11.9.15

Trans Java : Prologue - Catatan Sebuah Perjalanan


Aku akan cuba coretkan sebanyak mungkin pengalaman sepanjang 8 hari berada di tanah Jawa sebagai rujukan diri sendiri di masa depan dan semoga dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca.

Pengalaman selama lebih kurang seminggu di bumi Indonesia banyak membuka mata aku tentang erti survival dan kesempitan hidup yang membuatkan masyarakat mereka melakukan apa saja sebagai mata pencarian hidup. Di Malaysia, kita mungkin kurang nampak sangat benda ini sebab boleh dikatakan kita di Malaysia hidup senang. Tapi kita masih mengeluh dan tak pernah rasa cukup.

Pulau Jawa dengan populasi seramai 154 juta orang penduduk, masyarakat mereka harus berusaha dengan pelbagai cara dan perkerjaan untuk meneruskan kehidupan mereka. (Sebagai perbandingan, populasi penduduk di seluruh Malaysia ialah 30 juta sahaja). Kalau ada kesempatan, cubalah pergi dan selami kehidupan masyarakat di sana dan anda akan faham apa yang aku cuba maksudkan.

Secara ringkasnya, pengembaraan kami kali ini meliputi 4 bandar utama di Tanah Jawa iaitu Jakarta-Surabaya-Yogyakarta-Bandung. Yang mana memakan masa selama 8 hari (29 Ogos 2015 hingga 5 September 2015) – sebenarnya 8 hari masih belum cukup untuk discover semua yang ada di Tanah Jawa. Dengan jadual dan bajet yang ketat, Alhamdulillah kami berjaya menghabiskan pengembaraan kami yang ala-ala backpackers ni tanpa banyak masalah.

Kebiasaanya, pengembaraan merentasi tanah Jawa akan dimulakan di Jakarta (Jawa Barat) dan berakhir di Surabaya (Jawa Timur) atau sebaliknya. Namun disebabkan untuk mendapatkan harga tiket flight yang paling murah, kami memilih laluan yang agak 'rare' seperti yg dapat dilihat dalam peta di dibawah.

Kami bermula dari Jawa Barat (Jakarta), kemudian terus terbang ke Jawa Timur (Surabaya), seterusnya patah balik ke Jawa Tengah (Yogyakarta) dan berakhir kembali di Jawa Barat (Bandung).

Perjalanan merentas Tanah Jawa melalui Jakarta-Surabaya-Yogyakarta-Bandung 


Pengangkutan


Kami memilih untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan dan kereta api sebagai pengangkutan di antara bandar-bandar yang ditujui. Keterangan lengkap pengangkutan adalah seperti di bawah.

1. KL - Jakarta (Day 1)
Malindo Air - Flight OD 316
RM 182

2. Jakarta - Surabaya (Day 2)
Citilink Airlines - Flight QG 181
Rp. 542, 200 ~ RM 162

3. Surabaya - Yogyakarta (Day 4)
Kereta Api Argo Wilis (Eksekutif)
Rp. 272, 500 ~ RM 82

4. Yogyakarta - Bandung (Day 6)
Kereta Api Turangga (Eksekutif)
Rp. 362, 500 ~ RM 110

5. Bandung - JB (Day 8)
Air Asia - Flight AK1029
RM 104

Total = RM 640

Untuk membeli tiket flight dan kereta api di Indonesia, anda boleh membeli secara online di www.tiket.com. Ini kerana kebanyakan website Indonesia hanya menerima pembayaran menggunakan kad kredit yang didaftar di Indonesia sahaja.

Sebagai contoh, ketika aku nak beli tiket flight Citilink di website rasmi diorang, aku cuba bayar guna debit kad Maybank tapi tak diterima. Terus aku ke tiket.com dan berjaya membeli tiket dengan tanpa banyak masalah. Dan apa yang menarik, dengan harga yang sama tanpa caj tambahan!

