25.12.10

Sedikit rasa buat Sang Harimau

Photo: Harian Metro

Kita perlu akui.

Benar, pasukan kita tak sehebat mana.
Benar, pemain kita tak sebagus mana.
Benar, permainan kita tak sebaik mana.
Benar, pencapaian kita tak sejauh mana.

Tapi kita mesti percaya.

Dengan semangat juang yang kita tunjukkan.
Dengan kerja keras yang kita tampilkan.
Dengan kesungguhan yang kita jelmakan.
Dengan kepintaran yang kita persembahkan.

Ditambah dengan sokongan tak berbelah bagi dari jutaan rakyat Malaysia.
Nescaya tiada apa yang perlu dirisaukan lagi.

Piala bukanlah apa yang kita idamkan.
Gelaran bukanlah apa yang kita kejarkan.
Ranking bukanlah apa yang kita hiraukan.
Rating bukanlah apa yang kita risaukan.

Cuma impian kita ialah untuk bergembira mengecapi sedikit kegemilangan.
Dengan mengharapkan kegemilangan yang sedikit itu akan menjadi lebih besar suatu hari nanti.
Ya, kita sentiasa mengimpikannnya.

p/s: Aku cuba sehabis baik, nyata aku tak berdaya.

23.12.10

Ada Apa Dengan Ngangkung?


Sejak akhir-akhir ni keje aku duk tengok web site FINAS tu je, dah leh letak kat bookmark dah web site tu gamaknya.hehe

Setelah membelek-belek web site tersebut, ini adalah antara perkara yang menarik perhatian aku:

Adeh apa kecik benar print screen ni, harap-harap boleh nampak lah ye.

OK, kalau tengok nombor 24 tu, Ngangkung berjaya mengutip RM7.77 juta dan bertanda bintang maknanya tayangannya masih belum tamat, maknanya kutipan Ngangkung masih boleh bertambah. Wow, that's really amazing! 7.77 juta beb!

Take a look at this pulak:

Di ranking pertama ialah Adnan Sempit dengan kutipan RM 7.66 juta, sedangkan Jangan Pandang Belakang yang dikatakan sebelum ni memegang rekod kutipan filem tempatan tertinggi hanyalah di tempat ke-6, dengan Sembilu pun kalah kot.hehe

OK, apa yang nak ditekankan di sini, kutipan filem Ngangkung dah pun memecah rekod mengatasi Adnan Sempit dan menjadi filem tempatan dengan kutipan paling tinggi setakat ini. Untuk rekod, Ngangkung adalah filem sulung arahan Ismail Bob Hasim yang belum pernah mengarah mana-mana filem sebelum ini. Wah, menarik bukan? OK, tak dinafikan mungkin jumlah kutipan dalam web site Finas tu pun bukanlah yang muktamad, mungkin hanya kutipan kasar dan akan dikemas kini kemudian. Kita tengok je lah nanti.

OK, ada apa dengan Ngangkung ni?


Ngangkung, Ngangkung, Ngangkung. Aku ada terbaca beberapa review menarik pasal filem Ngangkung dalam blog-blog bila aku google Ngangkung untuk tau best ke tak, sebab filem pengarah baru, aku masih ragu-ragu. Aku amat tertarik hati bila semua review yang aku baca memuji filem ni seratus peratus, rata-rata mengatakan filem ni bagus dan kelakar (favorite aku). Malah ada satu blog aku baca menulis begini, "Aku tak akan review filem tu kalau tak bagus". Macam tu pun ada ye? Jadi, pada ketika itu hati aku membuak-buak untuk meonton filem ini.

Tapi niat aku agak terbantut bila mendengar komen negatif dari seorang kawan aku. Tak best, baik tak payah tengok. Bila kawan aku ni kata tak best, aku tau dia berkata benar. Aku cakap balik dekat dia, tapi ramai orang pegi tengok kan? Kawan aku tu jawab, orang ramai tengok sebab ada Sam, orang ingat lawak macam Adnan Sempit, tapi tak pun. Sam tak lawak pun dalam tu. Bila aku dengar komen ringkas dari kawan aku tu, aku lupakan sebentar niat nak tengok Ngangkung tu. Sebab tu bila Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) keluar wayang, aku tak teragak-agak pergi tengok cerita tu dulu.

OK, nak dijadikan cerita, hari minggu lepas salah seorang kawan aku yang sama-sama tengok cerita HKLBR dengan aku hari tu ajak tengok wayang lagi, disebabkan kebosanan. Lalu kami mengambil keputusan untuk tengok Ngangkung pada hari itu sebab tak ada cerita lain yang menarik hati dan komen yang amat negatif tentang filem Tron dari kawan-kawan. Hall kecik untuk filem Ngangkung masih penuh walaupun dah masuk minggu ke-3 tayangan, aku duduk barisan ke-3 dari depan.

