepada mereka yang menjual plastik di pintu masjid, anda boleh beli plastik tersebut dengan niat ikhlas untuk menderma. Harganya murah saja sekitar Rp. 1,000 kalau tak silap.

Pandangan hadapan Masjid Istiqlal

Tempat mengambil wudu' Masjid Istiqlal

Ruangan solat Masjid Istiqlal

Ruangan solat Masjid Istiqlal

Gereja yang berada betul-betul berhadapan dengan Masjid Istiqlal

Monumen Nasional (MONAS)

Kami tidak lama di Masjid Istiqlal kerana kesuntukan masa. Setelah selesai solat, kami langsung bergegas ke lokasi yang seterusnya, Monument Nasional (MONAS). MONAS merupakan salah satu mercu tanda Jakarta dan menjadi tumpuan pelancong dan juga penduduk setempat. Tapi ketika kami ke sana, tidak pula kelihatan pelancong asing lain di sana melainkan kami yang tidak kelihatan asing sangat. Disebabkan hujung minggu, ramai sekali warga kota Jakarta mengambil peluang untuk bersantai di sekitar kawasan MONAS. Juga terdapat banyak gerai jualan ole-ole di sekitar MONAS ini. Jika ke Jakarta, bolehlah mencari souvenir di sini kerana agak sukar untuk dijumpai di tempat lain. Cuma harga dan kualitinya tak dapatlah dipastikan baik atau tidak. Di sini kami hanya snap dua, tiga gambar dan mula beredar ketika matahari mulai tenggelam. Kami sempat singgah pekena ‘kerak telor’ dan cucur berserta dengan air kelapa di gerai tepi jalan dalam perjalanan pulang ke kereta. Boleh dianggap sebagai dinner kami untuk malam ini. Sungguh bersederhana dinner kami bukan? Tunggu dulu, aku tak memberi nama ‘trip makan’ tanpa sebab. Anda akan tahu sebabnya apabila baca hingga ke hujung entri ini.

Tugu MONAS yang menjadi mercu tanda Jakarta. Banyak sekali manusia.

Terdapat menara tinjau di puncak MONAS yang dibuka kepada pengunjung dengan bayaran tertentu. Segi tiga di puncak MONAS ini pula dikatakan diperbuat daripada emas tulen.

Gerai-gerai menjual t-shirt dan souvenir di sekitar MONAS

'Kerak Telor' dalam pembikinan. Campuran telur, pulut dan kelapa. Mesti cuba kalau ke Jakarta!

MONAS juga kelihatan cantik dengan lampu hiasan pada waktu malam


Pada malamnya, kami menghabiskan masa di salah sebuah mall di kotaraya Jakarta. Untuk makluman, Jakarta mempunyai sangat banyak mall dan shopping complex yang besar dan mewah. Sekali lagi, rekaan dalaman mall ini sangat menarik hati aku. Terdapat pelbagai konsep berlainan untuk setiap bahagian di dalam mall ini dengan rekaan yang kreatif dan elegan. Berbeza dengan crowds di Masjid Istiqlal dan MONAS yang dilawati sebelumnya, di sini kita dapat melihat kelompok lain penduduk Jakarta yang boleh dikatatakan terdiri daripada golongan berada. Semua cewek and cowok persis drama sinetron akan dapat dilihat di sini. Ketika itu anda akan terfikir untuk menetap di sini selamanya. Hehe

 
Rekaan dalaman shopping complex yang menarik

Bangga orang Penang tengok ni

Lagi rekaan dalaman shopping complex yang menarik

Lagi-lagi rekaan dalaman shopping complex yang menarik

Ruangan luar surau yang besar, bersih dan selesa

Ruangan luar surau yang besar, bersih dan selesa


Selain daripada mencuci mata dan ronda-ronda di dalam mall, tak lengkaplah trip kami kalau tak ada aktiviti makan. Kami singgah di sebuah restoran pencuci mulut di dalam mall tu jugak, namanya apa ya? Tapi yang penting hanya menyediakan dessert dari pelbagai jenis dan pilihan.

Inilah dessert yang dimaksudkan. Harga? Tepuk dada, tanya selera (aku tak ingat harga sebenarnya)

Sate Padang

Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami singgah pula di sebuah warung Sate Padang sebagai supper untuk hari ini (makan lagi). Lokasinya sekali lagi aku kurang tahu kerana dibawa oleh hos kami yang memang superb bab makanan. Terdapat dua jenis sate di sini iaitu sate daging (ke ayam? aku lupa) dan sate babat. Kelainannya ialah kuahnya seakan-akan kuah chicken chop yang dituang terus ke atas sate dan ditabur dengan bawang goreng di atasnya. Lidinya pula diperbuat daripada buluh yang dirincing halus. Yang pasti, rasanya memang lazat dan ada potensi untuk jadi viral jika di bawa masuk ke Malaysia.

Waroeng Sate Padang yang dimaksudkan

Beginilah rupanya Sate Padang semasa dihidangkan

Dengan itu, berakhirlah hari pertama kami di Jakarta yang dirasakan cukup panjang dan cukup makan. Esok merupakan hari terakhir kami di Jakarta sebelum kami terbang ke Surabaya untuk pengembaraan seterusnya. Di Jakarta saja, sudah banyak perkara yang boleh dijadikan agenda untuk dibincang dan dikupaskan dalam post-mortem harian kami sebelum tidur. Namun kerana kepenatan dan kekenyangan, kami langsung pengsan dengan memasang niat untuk merasai sendiri suasana kempen ‘Car Free Day’ yang diadakan pada setiap hari Ahad di pusat Bandar Jakarta keesokan harinya.

Selamat Malam Jakarta… 

Trans Java Link:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...