*Untuk rekod, Citilink adalah penerbangan tambang murah di bawah kelolaan penerbangan utama Indonesia iaitu Garuda Indonesia. (Lebih kurang sama dengan konsep Firefly dengan MAS)

Untuk tiket kereta api pula, kami mengambil keputusan untuk beli secara walk-in saja sebab tak mahu mengambil risiko kalau kalau ada perubahan itinerary kami di sana. Namun jika anda mempunyai itinerary dan jadual perjalanan yang tetap, amat digalakkan untuk beli tiket lebih awal secara online. Sebabnya, anda boleh dapat harga yang lebih murah untuk perjalanan yang sama.

Untuk lebih kefahaman, sila rujuk carta harga tiket kereta api yang dipetik dari website www.kereta-api.co.id seperti di bawah.


Sebagai contoh, harga tiket eksekutif dari Bandung ke Jogja pada hari dan waktu yang sama terdapat 4 harga yang berbeza bergantung kepada kelas A, H, I dan J. Beza kelas-kelas ini sebenarnya ialah jarak gerabak dengan pintu masuk ke stesen kereta api. Kelas A adalah gerabak yang paling hampir, jadi harganya yang paling mahal sebab tak perlu berjalan jauh. (Tolong betulkan kalau salah) Tapi apalah sangat jalan jauh sikit untuk harga yang lebih murah.

Disebabkan kami membeli tiket secara walk-in di saat akhir, kami terpaksa membeli tiket untuk Kelas A dengan harga yang mahal kerana tiket yang lebih murah telah habis dijual. Sekarang korang boleh lihat kenapa aku menggalakkan beli tiket lebih awal untuk menjimatkan wang.

Mesti ada yang tertanya, apa pula bezanya antara tiket eksekutif dengan bisnes? Terdapat 3 kelas berbeza dalam system kereta api di Indonesia – Eksekutif, Bisnes & Ekonomi. Untuk perjalanan jauh, disarankan untuk menggunakan kelas eksekutif kerana keadaannya yang lebih selesa dan bersih. Malah untuk perjalanan malam, mereka akan menyediakan bantal dan selimut untuk keselesaan penumpang.

Aku akan kongsikan pengalaman kami menaiki kereta api kelas eksekutif dalam entri seterusnya. Untuk info, sepanjang pengetahuan aku, di sana tidak ada kereta api dengan katil seperti di Malaysia.

Aku juga akan cuba kongsikan kos-kos lain sepanjang trip ini sebagai panduan kepada yang berminat. Semua tarif dan harga adalah berdasarkan kadar semasa iaitu pada bulan Ogos/Sept 2015.

Selamat membaca dan selamat mengembara bersama!

Trans Java Link:

Prologue - Catatan Sebuah Perjalanan

8.2.13

ISTANBUL AKU DATANG - Dari Istanbul Untuk Malaysia


Filem paling terfaktab tahun 2012

Tajuk Filem : Istanbul Aku Datang
Ulasan : Tiasa ulasan. 

Tarikh Mula Tayang : 8 November 2012
Ulasan : Masa tayangan yang boleh dikatakan sesuai pada permulaan cuti sekolah. Pasangan bercinta budak-budak sekolah boleh bertenet menonton filem bengenre komedi romantik seumpamanya. Juga sesuai untuk pasangan yang tak bercinta dan yang tak jadi bercinta.

Kutipan Kasar : RM 3.58 juta
Ulasan : Merupakan kutipan jualan tiket ke-4 tertinggi sepanjang tahun 2012, dibelakang Adnan Sempit 2 (6.82 juta), Jalan Kembali (4.98 juta) dan Mael Lambong (4.88 juta). Ketiga-tiga filem dengan kutipan paling tinggi boleh dikategorikan sebagai "filem-tidak-wajib-tonton" 2012. Perkataan "wajib" juga sesuai ditukarkan dengan perkataan "payah".

Lakonan Paling Mantap : Beto Kusyairy
Ulasan : Tak dapat dinafikan penulis ke pawagam menonton filem ini atas faktor pelakon utamanya ialah Beto Kusyairy (kawan aku cakap gay gila). Walaupun watak yang dimainkan tidaklah berat sangat, namun karakter Beto tetap menyerlah dengan ke'cool'an yang menjadikan lakonannya penuh besahaja tapi sangat berkesan. 