Secara jujurnya, aku tak meletakkan harapan yang tinggi ketika menonton filem ni. Tapi malangnya aku terpaksa mengakui bahawa harapan yang tak tinggi aku letakkan tu pun masih tak dapat dipenuhi oleh filem yang memegang rekod kutipan paling tinggi ini. Sedangkan kawan aku yang cakap cerita HKLBR tu terbaik pun boleh tertidur sebelah aku. Inikan aku yang menggangap HKLBR masih boleh diperbaiki, macam mana aku nak describe pandangan aku pasal filem ni pun tak tau lah. Tapi bukanlah kekecewaan aku tu sampai tahap aku kecewa masa tengok cerita Jin Notti mahupun cerita Maut. Ceritanya still boleh layan, tapi aku kecewa sebab ceritanya tu macam tak sepadan dengan jumlah kutipan yang amat tinggi.

Aku kadang-kadang hairan macam mana ada orang boleh cakap cerita ni terbaik, best gile, wajib tengok dan sebagainya. Sekali lagi aku bukan nak memperlekehkan filem tempatan terutamanya filem Melayu, tapi kita harus berpijak di bumi nyata dan mengakui kenyataan. Aku bertambah pelik bila ada orang kata Ngangkung is much better than HKLBR. Aku tau, setiap orang ada citarasa sendiri. Sudah tentu ramai yang bersetuju yang Ngangkung lebih baik daripada HKLBR berdasarkan hasil kutipan yang agak jauh berbeza.

Tapi bagi aku, tidak sama sekali. Kalau ditengok betul-betul, kedua-dua filem ni ada beberapa persamaan dalam jalan ceritanya. Pertamanya, kedua-duanya adalah filem yang ber-genre seram komedi. Kalau nak dilihat dari segi seramnya, aku akui Bob lebih banyak menyuntik elemen-elemen seram dibandingkan dengan Mamat Khalid. Tapi bagi aku, untuk sebuah filem seram komedi, the comedy always come first. Sebab tujuan utamanya adalah untuk bagi orang ketawa dan bukannya orang takut. Ngangkung menyajikan banyak unsur-unsur seram dan elemen kejutan untuk buat orang terkejut. Kesian aku tengok budak-budak kecik sebelah aku asik terkejut tengok cerita lawak. Tapi lawaknya taklah sehebat HKLBR dan aku rasa aku tergelak dua tiga kali je sepanjang tayangan filem tu. Disebabkan aku peminat komedi, bagi aku HKLBR menang dari segi ni.hehe

Persamaan keduanya pula ialah kedua-dua filem menyelitkan pengajaran dalam jalan ceritanya. Tapi yang berbeza ialah pengajaran dalam Ngangkung adalah jelas melalui jalan ceritanya, pasal orang main nombor ekor. Tapi cara HKLBR pula berlainan, pengajarannya berbeza mengikut babak-babak yang tertentu. Dalam jalan cerita keseluruhannya, tiada pengajaran pun sebenarnya sebab cerita orang gila yang lari balik rumah dari mental hospital. Tapi pengajarannya diterapkan dalam lawak-lawak sinis dan nasihat-nasihat sepanjang filem itu sendiri. Sekali lagi aku menyebelahi HKLBR dalam perkara ni.

Satu lagi persamaan dalam kedua-dua filem ni yang mana amat aku tak berkenan ialah jalan cerita yang berakhir dengan kesedihan. Tak salah kalau nak menyelitkan unsur sedih dalam filem komedi, tapi aku rasa unsur sedih dia tu macam terlalu berat untuk sebuah filem komedi. Bayangkanlah betapa sedihnya bila dapat tau awek Awie yang selama ni dia bayangkan hidup rupanya dah meninggal dan sepanjang cerita tu dia hanya berkhayal. Dalam Ngangkung lagilah sedih bila seorang bapa sanggup memukul anak perempuan yang amat disayanginya kerana obses dengan nombor ekor. Unsur-unsur sedih macam ni boleh menyentuh perasaan dan membuatkan orang menangis dalam wayang. Tapi tak kan lah orang nak menangis dalam tayangan sebuah filem seram komedi? Pelik bunyinya tu kan?

Orang tengok filem komedi untuk ketawa, kalau tersentuh sedikit sebanyak tu boleh la diterima. Aku pun tengok cerita Setem gelak bagai nak rak tapi tersentuh jugak tengok kasih sayang kakak-adik yang dilakonkan Vanidah Imran dan Que Haidar dalam filem tu. Itu barulah dinamakan side kick dalam komedi, tak boleh lah satu kesedihan berat diadunkan dalam komedi. Jadi pelik lah pulak rasanya. Aku tengok kedua-dua filem ni bila dah nak sampai ending dah masuk part sedih, aku macam terpikir, eh sedihnya cerita ni, nak buat apa ni? Nak gelak tak boleh, menyesal aku ketawakan diorang tadi. Sampai tahap macam tu sekali (sudah tentulah satu hyperbola semata-mata).

