22.9.15

Trans Java : Part 2 - Jakarta

Day 2 - 30 Ogos 2015 (Ahad)

Masih di Jakarta.

Plan kami pagi itu sebelum meinggalkan Jakarta ialah untuk menyertai ‘Car Free Day’ di kota Jakarta dan menaiki pengangkutan awam ke Kota Tua Jakarta untuk melihat bangunan-bangunan dan kesan peninggalan Belanda di Jakarta. Namun segalanya terpaksa dilupakan selepas masing-masing  bangun tidur pukul 10 pagi. Bab berborak bolehlah bagi dekat korang (aku pun sama dengan). 

Untuk info, Car Free Day (CFD) Jakarta adalah satu aktiviti mingguan yang diadakan pada setiap hari Ahad sejak tahun 2012 di mana beberapa jalan utama di bandaraya Jakarta ditutup untuk semua kenderaan bermotor bermula dari jam 6:00 AM hingga 11:00 AM. Ia bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara akibat penggunaan kenderaan bermotor dan juga mempromosi gaya hidup sihat dikalangan warga kota. 

Jika anda berkesempatan berada di Jakarta pada hari Ahad, bolehlah menyertai masyarakat setempat dengan aktiviti berjalan kaki, jogging dan berbasikal di kawasan-kawasan yang terlibat sebagai menunjukkan sokongan kepada kempen CFD ini. Aku ada terfikir, kenapa di KL kita tak ada event seumpama ini? Oh lupa, kita kan ada BERSIH setahun sekali.

Soto Betawi

Bila semua dah bangun dan terasa perut kosong, apa lagi mari kita makan dulu! Kami bersarapan di Soto Betawi H. Husen pagi itu. Kedainya agak kecil tapi penuh sepenuh-penuhnya. Kami terpaksa menunggu kira-kira 15 minit sebelum berjaya mendapatkan tempat duduk. Kalau di Malaysia dah lama kami cabut cari mapley. Di sini, sotonya dimakan dengan nasi putih. Kuah sotonya pula seakan-akan daging masak lemak cili api. Atau dalam bahasa mudahnya lontong daging yang dimakan dengan nasi. Ah, susah nak explain, tengok gambar  sajalah senang.

Soto Betawi H. Husen

Penuh dengan manusia. Ada yang tengah tunggu nak dapatkan tempat duduk, ada yang tengah tunggu tapau bawa balik.

Pagi-pagi dah makan nasi. Kena pula dengan Teh Botol, memang terangkat!

Sim Card simPATI
  
Agenda kami seterusnya ialah membeli sim card untuk kegunaan selama seminggu di sana. Kami membeli sim card simPATI atas saranan host kami. Ternyata tidak mengecewakan dan coverage pun bagus. Sampaikan di atas puncak Bromo pun masih boleh dapat line 3G, hebat! Kami membeli sim card dengan harga Rp. 10,000 (bersamaan kira-kira RM3) berserta dengan pulsa (top-up) sebanyak Rp. 100,000 (+/- RM30). 

Kami mengaktifkan plan data 2GB untuk 30 hari dengan harga Rp. 85,000 (+/- RM25). Harganya murah sikit berbanding dengan harga plan data di Malaysia. Tapi sebenarnya di Indonesia ni, harga data plan rupanya tak serupa mengikut daerah yang berbeza. Ketika kami sampai di Surabaya, kami dimaklumkan kalau kami aktifkan data plan di Surabaya harganya lebih murah dan boleh dapat kouta yang lebih banyak. Siapa suruh tak buat research, kan dah rugi.

Dipendekkan cerita, lepas tu kami singgah membeli t-shirt kenang-kenangan Jakarta sebelum pulang dan bersiap untuk meneruskan perjalanan ke Surabaya. Oh ya, harga baju yang kami beli tu ialah Rp. 150,000 untuk 6 helai baju. Maknanya harga sehelai baju jatuh Rp. 25,000 - lebih kurang RM8. Murah lah kot? Dah siap berkemas apa yang patut, kami bergerak ke destinasi seterusnya - ke Halim Airport untuk menaiki flight ke Surabaya. 

Bakmi GM

Flight kami ke Surabaya dijadualkan berlepas pada jam 3:55 PM, jadi kami masih ada masa untuk makan! Kali ini kami dibawa ke restoran Bakmi GM untuk lunch dan sebagai menu penutup kepada trip makan kami di Jakarta. Bakmi GM ni ialah restoran francais yang terkenal dan terdapat beberapa cawangan di seluruh Jawa Barat. Kami makan Bakmi Special GM Bakso dengan harga kira-kira Rp. 30,000 semangkuk (RM10). Rasanya sedap, tapi aku bukanlah peminat mee sangat jadi tak boleh komen lebih.