Lakonan Paling Hampeh : Aizat Amdan
Ulasan : Pengakuan Aizat tentang dirinya tidak sesuai dengan dunia lakonan adalah satu kenyataan yang sangat tepat. Brader extra jadi penjual Maggi Asam Laksa pun dilihat mempunyai bakat lakonan yang lebih sikit daripada Aizat. Teruskan menyanyi dan menang lebih banyak AJL bro.

Pengarah : Bernard Chauly
Ulasan : Pernah mengarahkan filem Gol & Gincu (2005) and Pisau Cukur (2009). Gaya pengarahan yang boleh dipuji kerana mempunyai identiti dan kelainan yang tersendiri. Tidak terikut-ikut dengan lanskap industri filem yang merapu entah apa-apa. Diharapkan Bernard dapat tampil dengan idea yang lebih segar dan mantap dalam filem beliau selepas ini.

Ulasan Umum : Secara kesuluruhannya, Istanbul Aku Datang membawa satu jalan cerita yang tersusun, mudah difahami, agak menarik dengan sedikit twist yang juga menarik, diserikan dengan komedi-komedi santai dan emosi nipis yang boleh menyentuh hati yang tisu. Sinematografi yang juga boleh dipuji dengan dibantu oleh keindahan bandar Istanbul yang sememangnya menyokong mood filem. Namun harus diakui kekuatan jalan ceritanya masih belum cukup untuk dikategorikan sebagai "filem-wajib-tonton" seorang marhaines filem seperti aku.

Apa yang membuat aku rasa terpanggil untuk me-review filem ini adalah kerana aku rasa tertarik dengan kepelbagaian lagu yang digunakan sebagai soundtrack dalam filem ini untuk setiap plot dan mood yang berbeza. Dan apa yang lebih menarik, kesemua 12 soundtrack yang digunakan adalah lagu-lagu buatan tempatan! Bernard dan pengarah muziknya harus dipuji untuk usaha ini kerana ke-tidak bertergantungan dengan lagu-lagu dari luar terutamanya dari seberang untuk dimuatkan dalam filem beliau. Ini menunjukkan banyak lagi lagu-lagu tempatan yang berkualiti untuk dijadikan soundtrack filem tapi kebanyakan pengarah lebih suka menggunakan lagu-lagu dari luar. Kalau dilihat dalam filem-filem sebelum ini pun Bernard lebih gemar menggunakan lagu-lagu karya anak tempatan sebagai lagu dalam filem beliau. Ini adalah satu penghargaan kepada pengkarya muzik tanah air. Tahniah Bernard!

Runut Bunyi :

1. Amir Jahari - Tanpamu
2. Sugar Love Cookies - Kau dan Aku
3. Diandra Arjunaidi - Angkasa
4. Yuna - Super Something
5. Aizat - Denganmu
6. Tomok - Bagaikan Bidadari
7. Liyana Jasmay - Aku Tak Percaya Cinta
8. Bittersweet - 1234
9. Aizat - Bila Waktu Berhenti
10. Shila Amzah - Patah Seribu
11. Janice and the Supertank - Kau di Mindaku 
12. Tomok - Aku Datang


Kesimpulan Ulasan : Kesimpulannya, jumlah bintang yang diberi untuk filem ini.

Bintang:

Nota kaki: Semua angka kutipan jualan tiket ditiru dari laman web FINAS.

29.4.12

Jangan Serius Sangat


Akhirnya blog ni dah jadi blog review filem semata-mata. Sesuatu yang aku amat cuba elakkan di awal usia dulu; menggunakan hanya satu genre sebagai idea penulisan. Sebab itu diadunkan dengan isu-isu semasa, politik, sukan dan sebagainya awalnya dulu.

Namun kini nyata tak ada isu-isu yang lebih menarik pemikiranku untuk deterokai dan dikupas lanjut melainkan industri perfileman yang makin berkembang tapi susah nak keluar dari kepompong yang lama. Bagi aku setiap filem tempatan adalah layak ditonton selagi ia masih mengekalkan polisi sebuah naskah seni. Untuk kepuasan berkarya dan mengongsi kepuasannya dengan masyarakat umum (suka hati aku je buat polisi sendiri). Jika nawaitunya sudah menyimpang, maka boleh dikatakan tidak layak lagi untuk ditonton.