Aku geram punya pasal sampai aku lupa dah nak tulis apa tadi. OK, kesimpulannya HKLBR menang 3-1 sebab yang third tu dua-dua bolos. Tapi dari segi kutipan amatlah malang apabila HKLBR kalah teruk kira-kira dengan beza 3 juta (belum rasmi). Di sini aku dapat nampak satu perkara, pengarah bukanlah satu faktor yang besar untuk mendapat kutipan yang tinggi. Faktor yang paling penting ialah pelakon itu sendiri. Betul kata kawan aku, disebabkan Sam berlakon dalam Ngangkung, pandangan orang ramai mengenai filem tu mesti lawak gile sebab ada Sam. Sedangkan Sam memegang watak yang amat serius dalam filem tu. Tapi Shaheizy Sam, walau serius mana pun watak yang dibawanya, dia tetap seorang Sam yang lawak. Dia seorang pelakon yang amat bagus bagi aku. Nanti kalau rajin aku tulis pasal dia pulak.hehe

Lagi satu, daripada gambar rajah yang atas sekali kita dapat lihat kenapa Ngangkung mendapat lebih banyak kutipan dari HKLBR iaitu dari segi bilangan pawagam. Ngangkung ditayangkan di 59 buah pawagam sedangkan HKLBR hanya ditayangkan di 39 buah pawagam. Apa faktor dan sebab musababnya tak lah pula aku ketahui. Kalaulah filem HKLBR ditayangkan di 59 buah pawagam juga, dapatkah kutipannya mencecah angka 7 juta juga? Satu persoalan yang tak akan terjawab. Namun angka 4 juta juga merupakan satu angka yang dah cukup besar bagi filem Mamat Khalid sebenarnya.

Sebelum mengundur diri, sebenarnya aku ada satu lagi teori mengenai kenapa kedua-dua filem ini meletup di pawagam terutamanya filem Ngangkung. Tak dinafikanlah salah satu faktor utama ialah musim cuti sekolah dan kedua-dua filem sesuai ditonton seisi keluarga kan. Aku rasa kalau filem Upin Ipin ditayangkan pada masa macam ni, tak mustahil boleh menjangkau angka 10 juta! Satu lagi teori yang aku terfikir adalah lebih menarik dah tak berapa logik. Kalau ditengok dalam list tayangan filem tempatan mengikut urutan masa ditayangkan, filem Ngangkung adalah filem pertama yang ditayangkan selepas filem penuh kontroversi dan menjengkelkan ramai orang iaitu filem 2 Alam.

OK, ini hanya teori aku. Disebabkan ramai sangat orang yang meluat dan benci kepada filem 2 Alam yang dikatakan boleh mengutip 40 juta tu, mereka meluahkan perasaan tu dengan pergi menonton filem tempatan lain yang keluar selepas itu untuk menunjukkan filem lain jauh lebih laku dari filem 2 Alam yang menyakitkan hati itu. Dan ketika itu hanya ada filem Ngangkung yang dilakonkan oleh Shahiezy Sam pulak tu, jadi apa lagi? Untung besarlah filem Ngangkung.

Itulah teori yang baru aku terfikir yang membuatkan aku nak tulis entry ni, tapi jadi meleret-leret pula akhirnya.

Apa-apa pun, majulah industri filem untuk negara!

18.12.10

Malaysia 2 - 0 Vietnam



Kurang sejam dari sekarang akan berlangsung sepak mula bagi 2nd leg match pula. Aku, seperti rakyat Malaysia yang lain mengharapkan yang terbaik untuk team bola kita malam ni. Semoga semangat dari Stadium Bukit Jalil tempoh hari dapat mereka bawa ke Vietnam.

Aku seronok pergi stadium hari tu, ramai orang (walaupun baju ada macam-macam kaler). Walaupun game Malaysia tak seperti yang aku harapkan, namun dua gol tu dah cukup untuk membalas kesetiaan lautan penyokong yang membanjiri stadium malam tu.

Aku seronok, aku enjoy malam tu. Harap-harap begitu juga malam ni. Mudah-mudahan.

12.12.10

Hantu Kak Limah Balik Rumah



Dah lama benar aku tak ke panggung wayang sebenarnya. Seingat aku last aku pergi pun aku tengok cerita... Ah, aku tak ingat! Nampak sangat dah lama tak tengok wayang.hehe Tapi setelah merujuk ke laman web FINAS, aku dapati filem tempatan yang terakhir aku pergi tengok dekat wayang ialah Jangan Pandang Belakang Congkak 2 pada bulan Oktober yang lepas. Erm, agak lama jugak lah tu.

Dan semalam akhirnya aku mengakhiri kemarau menonton filem tempatan dengan menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR), satu lagi filem hasil buah fikiran dan garapan sutradara Mamat Khalid, pengarah yang tak asing lagi dalam industri seni tanah air kita ni.


Siapa yang tak kenal dengan Mamat Khalid? Nama beliau dah cukup gah dalam industri perfilemanan negara, walaupun hasil kutipan filem-filem beliau tak lah begitu memberangsangkan sehebat Ahmad Idham mahupun Syamsul Yusof. Mamat Khalid dah pun mempunyai golongan peminat-peminat filemnya sendiri, walaupun perlu diakui tak berapa ramai (boleh kita lihat dengan hasil kutipan filem Estet yang amat rendah berbanding kos produksinya sendiri). Ada juga terdapat golongan yang tidak dapat menerima lawak-lawak yang diterapkan oleh Mamat Khalid dalam filemnya yang mana bagi mereka lawak Mamat Khalid terlalu 'kebodohan' dan 'lawak kampung'.