Restoran Bakmi GM
Inilah rupa Bakmi Special GM Bakso yang kami order

Halim Perdanakusuma Airport

Selepas dah kenyang Alhamdulillah, kami langsung ke Halim Airport dan tiba kira-kira jam 2:00 PM. Halim Perdanakusuma Airport atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan dengan nama Halim Airport atau Bandara Halim ini merupakan airport kedua Jakarta yang pada asalnya merupakan airport untuk kegunaan tentera. Ia mula dibuka untuk penerbangan komersial pada tahun 2014 untuk mengurangkan kesesakan di Soekarno-Hatta International Airport (SHIA), walaupun ketika kami tiba di SHIA tak nampak sesak pun sebenarnya. 

Kalau nak diikutkan, Halim Airport ni lebih dekat dengan pusat bandar Jakarta kalau nak dibandingkan dengan SHIA. Jaraknya kira-kira 15km saja dari pusat bandar ke Halim Airport berbanding 30km ke SHIA. Selain daripada jarak yang lebih dekat, kami memilih untuk naik dari Halim Airport kerana harga tiket flight yang lebih murah melalui penerbangan Citilink. Info lanjut tentang pembelian tiket ada aku ceritakan dalam entri Prologue - Catatan Sebuah Perjalanan.


Halim Perdanakusuma Airport

Kawasan terminal Halim Airport sebelum memasuki balai perlepasan. Kecil saja, macam Terminal 1 Seremban pun ada aku tengok.


Setelah mengucapkan berbanyak terima kasih dan selamat tinggal kepada host yang banyak membantu dan dan melayan kami sepanjang berada di Jakarta, kami pun masuk ke balai pelepasan. Tanpa mereka, kami mungkin menghadapi kesukaran untuk bergerak di kota Jakarta dan perlu berbelanja lebih untuk teksi dan lain-lain pengangkutan. Semoga Allah membalas jasa baik kalian. 

Kami menaiki pesawat kira-kira jam 4:00 PM dan bersedia untuk terbang ke Surabaya. Surabaya, mu tunggu aku datang!


Pesawat Citilink sedia untuk berlepas ke Surabaya!
Dengan itu berakhirlah persinggahan singkat kami di Jakarta. Walaupun sekejap, banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh ditimba dari perjalanan kami 2 hari 1 malam di kota Jakarta ini. Kalau nak cerita semua kat sini memang tak habis. Aku kongsikan tips dan info-info yang dirasakan berguna untuk korang yang nak bercuti di Jakarta.

Tips percutian ke Jakarta:

1. Kalau nak datang Jakarta, cuba elakkan datang pada hari berkerja kalau tak nak terperangkap dalam macet (traffic jam) yang kronik. Kami bernasib baik kerana berada di Jakarta pada hari Sabtu & Ahad, macetnya kurang. Jadi boleh sampai ke destinasi yang ditujui dalam masa yang agak singkat.

2. Kalau nak beli simcard di sini, bolehlah cari simcard simPATI kerana coverage yang bagus. Untuk data plan pula, cuba research harga di daerah lain kalau anda hanya menjadikan Jakarta sebagai tempat persinggahan. Mungkin boleh dapat harga yang lebih murah dan lumayan di tempat lain.

3. Di antara pengangkutan awam yang terdapat di Jakarta ialah teksi, bas, komuter, bajaj (sebutan bajai) dan ojek. Bajaj ni lebih kurang macam tuk-tuk di Thailand, ojek ni pula ialah motor yang akan membawa anda ke mana saja dengan bayaran tertentu. Di Indonesia sekarang tengah top dengan apps Gojek di mana anda boleh memesan ojek menggunakan apps dengan bayaran hanya Rp. 5,000 ke semua destinasi tak kira jauh atau dekat. Teksi yang paling popular dan boleh dipercayai ialah Bluebird Taxi yang memang banyak dan mudah didapati di Jakarta. Uber juga merupakan salah satu apps yang popular di Jakarta sebab harga tambang yang lebih murah berbanding teksi. Jadi tepuk poket, tanya bajet.

4. Selain daripada Masjid Istiqlal dan MONAS yang sempat kami kunjungi, antara tempat menarik untuk dilawati di Jakarta ialah Kota Tua Jakarta yang terkenal dengan kesan peninggalan sejarah, Tanah Abang - syurga membeli belah di Jakarta, Taman Impian Jaya Ancol - taman tema di tepi pantai, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) - taman yang menunjukkan ciri-ciri budaya dari seluruh daerah di dalam Indonesia, dan lain-lain (aku dah tak tahu).

5. Disebabkan Jakarta merupakan pusat bandar bagi Indonesia, segala jenis makanan dari seluruh pelusuk Indonesia terdapat di sini. Jadi cubalah sebanyak mungkin jenis makanan di Jakarta seperti kami. Sepanjang 2 hari 1 malam di Jakarta, kami hanya sempat melawati 2 tempat menarik di Jakarta, tapi kami berhenti makan lebih dari 5 kali! Itulah sebabnya kami menggelarkan trip kali ini sebagai ‘Trip Makan Jakarta’.

Sampai di sini dulu entri tentang perjalanan di Jakarta, aku akan sambung dengan perjalanan kami di Surabaya dalam entri yang akan datang.

Transjava Link:

Part 2 - Jakarta
Part 3 - Surabaya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...