Berbalik kepada persoalan akar, isu-isu yang boleh dikupas melainkan review filem bertaraf tadika yang aku coretkan, isu-isu lain tidak lagi mendatangkan minat untuk aku mula menaip.

Sebagai contoh; politik. Tak dapat disangkal, politic is one of my passion. Walaupun tak terlibat secara langsung dan tak pernah membuat bacaan/kajian mendalam mengenai dunia politik, tapi aku amat berminat dalam perkembangan politik semasa. Aku dibesarkan dengan politik, dengan latar belakang keluarga yang amat aktif dalam politik. Jadi aku mewarisi aliran darah yang sama, walaupun mungkin warnanya bebeza.

Bagi aku, politik adalah satu perkara yang amat subjektif, sukar untuk dinilai dan ditimbang. Pasti ada pro dan kontranya. Kalaulah kita betul-betul arif dalam bidang politik, kita akan nampak lebih bijak jika berbahas mengenai perkara-perkara seperti ideologi, pendirian, polisi dan seangkatan dengannya. Jika kita berbahas lebih kepada perkara-perkara yang melibatkan emosi, perkauman, moral, dendam, peribadi dan seumpanya, aku berfikiran lebih baik kita berdiam diri daripada dilihat kurang bijak.

Politik melibatkan pendirian. Yang pertama, kita harus menghormati pendirian orang lain waluapun kita 100% yakin pendiriannya salah, dan kita betul. Tidak sesekali harus timbul ungkapan "kau salah, aku betul". Apa yang lebih relevan ialah membuktikan pendirian di pihak yang kita sokong lebih baik daripada pihak bertentangan, dan juga membuktikan kelemahan-kelemahan yang ada pada pihak bertentangan untuk menunjukkan pihak kita lebih baik. Jika mereka setuju, mungkin mereka akan menyertai kita. Jika tidak, mungkin mereka ada sebab yang lebih kukuh untuk tetap teguh dengan pendirian mereka. Tidak perlu lah kita menyalak ke sana sini cakap siapa betul siapa salah, siapa menang siapa kalah. Kerana pasti ia akan lebih menjengkelkan.

Bercakap tentang sukan pula, lebih membosankan. Jangan salah faham, sukan tidak pernah membosankan, tapi isu-isunya adalah isu lapuk untuk diperkatakan. Harimau Malaya, menang, kalah, ranking, juara, Sukan Sea, Piala Suzuki, friendly, ranking lagi, dan sebagainya. Perkara yang sama berulang-ulang sehingga tiada apa yang boleh diulaskan lagi. Tiada perkembangan lain.

Untuk mencoret mengenai manusia dan alam pula, aku sudah tidak punya banyak masa untuk memerhatikan alam dan meneliti ragam manusia untuk dijadikan bahan tulisan. Malah aku pun sudah tidak punya masa untuk diri sendiri.

Sudah lama aku tak menulis panjang sebegini, akhirnya terzahir juga yang tersimpan di hati. Sudah kehabisan tenaga untuk terus menaip. Maafkan tersilap kata, tersalah info, ter-typo error.

Sekian.

22.4.12

Berani Punya Budak - 26 April 2012


Berani Punya Budak akhirnya ke pawagam setelah empat tahun filem versi Thailand ditayangkan. Dan selepas dua tahun post aku pasal filem ini. (klik sini) Mungkin disebabkan kesibukan Afdlin Shauki dengan saluran Astro Warna, filem ini tertangguh lama.

Dulu aku cakap rasa ingin tonton filem ini membuak-buak, ketika itu pada Oktober 2010. Namun kini, mungkin rasanya tidak membuak-buak seperti dulu.

Semoga filem ini berjaya mendapat sambutan, begitu juga dengan filem-filem tempatan yang lain.

Good Luck Bro Afdlin dan production team. Nantikan review kalau aku ada kelapangan menonton.