Bagi aku, aku tak ada masalah dengan karya Mamat Khalid, malah aku antara peminat filem-filem beliau walaupun tak semua filem dia aku pergi tengok dekat wayang. Sebab tu lah aku pergi tengok filem ni, ditambah lagi dengan komen-komen positif dari kawan-kawan yang dah tengok cerita ni. Satu lagi, harus diakui faktor Johan Raja Lawak adalah salah satu faktor yang kuat membuat orang ramai rasa terpanggil untuk pergi menonton filem ni. Lagi-lagi ini merupakan kali pertama Johan beraksi di layar perak. Aku cukup minat dengan Johan, lagi-lagi dengan membawa watak yang cukup berkesan dalam drama bersiri Caparella dan lawak bersahaja ketika menyampaikan anugerah dalam Shout! Award tempoh hari. Aku yakin tak lama lagi Johan akan diberi kepercayaan untuk memegang watak utama pulak dalam filem.

OK, kembali kepada Hantu Kak Limah, kami tiba di Cathay Cineplex, The Curve lebih kurang pukul 8.45 p.m. dan tertera di skrin, tayangan HKLBR seterusnya pada pukul 9.45 p.m. iaitu dalam masa sejam. Namun apabila sampai di kaunter tiket, tayangan pukul 9.45 p.m. tu full house, hanya ada kosong tempat duduk paling depan. Aku agak terkejut sebenarnya, mana tak nya pada masa yang sama filem-filem boxoffice dari Hollywood turut ditayangkan seperti Narnia, The Social Network, Due Date, Rapunzel, dan ada beberapa lagi yang lain. Terdetik dalam hati aku; untung besar Mamat Khalid kali ni, walupun dah rugi besar dalam Estet. Disebabkan kami dah nekad nak tengok HKLBR, kami sanggup beli tiket untuk tayangan seterusnya pukul 11.45 p.m. yang mana hampir penuh juga!

Setelah merayau-rayau dan pergi makan untuk menghabiskan masa dua jam lebih kami pun melangkah masuk ke wayang. Masuk je dalam wayang, aku tengok hall penuh, ramai betul yang nak tengok cerita tu malam tu, terutamanya seisi keluarga yang turut membawa anak-anak sekali. Dan disebabkan cerita komedi, semua kelihatan dah bersedia untuk bergelak ketawa ketika itu (macam mana lah aku boleh nampak dalam gelap tu kan). Bahkan masa mula-mula tertera tajuk Hantu Mak Limah Balik Rumah dan ada suara latar yang menyebutkan tajuk tu pun, dah ada yang ketawa; aku tak, aku senyum je.hehe Sebelum pergi lebih jauh, ada satu cerita yang menarik berlaku masa preview filem-filem akan datang ditayangkan. Selepas preview filem Khurafat arahan Syamsul Yusof yang akan ditayangkan Januari tahun depan, terdapat suara yang mengatakan "KALAU TAK TENGOK PUN TAKPE". Aku hanya tersenyum, no comment, walaupun aku memang setuju sangat.hehe

OK, bagi filem HKLBR ni, bagi aku Mamat Khalid berjaya. Berjaya membuat orang ketawa dan berjaya menerapkan elemen-elemen nasihat dan isu-isu semasa dalam bentuk sinis dan ada jugak yang straight forward. Setiap filem Mamat Khalid pun macam tu, dah macam trademark beliau dalam mana-mana filem. Tapi bagi aku, itu sajalah yang beliau berjaya dalam filem tu, tak ada yang lebih. Aku sentiasa mengharapkan yang lebih sebab aku tahu Mamat Khalid boleh buat lebih dari tu.

Aku masih rasa ada beberapa scene yang tak perlu serta tak membantu jalan cerita dan tak membawa makna kepada keseluruhan jalan cerita. Kalau ada pun, aku tak faham apakah maknanya. Sorry, aku memang susah sikit nak faham cerita. Perkara ni (scene yang tak diperlukan) adalah satu benda yang kalau boleh aku nak sangat sesebuah filem tu elakkan tak kiralah filem luar atau tempatan (terutamanya filem tempatanlah). Sebabnya babak-babak macam ni kelihatan macam babak-babak yang nak memanjangkan filem supaya durasinya menjangkau standard duration iaitu lebih kurang 90 minit.

OK, aku bagi contoh. Babak Awie menanyi lagu Cinta Kristal tu macam terlalu lama, siap dengan goreng gitar oleh 'hantu band' lagi. Mungkin babak-babak macam ni digunakan oleh Mamat Khalid untuk menambah seri dalam filem beliau, tapi serius aku agak bosan masa scene tu dan tertanya-tanya dalam hati bilalah lagu ni nak abis? (Sebab aku bukan peminat Awie pun) Mungkin juga Mamat Khalid menambah babak-babak yang tak berkaitan untuk menambah unsur komedi dalam cerita beliau. Contohnya babak flash-back Usop untuk menerangkan apa yang terjadi kepada kakinya. Namun apa yang aku perasan, masa babak tu tak ada atau amat sikit orang yang ketawa, sebab kurang kelakar. Apa salahnya kalau Usop tu cakap je dia accident ke, jatuh longkang ke, atau sebagainya. Itulah maksud aku scene yang tak diperlukan, kalau tak ada scene tu pun tak apa. Lagi pun, scene tu tak membuatkan orang ketawa pun. Jadi, apa gunanya letak scene tu? Nak tambah duration?

