1.11.08

Isu Semasa


Sudah lama saya tidak meninggalkan sebarang coretan/carutan di halaman ini. Bermakna sudah lama juga saya tidak berpeluang meleburkan apa yang terbuku di hati.

Beberapa hari yang lepas saya ada terbaca mengenai cadangan untuk mengurangkan atau memansuhkan terus bayaran yang dikenakan kepada pelajar lepasan SPM dan STPM untuk membeli nombor unik ID aplikasi dalam talian bagi permohonan kemasukan ke IPTA. Bayaran RM10.60 dan RM 15.60 yang dikenakan membebankan pelajar, menurut timbalan presidan GPMS.

Saya teringat ketika saya melalui zaman itu dahulu. Mungkin bayaran itu bukanlah sesuatu yang mendatangkan masalah buat saya dan saya yakin juga buat mereka yang lain kecuali golongan yang betul-betul kurang mampu (bukan yang buat-buat tak mampu untuk menagih simpati). Benar, sedikit sebanyak yuran itu membebankan pelajar, tambahan lagi pelajar terpaksa menambah 60 sen sebagai bayaran perkhidmatan kepada BSN. Ini sebenarnya yang kurang menyenangkan saya.

Perlukah bayaran 6o sen itu dikenakan kepada pelajar? Atas alasan bayaran kepada perkhidmatan yang disediakan oleh bank yang mana satu-satunya bank yang menyediakan perkhidmatan untuk permohonan ke IPTA itu. Perkhidmatan apa yang kita bayar sebenarnya? Saya berpendapat semua sudah sedia maklum perkhidmatan sebagaimanakah yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Premisnya sangat cantik, bangunan baru. Bahkan besar sekali. Dengan udara nyaman di dalamnya, dilengkapi sistem nombor giliran yang begitu sistematik, bagai tiada apa yang cacat cela. Kaunter yang disediakan cukup banyak, menjangkau ke 7 hingga lapan kaunter untuk berurusan. Namun malang sekali kaunter yang beroperasi cuma 2, atau tiga.

Saya masih ingat saya tiba dalam jam 2 petang lebih, selepas lunch hour hari itu. Saya terus menekan punat untuk mengambil angka giliran. Setelah mengoyak kertas putih kecil itu lantas saya menoleh ke skrin di hadapan. Wah, lebih 100 nombor yang saya terpaksa tunggu, dan kaunter yang berpenghuni hanya dua kaunter. Salah satu sedang melayan pelanggan dan satu lagi kelihatan seorang wanita sedang menghadap komputer tanpa pelanggan di hadapannya. Tapi dari pengamatan saya, orang yang ada dalam bank itu hanya kira-kira 50 orang sahaja. Jadi, apa maksudnya semua ini?

Situasi tersebut berlanjutan hingga beberapa nombor seterusnya. Pekerja wanita tadi masih asyik menghadap komputernya tanpa mengambil sebarang pelanggan. Mungkin beliau sedang asyik bermain solitaire, saya tak pasti. Maknanya ketika itu hanya satu kaunter yang berfungsi, dan beberapa kali nombor dipanggil tiada siapa yang tampil. Barangkali segelintir yang sudah bosan menunggu sama seperti saya pada ketika itu. Akhirnya saya mengalah dan datang kembali pada awal pagi keesokan harinya.

Jadi inilah perkhidmatan yang kita bayar sebanyak 60 sen itu. Mungkin tak berlaku di tempat yang lain, tapi saya yakin di kebanyakan tempat begitulah keadaannya. Masalahnya kita tidak diberikan pilihan untuk berurusan di bank mengikut kehendak kita. Kalau tidak, sudah tentu saya memilih bank-bank lain yang saya fikir berbaloi untuk membayar yuran perkhidmatan mereka sebanyak 60 sen itu.

Mungkin nampak kecil sangat jumlah 60 sen yang dikenakan itu. Tapi bayangkanlah setiap individu yang berhajat melanjutkan pelajaran ke IPTA terpaksa membayar 60 sen kepada BSN, berapa banyak keuntungan yang mereka terima atas perkhidmatan kelas pertama mereka itu. Sangat lumayan sehingga mampu menambah bilangan kaunter mereka dua kali ganda dari yang sebelumnya untuk ditinggalkan kosong tak berpenghuni.

Mungkin ramai yang tak bersetuju dengan saya, namun ini adalah pengalaman saya sendiri. Bukan sekali saya mengalaminya, dan bukan hanya satu tempat/cawangan saja yang pernah saya alami seperti ini. Cuma banknya saja yang sama, BSN, dan saya alami perkara yang sama juga di Pejabat Pos. Mungkin sekarang tidak lagi seperti itu, mungkin sudah berubah, saya tak pasti. Kerana sudah lama saya tak menjenguk keadaan bank ini. Saya berharap sudah berubah supaya tidak menbebankan adik-adik yang bakal berurusan di bank ini.

Jadi, apa salahnya jika dikurangkan cas itu kepada hanya 20 sen atau 30 sen. Sudah cukup banyak untungnya saya rasa. Atau apa salahnya dimansuhkan terus. Bukankah BSN merupakan bank milik kerajaan. Dah berjuta-juta rakyat membayar duit cukai dan sebagainya kepada kerajaan, perlukah lagi 60 sen itu sebagai bayaran perkhdmatan? Entahlah, mereka yang lebih arif. Siapalah yang akan mendengar keluhan rakyat-rakyat marhaines ini. Siapalah kita untuk bersuara.

60 sen? Alahai...

1 comment:

izzah said...

sy sgt sokong!!mmg dorng main solitaire :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...