RHAZ

19.3.12

BUNOHAN - Bunoh Tanpa Senjata


Aku masuk ke panggung lewat 10 minit akibat kesesakan luar biasa. Masuk saja ke dalam panggung, aku lihat ratusan kerusi kosong dan tak susah untuk aku pilih sesuka hati mana-mana tempat duduk yang selesa. Saat aku melabuhkan punggung, memulakan penghayatan kepada cerita yang sudah bermula 10 minit lepas, aku sedar aku perlu mencari punca cerita ini.

Babak yang sedang bermain ketika itu ialah seorang peninju Muay Thai (Adil Bunga Lalang) yang tercedera di bawa lari oleh rakannya (Muski Kuda Hitam). Setelah beberapa babak, tak susah untuk aku mencari pangkalnya. Adil Bunga Lalang dibawa lari dari satu perlawanan tinju di Siam yang mana dia sudah kalah teruk. Dia dibawa lari oleh rakan lamanya kembali ke kampung halamannya yang telah 5 tahun ditinggalkan, di negeri Kelantan, BUNOHAN.

Seorang pembunuh upahan (Ilham) telah ditugaskan untuk memburu dan menghabiskan Adil. Secara kebetulan, Ilham juga berasal dari BUNOHAN, yang telah ditinggalkan lama dulu (lebih 20 tahun kalau tak silap). Malah yang lebih menarik, Ilham dan Adil mempunyai pertalian darah yang hanya mereka ketahui setelah sama-sama pulang ke BUNOHAN. Namun sepanjang perjalanan cerita, tidak banyak konflik atau babak ditekankan antara Adil dan Ilham. Malah lebih ditekankan konflik antara Adil dan seorang lagi ahli keluarganya, Bakar. Yang juga baru pulang ke BUNOHAN kononnya untuk menjaga ayahnya, namun mempunyai niat lain untuk mendapatkan tanah pusaka.

Secara asasnya, filem BUNOHAN berkisarkan tiga beradik yang pulang ke BUNOHAN dengan tujuan yang berbeza, tetapi akhirnya terjebak dalam satu kitaran yang sama. Satu penceritaan yang menarik dan berbeza diketengahkan oleh Pengarah Dain Said yang harus dipuji. Namun tak dapat disangkal jalan penceritaan yang deketengahkan pasti akan mengelirukan penonton. Beberapa babak yang tak dapat ditangkap maksud tersirat di sebaliknya. Apa yang bagus mengenai filem ini ialah ia menggalakkan penonton berfikir (sesuatu yang amat tidak digemari oleh penonton di Malaysia). Namun, bahayanya apabila penonton gagal mentafsir apa yang cuba disampaikan, ia akan menjadi sebuah naskah yang tak memberi makna kepada penonton.

Pada pendapat naif aku, filem ini terlalu berat untuk kelompok penonton filem di Malaysia yang mana rata-ratanya lebih menggemari jalan cerita yang ringan, santai dan kosong. Atau kalau tak keterlaluan boleh dikatakan sikap sebahagian besar penonton yang 'malas berfikir'. Kalau tak percaya, tunggu sajalah filem Jidin Sengal mula ditayangkan nanti, confirm pecah panggung sampai 6-7 juta atau mungkin lebih. Itulah mentaliti penonton filem di Malaysia yang harus kita akui. Betul, orang kata kita pergi tengok wayang untuk enjoy, untuk lepas stress. Tapi sampai situ sajakah nilai seni yang harus kita terus pupuk untuk generasi kita hingga bila-bila? Jika benar, sudah pastilah 10 tahun lagi industri filem kita akan terus dipenuhi dengan filem-filem jenaka ringan dan kosong.

Aku tak kata salah pergi menonton filem-filem ber-genre demikian, aku pun minat juga. Tapi naskah-naskah istimewa seperti inilah yang kita harus lebih hargai. Agar kita sedar, bila masa untuk kita ketawa, bila masa untuk kita berfikir. Dan sudah tentu, pastikan kita punya lebih masa untuk berfikir.

Sekian.

p/s: Amat jarang kita jumpa filem yang watak antagonis yang akhirnya menang. Bravo!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...