Maaflah kalau aku ni macam hanya mencari cacat cela filem ni saja, tapi ini hanyalah pandangan peribadi aku sebagai seorang pencinta filem tempatan yang langsung tak ada ilmu perfileman mahupun apa-apa ilmu seni yang lain. Aku hanya tulis mengikut apa yang aku fikir saja, malah fikiran aku mungkin berubah bila-bila masa. Mungkin kalau aku tengok cerita ni sekali lagi, baru aku faham kesinambungan babak-babak yang aku rasa tak diperlukan tu, siapa tahu.

Secara keseluruhannya, aku puas hati menonton filem ni sebab menghiburkan. Kalau tak masakan aku terbahak-bahak dalam panggung malam tu. Kalau orang kata tu, berbaloilah RM10 beli tiket untuk tengok cerita ni. Tapi kan (ada tapi lagi ni), aku macam agak terkilan jugaklah sebab lawak cerita ni macam sekerat jalan je. Lepas tu lawaknya dah berkurang dan last-last tu langsung tak ada lawak dah (sebab masuk part sedih). Masa permulaan cerita, lawak-lawak orang kampung lari nampak hantu, Johan pakai skirt tudung saji, dan bomoh Jawa histeria kena tampar dengan hantu betul-betul menggeletek penonton termasuk aku sendiri yang tak berhenti-henti ketawa. Bila cerita makin lanjut, aku mengharapkan lawak-lawak macam tu terus disajikan supaya aku boleh ketawa sampai habis cerita. Tapi aku tak dapat apa yang aku harapkan. Lebih kurang macam anti-klimaks lah ceritanya.

Kalau ada orang tanya aku macam mana cerita HKLBR tu? Aku hanya akan jawab 'KELAKAR'. Dan sudah tentu aku akan syorkan orang lain untuk pergi tengok cerita ni. Kalau korang tengok korang akan ketawa tak ingat, itu aku jamin. Kalau korang harapkan sesuatu yang di luar jangkaan, aku tak boleh jamin. Ikutlah citarasa masing-masing.

Apa-apa pun, aku bagi tiga bintang setengah daripada lima bintang untuk filem Mamat Khalid kali ni. Sebab aku rasa Mamat Khalid pernah buat dan boleh buat yang lagi bagus dari ni. Lawak dalam filem ni ialah lawak yang amat simple tapi membuatkan orang tak berhenti ketawa kerana cara lawak tu ditonjolkan oleh Mamat Khalid yang kita tak pernah lihat sebelum ni.

Tahniah Mamat Khalid, aku kategorikan filem ni sebagai filem yang berjaya.

8.12.10

Malaysia 5 - 1 Laos



Kalau mengikut sejarah dan rekod pertemuan, kemenangan besar ke atas Laos ni tak ada apa yang nak dibanggakan sangat. Menurut kata pengulas malam tadi , Hasbullah Awang (Dato'), Laos hanya pernah menang sekali ke atas Malaysia pada tahun 1997 dalam kejohanan Sukan SEA di Jakarta di mana Malaysia tewas 0-1 (kalau tak silap). Bahkan baru tahun lepas kita menewaskan Laos dengan jaringan mudah 3-0 juga dalam kejohanan Sukan SEA di mana kita berjaya membawa pulang pingat emas dari Vientiane ketika itu.

Tapi Laos sekarang dah tak sama dengan yang dalam sejarah dan rekod. Di bawah pimpinan David Booth, mereka banyak meningkat dari segi corak dan cara bermain. Masa first half malam tadi aku tengok Laos banyak control bola, dengan corak permainan lebih kemas berbanding Malaysia yang masih lagi dengan hantaran-hantaran harapan yang tak boleh diharap sangat.

*hantaran harapan- hantaran jauh dengan harapan ada player yang berjaya dapat bola yang dihantar

Keputusan seri 2-2 Laos dengan gergasi bola sepak ASEAN, Thailand pun dah cukup menunjukkan sejauh mana Laos dah improve dalam sukan bola sepak ni. Tapi kalau tengok Malaysia main dengan Thailand itu hari, langsung Malaysia tak boleh main. Shot dari Thailand pun dah cecah 20 lebih sedangkan Malaysia punya shot tak sampai pun 10. Nasib baik penyerang-penyerang Thailand tumpul macam belakang pisau.

OK, dari segi keputusan, aku gembira, aku bangga. Mengalahkan Laos yang dah banyak improve dengan jaringan besar adalah sesuatu yang harus diberi pujian. Tapi dari segi corak permainan, game plan, mentality, banyak lagi yang perlu diperbaiki. Tiga gol terakhir Malaysia boleh dikatakan adalah hasil sumbangan pertahan Laos sendiri, cuma dua gol awal tu dicipta dengan gerakan cantik oleh pemain-pemain Malaysia.

Keputusan Rajagobal mengetepikan Fadli Sas dan Asaruddin dari barisan pertahanan adalah sesuatu yang aku amat berkenan. Aku bukan prejudis sebab Asarudin score gol sendiri dan Fadli Sas buat silly mistake masa lawan Indonesia itu hari, tapi cara diorang main pun boleh nampak sangat longgar di bahagian pertahanan. Tapi aku tetap tak faham kenapa Rajagobal tak nak ambik sorang senior center back sebagai leader dalam team especially untuk barisan pertahanan yang selalu nampak longgar yang boleh kita tengok dengan jelas dalam perlawanan dengan Indonesia tempoh hari.

Tapi tak apa lah, mungkin itu percaturan dia, mendedahkan pemain-pemain muda kan. Walau apa pun, kemenangan 5-1 ni bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan sangat. Seminggu dari sekarang merupakan cabaran Malaysia yang seterusnya, bermain di hadapan penyokong sendiri. Ayuh Harimau Malaya, kami mengidamkan satu permainan teratur, cantik, penuh semangat dan yang paling penting sekali, satu permainan yang pintar.

Ya, bermain cara profesional supaya orang nampak betapa bijaknya anda atas padang kerana itulah yang akan membawa kita pergi jauh dalam arena bola sepak.

Sekian.

6.12.10

Masih Wujudkah Blog Ini?


Disebabkan seseorang, aku telah membaca balik semua carutan-carutan lama aku dalam blog picisan ini. Memang sungguh lama aku tak mencarut/mengarut dalam blog ni. Semangat mentos ku hanya lah semangat seketika, seperti nikmat mentos ketika melarut dalam mulut, hanya seketika.

Aku mohon jutaan maaf kepada semua follower(s) yang sentiasa menanti-nanti update terbaru dari blog ini. Aku faham perasaan kalian yang asyik menekan butang refresh berkali-kali namun hampa kerana masih tiada sebarang perubahan selama berbulan-bulan.

Aku masih di sini, tak ke mana-mana, jangan risau semua. Alhamdulillah aku masih bernafas, masih sihat, mampu bergerak bebas, dan mampu menaip seperti biasa, tiada apa yang luar biasa. Aku cuma sedikit malas, seperti biasa. Sedikit ke? Banyak mungkin.

OK, ramai orang tulis blog untuk update dan bagitau orang lain pasal kehidupan diorang. Apa yang diorang buat, masak apa, beli apa, makan kat mana, susun apa, nyanyi lagu apa, dan macam-macam lagi lah. Ada juga yang gunakan sebagai medium menunjukkan bakat masing-masing macam berpuisi, photography, tulis cerpen, dan banyak lagi.

Tapi konsep aku lain sikit, bagi aku blog aku ni tempat aku nak zahirkan pemikiran-pemikiran yang berlegar-legar dalam benak fikiran aku yang agak sempit ini. Jadi satu hari nanti aku boleh belek-belek apa yang aku tulis dulu dan dapat gambaran bagaimana cara aku berfikir suatu ketika dulu.

Dan itulah yang aku buat baru-baru ni, jarang ada orang baca blog sendiri dari awal rasanya.hehe. Dan apa yang aku sedar dari pembacaan aku tu, menggambarkan aku banyak berfikir tentang perkara-perkara yang remeh. Erm, serius. Perkara yang remeh bila dipikirkan lalu ia menjadi rumit, kemudian aku tulis. Erm, pelik bunyinya.

Jadi selama beberapa bulan aku tak menulis aku anggap aku tak banyak berfikir tentang perkara-perkara remeh. Maknanya aku banyak memikirkan perkara-perkara rumit. Perkara yang rumit bila dipikirkan jadi apa pula? Aku masih memikirkannya...

25.6.10

Cerpen

Ada suatu ketika aku dalam 'mood cerpen' setelah membaca satu antologi cerpen. Masa tu aku tengah kebosanan di rumah lalu terjumpa antologi cerpen tu. Bak kata pepatah, orang mengantuk disorongkan bantal.

Aku tak ingat lah apa nama antologi tu, tapi sangat menarik lah. Ada cerpen-cerpen yang bagus tulisan penulis-penulis yang hebat. Tapi tak ingat sangat lah. Antara nama-nama yang aku ingat macam S. Othman Kelantan, Sulaiman Awang, dan ramai lagi lah. Nanti kalau aku jumpa aku list-kan nama penulis dengan tajuk cerpennya sekali.

Pada masa tu, aku terpikir nak tulis beberapa buah cerpen. Dengan pengaruh bahasa dan lenggok sastera penulis-penulis hebat, aku mulalah merangka sebuah cerpen dengan idea yang tiba-tiba datang bergolek. Malangnya, aku cuma merangka dalam otak saja tanpa membuat apa-apa catitan. Bila perkara itu terjadi, maka bolehlah dikatakan idea menulis cerpen itu sebagai hanya satu lagi angan-angan yang tak kesampaian.hehe

Tapi jalan ceritanya masih ada dalam otak fikiran, cuma lenggok bahasa sastera tu mungkin dah tak berapa nak lenggok lah kot.erm. Tak apa lah, mungkin satu hari nanti aku akan berjaya meng-hitamputih-kan idea-idea yang berada dalam otak ini.

Semoga aku berjaya!

23.6.10

MENTOS


Ada Mentos atas meja, perisa/perasa Rainbow (yang bermakna campuran buah-buahan mungkin). Aku ambil sebiji dan masukkan dalam mulut dan terus kunyah macam biasa, sambil baring atas tilam yang tak berapa nak empuk tu. Namun apa yang luar biasa aku rasa Mentos tu sangat sedap, tak rasa macam yang aku pernah makan/kunyah sebelum ni, serius punya sedap ni, bukan main-main. Walaupun tak lah sesedap Nasi Goreng Premier Williams ataupun Nan Cheese Mirasa kan, tapi sedap lah, aku suka. Aku menikmati kesedapan Mentos perisa/perasa Rainbow tu seketika sampai habis larut sambil terus baring. Alangkah sedapnya Mentos rupanya.

Dari situ aku dapat satu fikiran baru, atau mungkin teori kalau boleh dianggap begitu. Mentos yang hanya orang makan untuk buat kunyah-kunyahan (terutamanya masa tengah buat kerja lain) tanpa sikit pun memikirkan pasal rasanya rupa-rupanya ada rasa sedapnya, tapi orang tak pernah perasan sebab orang makan Mentos bukan untuk merasa sedapnya, hanya sekadar sebagai bahan kunyahan atau penyegar nafas.

Tapi masa aku makan tadi aku rasa sedapnya, walaupun tak lah sesedap cendol Pak Akob ataupun Nasi Lemak Ayam Murni kan. Lantas, otak aku ligat berfikir:

Aku kepenatan, mencari tilam untuk landing sekejap, ternampak Mentos atas meja, ambil sebiji masuk mulut dulu, dan baru lah baring sambil menikmati ke-empuk-kan tilam yang tak berapa nak empuk tu dengan Mentos sedang melarut dalam mulut.

Aku berfikir, kenapa selama ni aku makan Mentos tak rasa pun sedap macam ni? Dan aku terus mencapai satu kesimpulan singkat; bila kita merasai/menikmati/menghayati sesuatu tanpa memikir/buat benda lain, walaupun dengan tak bersungguh-sungguh, kita akan sedar kenikmatan/keindahan/kelebihan sesuatu itu.

Semudah Mentos, aku rasa kesedapannya ketika baring berehat dan kunyah Mentos. Tak ada apa dalam otak aku ketika tu, hanya tilam yang tak berapa nak empuk tu, dan Mentos.

Alangkah indahnya kalau kita dapat merasai/menikmati semua yang ada dalam dunia ni macam tu. Kita boleh rasa semua kenikmatan benda dalam dunia ni walaupun kita tak pernah terfikir benda tu boleh mendatangkan sesuatu yang nikmat. Pelik kan aku tulis? Sebab aku mula merasai kembali kenikmatan menulis/menaip/mengarang, sebab otak aku sekarang hanya tertumpu pada penulisan ni. Menulis lebih nikmat dari Mentos rupanya.haha.

Terima kasih Mentos perisa/perasa Rainbow yang mendetikkan hati aku untuk kembali menulis kat sini setelah sekian lama.huhu. Walaupun mungkin rasa sedap tu datang sebab aku tengah kelaparan tapi tak ada duit nak makan yang sedap-sedap macam Nasi Goreng Premier Williams ataupun Nasi Lemak Ayam Murni.

Cuma aku harap, satu masa nanti aku dapat menghayati keindahan seorang wanita bila fikiran aku tertumpu pada dia sorang saja.hahaha

RHAZ

17.2.10


'Filem M'sia gagal terap unsur Islam'


Feb 14

Industri perfileman di Malaysia dikatakan masih gagal dalam menghasilkan karya yang mampu menerapkan unsur-unsur Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat secara lebih berkesan.

Penulis novel popular, Ayat-ayat Cinta yang berasal dari Indonesia, Habiburrahman el-Shirazy, berpendapat pembikin filem di negara ini masih tidak berani untuk menonjolkan seni Islam dan amalannya dalam karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding hasil dari negara jiran itu.

Beliau berkata apa yang paling penting adalah niat dan masyarakat semestinya akan melihat hasil dan ini semua bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Malah, di Malaysia mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah ialah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Tetapi di Indonesia, kita mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana ," katanya ketika ditemui semasa program 'Hari Hiburan Islam' di Kota Bharu hari ini.

Siri itu turut diselitkan dengan rancangan bicara selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Habiburrahman, 34, terkenal dengan nama penanya Kang Abik. Beliau turut dikenali sebagai pendakwah, novelis dan penyair lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas filem-filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-ayat Cinta (2004), Ketika Cinta Bertasbih (2007) yang diadaptasi daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa dan paling ramai ditonton oleh masyarakat republik itu.

Ini kerana, katanya filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan filem di Malaysia, beliau berkata kebanyakan penghasilnya mempunyai garapan yang baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

"Saya merasa di Malaysia ia juga mendapat sambutan yang luar biasa. Cerita yang Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik maka akan dapat sambutan.

"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea perlu tetapi di sini ada penulis garapan bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat. Apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman," katanya berfalsafah.

- Bernama

* * *

Walaupun saya tidak mengenali Saudara Habiburrahman sebelum ini, namun saya yakin bahawa beliau adalah seorang yang amat hebat melaui karya-karya beliau yang sememangnya terkenal di pelusuk nusantara.

Buah pendapat beliau adalah sesuatu yang amat bertepatan pada hemat saya, sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana penerapan unsur Islam dalam drama bersiri 'Nur Kasih' telah menambat jutaan penonton terpacak di hadapan televisyen setiap kali tayangannya.

Tapi apa yang lebih penting sekarang adalah cara garapan jalan cerita itu sendiri. Untuk menyatakan filem di Malaysia tidak berani menonjolkan unsur-unsur Islam dalam jalan ceritanya adalah tidak tepat sama sekali.

Sudah tentulah Saudara Habiburrahman ini tidak berpeluang menonton kesemua filem tempatan kita, barulah beliau mengungkapkan perkara sebegitu. Jika ditanya sekalipun beliau mungkin hanya pernah menonton filem-filem seperti Cicakman, Geng: Pengembaraan Bermula, atau mungkin Jangan Pandang Belakang. Mungkin, saya tidak pasti.

Namun harus diingat filem-filem tempatan seperti Maut, Akhirat, malah filem-filem karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad sebenarnya telah banyak menonjolkan unsur-unsur Islam itu sendiri. Ironinya, filem-filem seumpama ini amatlah kurang mendapat sambutan di pawagam.

Pokoknya, tunjang jalan cerita itu sendiri yang akan berjaya menambat hati para penonton untuk ke pawagam. Manakala unsur-unsur Islam sebagai pendokong kepada jalan cerita utamanya dan digarap dengan baik supaya mesej itu dapat disampaikan secara langsung mahu pun tidak langsung.

Sebagai contoh filem Ayat-ayat Cinta itu sendiri mempunyai jalan cerita mengenai percintaan yang amat kuat dan menarik yang berjaya menarik hati penonton berserta dengan unsur-unsur seni Islam diadunkan dengan cukup sempurna menjadikannya sebuah filem yang amat-amat menyentuh hati.

Namun pada pendapat saya, filem-filem seumpama ini, jika dihasilkan oleh produksi tempatan sekali pun masih tidak dapat menambat minat dan hati para penonton di Malaysia. Kerana tidak keterlaluan jika dikatakan pemikiran masyarakat kita terutamanya golongan muda (yang menjadi penyumbang utama kepada industri perfileman negara) adalah agak tercondong ke arah kebaratan dan tidak boleh menerima filem-filem seumpama ini melainkan dihasilkan oleh orang luar.

Jadi, kalau kail pun panjang sejengkal, ini kan pula lautan dalam hendak diduga.

Sekian.

RHAZ.

13.2.10

Pop Tak Masuk Radio

1. Radio
2. Lagu Cinta Untukmu
3. Semua Tak Boleh
4. Goyang
5. Cari Ganti
6. Bayangkan
7. Gila Bayang
8. Whoa Oh Sayang
9. Hey Kawan-kawan
10. Mencari Malaysia



p/s: Teenage Disc Fantastic pun tak abis dengar lagi.

1.1.10

Berani Punya Budak


Saya sudah pun menonton filem ini dalam versi Thailand kira-kira dua tahun yang lalu.


Namun saya masih rasa penuh ternanti-nanti kemunculan filem ini dalam versi Melayu walaupun jalan cerita dan plotnya sudah tentu tidak berubah.

Hanya kerana filem ini adalah buah tangan dari sutradara Afdlin Shauki.

Dan baru hari ini saya menjumpai poster filem "Berani Punya Budak" ini dan mengetahui filem ini akan tiba di pawagam tidak lama lagi (setidak-tidaknya dalam tahun 2010).

Sama ada secara sengaja atau tidak, penayangan filem ini di Malaysia setelah lebih dua tahun ditayangkan di Thailand serta telah dicetak rompak dalam jangka waktu yang sama, adalah sesuatu yang amat bijak pada hemat saya.

Saya yang sudah menonton filem ini dalam DVD sekurang-kurangnya dua kali telah hampir lupa apa yang saya tonton dahulu.

Ini membuatkan rasa ingin tonton filem ini di pawagam menjadi lebih membuak-buak.

Sudah tentu saya boleh memainkan kembali DVD itu dan menonton filem ini dalam versi Thailand sekali lagi.

Namun semestinya saya tidak akan berbuat demikian.

Kerana saya, tidak sebuta itu.

Sama-sama kita nantikannya di pawagam.

2010


My first post in the new decade. I hope I will be a better person in the future. Better for me, better for everyone. I hope so. I really hope.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...